Tuesday 27 November 2012

Pelbagai program inisiatif Teraju


SME Bank antara penyedia dana bagi syarikat bumiputera.


DALAM usaha memacu dan membantu syarikat-syarikat bumiputera kecil serta sederhana untuk terus berkembang, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) telah mewujudkan pelbagai program di bawahnya.
Selain program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras), Teraju turut memperkenalkan program lain antaranya Dana Mudah Cara, Skim Jejak Jaya Bumiputera, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan Teraju@Koridor.
Melalui program Dana Mudah Cara kerajaan telah mewujudkan dana bernilai RM2 bilion yang diuruskan oleh Unit Perkongsian Awam-Swasta (Ukas) dan Teraju. Ia bagi menggalakkan bumiputera untuk memberanikan diri melaksanakan projek sektor swasta.
"Melalui Dana Mudah Cara, projek yang mampu meningkatkan pendapatan syarikat bumiputera boleh diberi dana secara geran sebanyak 15 peratus daripada jumlah kos projek. Geran ini tidak perlu bayar balik. Kini, Teraju menerima 70 permohonan daripada syarikat berkenaan," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Husni Salleh.
Sebagai sebuah unit yang dirintis oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Teraju juga meneroka inisiatif-inisiatif baharu dan memperkenalkan pembaharuan kepada instrumen sedia ada.
Kerjasama agensi lain
Lantaran itu, Teraju menjalankan kerjasama strategik dengan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan yang lain, Teraju menawarkan pembangunan bakat, perniagaan dan peluang kewangan kepada bumiputera yang setakat ini bernilai RM14 bilion.
"Usaha yang kita lakukan juga membuahkan hasil kerana sebelum ini hanya SME Bank menawarkan dana bernilai RM500 juta kepada syarikat bumiputera dengan RM190 juta daripadanya telah diluluskan.
"Namun kini, Teraju menerima banyak tawaran daripada pihak bank lain untuk turut dengan penawaran dana kepada syarikat bumiputera," katanya.
Jelas Husni, Teraju turut membuat program bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan dana sebanyak RM5.5 juta untuk syarikat bumiputera yang berkecimpung dalam sektor peruncitan.
ORANG ramai boleh melayari laman web Teraju untuk mendapatkan pelbagai maklumat lanjut mengenai unit itu.

Bagi program bersama Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada syarikat bagi meningkatkan pegangan saham bumiputera dalam sesebuah syarikat.
"Kita cuba memberi bantuan syarikat-syarikat ini untuk membeli saham-saham sekali gus meningkatkan ekuiti bumiputera terutamanya dalam syarikat besar.
"Jika sebelum ini individu bumiputera itu hanya memiliki saham 20 peratus dalam sesebuah syarikat, kita bantu mereka meningkatkan lagi pegangan terutama dalam syarikat besar," kata Husni.
Tambahnya, terdapat juga satu program yang dikenali sebagai Skim Jejak Jaya Bumiputera. Skim tersebut untuk mempercepatkan pertumbuhan syarikat supaya boleh disenaraikan dalam Bursa Saham.
"Kita buat program Stairway To Listing dengan kerjasama Bursa Malaysia dan SME Corporation untuk membolehkan syarikat terutama syarikat teras disenaraikan. Ketika ini, terdapat tujuh syarikat yang telah disenaraikan di Bursa Malaysia," katanya.
Projek-projek besar iaitu membabitkan pelaburan melebihi RM500 juta, pihaknya meminta syarikat bumiputera untuk membida secara terbuka.
Contohnya, Projek Mass Rapid Transit (MRT) Corporation yang berjumlah RM20 bilion bagi fasa pertama, 43 peratus telah diperuntukkan kepada bumiputera.
"Projek MRT yang bernilai lebih RM80 bilion, kita galakkan syarikat bumiputera membida secara telus untuk mendapatkan projek. Kita telah dapat 47 peratus daripada nilai projek iaitu melebihi sasaran awal yang ditetapkan," katanya.
Pendidikan
Selain itu, anak-anak kampung yang pintar juga tidak dilupakan Teraju apabila Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dilancarkan pada tahun lepas. Yayasan itu berjaya menjana dana lebih RM250 juta.
Yayasan tersebut berfungsi bagi mengenal pasti anak-anak pintar yang tercicir daripada arus pembangunan dan diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.
Setakat ini, sebanyak 200 pelajar telah terpilih dan ditempatkan di kolej-kolej atau universiti tertentu dengan diberikan biasiswa atau pinjaman. Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang ketika di kolej atau universiti, pinjaman pelajaran mereka akan ditukar kepada biasiswa.

TILAM JENAMA R.ULUNG INGIN TEMBUSI PASARAN ASIA LIMA TAHUN LAGI


KUALA TERENGGANU, 26 Nov (Bernama) -- R. Ulung Sdn Bhd, sebuah syarikat Bumiputera membuat tilam dan bantal berasaskan kekabu terbesar di negara ini, menyasarkan untuk menembusi pasaran bermula dengan negara-negara Asia dalam tempoh lima tahun dari sekarang.
Pengerusinya, Md Rashid Ulung, 59, berkata beliau yakin hasratnya itu mampu dicapai selepas selesai membeli beberapa peralatan dan mesin moden bagi kilangnya yang terletak di Seberang Prai, Pulau Pinang.
"Ketika ini, kita mampu mengeluarkan 2,000 pelbagai jenis bantal sehari manakala tilam pula antara 300 hingga 400 sehari."
"Kilang kita buat bantal dan tilam dari kekabu asli dan kekabu tiruan mengikut kehendak pelanggan dari harga serendah RM5 hingga RM320 satu," katanya.
Beliau, yang berasal dari Pulau Mutiara itu, berkata demikian kepada Bernama selepas menerima Anugerah Usahawan Perdana Jaya sempena Karnival Usahawan Risda dan pelancaran Kelab Usahawan Risda (RISEC) di sini semalam.
Md Rashid berkata, ketika ini tilam-tilam dan bantal berjenama "R Ulung" yang dikeluarkan syarikatnya diedarkan di pasar raya besar seperti di Mydin,Tesco dan Giant di seluruh negara dengan mendapat sambutan yang baik dari pengguna.
Menceritakan pengalaman memulakan perniagaannya, Md Rashid, yang ditemani anaknya Hazizi Md Rashid, sebagai Pengarah syarikat itu, berkata ia bermula dengan meminjam dana RM2,000 dari Risda pada 1976."
Beliau juga turut mendapat pinjaman dari Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan lain-lain agensi dalam usaha meningkatkan lagi kemajuan kilangnya.
Perusahaannya itu, katanya pernah bertapak di Indonesia dan Thailand pada awal tahun 90''an dahulu, tetapi kilangnya di Aceh ditutup selepas Tsunami yang melanda wilayah itu. "Kita ada hubungan dengan Persatuan Masjid-masjid seluruh Thailand tidak lama dulu untuk menjahit kain tudung dan sebagainya semasa beroperasi di negara itu. Namun ia terpaksa dihentikan disebabkan pergolakan politik di Narathiwat tidak lama dulu," katanya.
Beliau berkata, pernah pada satu masa dahulu R. Ulung Sdn Bhd mempunyai seramai 700 pekerja yang bukan sahaja membuat bantal dan tilam, malah mengeluarkan Topi Langkawi yang diselitkan dengan pantun yang menarik menjadi kegemaran ramai.
"Pada topi berkenaan kita letak pantun antaranya berbunyi ''Sayang Mahsuri tiada lagi, mati terbunuh anak pengerang, gadis Langkawi jadi misteri, hingga kini jadi kenangan'' itulah antara pantun yang digemari peminat Topi Langkawi,"katanya.-- BERNAMA

Monday 26 November 2012

Industri halal mampu melonjak di rantau IMTGT

Kangar: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, yakin industri halal bakal melonjak di rantau pertumbuhan segi tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) berikutan minat penduduk rantau itu terhadap produk halal. 

Katanya, pertumbuhan beberapa pusat halal akan menyemarakkan industri halal yang semakin berkembang. 
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Halal Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Kawasan Industri MARA (KIM) Kuala Perlis, Md Isa berharap usahawan Bumiputera mengambil kesempatan terhadap permintaan produk halal dengan berusaha menembusi pasaran antarabangsa. 

Beliau berkata, walaupun kejayaan menembusi pasaran antarabangsa adalah satu pencapaian, keadaan itu akan lebih bermakna jika mereka menguasai pasaran. 

Md Isa berkata, Pusat Halal MARA Kuala Perlis juga akan turut menjadi pemangkin industri kawasan Kuala Perlis yang bakal menjadi bandar maritim. 

Pelaksanaan pusat halal itu adalah hasil kerjasama Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dengan MARA yang sudah lama terjalin.

Kejayaan Wanita Malaysia Abad ke 21 Semakin Membanggakan – Rosmah

Written by Hafiz Hamzah   
Sunday, 25 November 2012 14:55
KUALA LUMPUR, 25 Nov – Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Rosmah Mansor melahirkan rasa bangga dengan pencapaian kaum wanita di negara ini yang disifatkannya semakin memberangsangkan dengan keterlibatan kaum tersebut di pelbagai bidang  yang membuktikan bahawa taraf kehidupan sosiologi golongan wanita di negara ini telah banyak berubah.
Menurut beliau, penglibatan golongan wanita di dalam sektor korporat dan perniagaan jelas membuktikan bahawa dasar kerajaan yang sedia ada hari ini berjaya mengangkat martabat kaum wanita selari dengan arus pembangunan negara.
“Hari ini kita boleh lihat lebih dari 80,000 usahawan di negara ini terdiri dari golongan wanita, di mana 51 peratus daripadanya berada dalam lingkungan umur 20 hingga 40 tahun. Ini membuktikan bahawa peranan wanita dalam memacu ekonomi negara semakin berkembang baik di negara ini.
“Hasil kejayaan kaum wanita di negara ini merupakan usaha dan komitmen kerajaan yang memberi penekanan bagi memperkasakan golongan wanita dengan memberkan peluang yang lebih luas dalam bidang pendidikan, perniagaan dan kemahiran secara berterusan.
“Justeru itu, kita dapat lihat hari ini telah ramai golongan wanita yang menceburi bidang-bidang profesional yang mana dulunya didominasikan oleh golongan lelaki,” katanya ketika berucap di Majlis Himpunan Wanita Muda Negara 2012 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Tambahnya lagi, kejayaan wanita hari ini merupakan satu kesinambungan kejayaan wanita terdahulu yang mana telah melahirkan ramai tokoh-tokoh wanita yang terlibat di pelbagai bidang dalam sumbangan mereka untuk memajukan negara.
“Nama-nama seperti Tan Sri Fatimah Hashim, Tan Sri Aisyah Ghani, Ibu Zain, Toh Puan Uma Sambathan, Datuk Rasammah Bhupalan merupakan antara tokoh-tokoh wanita yang banyak berkorban dan memberikan sumbangan yang tidak ternilai dalam usaha memertabatkan golongan wanita di negara ini.
“Kini, hasil kesinambungan perjuangan golongan wanita terdahulu maka muncul beberapa tokoh wanita masa kini seperti Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari, Tan Sri Sharipah Hapsah dan ramai lagi yang telah menjadi kebanggaan negara lantara kejayaan mereka di dalam dan di luar negara,” jelasnya.
Beliau yang  juga sebagai penaung program tersebut meluahkan  rasa syukur dengan keprihatinan kerajaan dalam usaha membantu golongan wanita melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA), Amanah Ikhtiar Malaysia, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Skim Bantuan Khas Usahawan Wanita SME Corp dan pelbagai lagi dana dan program latihan yang dibuat oleh kerajaan khusus kepada golongan tersebut.
“Walaupun pelbagai program telah disediakan oleh kerajaan, namun golongan wanita di negara ini harus mempunyai keyakinan diri bahawa kita juga mempunyai peranan yang besar untuk menyumbang bagi pembangunan negara.
“Ini untuk memastikan golongan wanita di negara ini tidak ketinggalan dan turut sama menggembleng tenaga bersama-sama golongan lelaki dalam usaha untuk membina sebuah negara yang maju di dalam pelbagai bidang di negara ini,” ujarnya.
Majlis tersebut yang julung-julung kali diadakan dipengerusikan oleh Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dengan kerjasama beliawanis parti komponen seperti MIC, MCA, PPP, Gerakan, Majlis Belia Malaysia, Gerakan Belia 4B dan NGO-NGO Belia di seluruh negara.
Datin Paduka Seri Rosmah Mansor turut menyampaikan Anugerah Kesatria Puteri kepada 12 individu bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang mereka dalam bidang masing-masing.  Manakala YTM Dato DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Tunku Panglima Besar Kedah dianugerahkan Anugerah Nusa Mahsuri di atas sumbangan dan jasa YTM Tunku Puteri dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakat. -MediaUMNO

Sunday 25 November 2012

Karnival Usahawan RISDA 2012 beri manfaat kepada usahawan

Oleh: Noraini Jusoh


Berteraskan slogan ‘Menjana Usahawan Global’ Karnival Usahawan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) 2012 dan Pelancaran Kelab Usahawan RISDA (RISEC) Peringkat Nasional telah berjaya menghimpunkan ramai usahawan RISDA di bawah satu bumbung melalui pelbagai aktiviti yang bermanfaat.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 November tersebut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti demostrasi gubahan bunga daun getah, pameran dan gerai jualan produk usahawan, serta taklimat agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Agrobank.

Selain itu, para usahawan khususnya dan orang ramai yang berkunjung ke karnival yang berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) tersebut amnya, juga dapat menyertai pertandingan karaoke, sukaneka terbuka, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti menarik lain yang disediakan.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Haji Asha’ari Idris berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha memperkasa bidang keusahawanan dengan mempertingkatkan penglibatan usahawan tempatan terutamnya dalam bidang pembuatan, perdagangan, perkhidmatan dan peruncitan dengan menyediakan kemudahan pinjaman perniagaan, kursus serta latihan dan bimbingan kepada para usahawan.


"Justeru melalui karnival seumpama ini contohnya, usahawan
 RISDA khususnya boleh manfaatkan peluang yang disediakan untuk mempromosikan produk masing-masing.

"Pihak kerajaan telah sediakan jalan serta peluang dan menjadi tanggungjawab para usahawan untuk tingkatkan usaha demi menjana pendapatan yang lebih lumayan,” ujarnya dalam ucapan aluan sempena majlis perasmian penutup karnival tersebut yang berlangsung di Galeri A, TTC, hari ini.


Katanya, beliau difahamkan jumlah usahawan RISDA di negeri ini kira-kira 772 orang serta seramai 28,485 orang pula pekebun kecil RISDA, justeru beliau mengharapkan RISDA akan terus membimbing usahawan dikalangan rakyat Terengganu demi merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan lebih ramai usahawan dari kalangan rakyatnya.


Haji Asha’ari yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, penghargaan harus diberikan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta RISDA yang telah berjaya menganjurkan karnival yang dapat menjadi platform kepada para usahawan dalam menambah pengalaman serta meningkatkan pengetahuan untuk lebih memajukan perniagaan masing-masing.   

Bakal jurutera jaguh kereta kertas

Oleh NURUL HUSNA MAHMUD
husna@hmetro.com.my



MENCATAT masa terpantas menjadi misi utama kumpulan tiga anak muda bernama Mili Second atau M.S dalam Pertandingan Kereta Kertas di Dewan Hyogo, Majlis Amanah Rakyat (MARA) Japan Industrial Institute (MJII), di Beranang baru-baru ini.

Kejayaan mengungguli tujuh siri perlumbaan membuatkan model kereta diilhamkan daripada rekaan asal Tamiya Black Saber, kereta mainan terkenal dari Jepun, nyata memberi kelebihan memenangi pertandingan terbabit.


Kereta kertas kumpulan itu mencatat keputusan terpantas 4.4 saat bagi trek sepanjang 13 meter, membuatkan dewan dipenuhi 60 peserta serta lebih 10 tenaga pengajar gamat dengan sorakan tatkala pesaingnya tidak mengalah dan terus bertarung hebat.

Ketua pasukan M.S, Muhammad Zaim Zamri, 18, berkata, dia tidak menaruh harapan tinggi untuk memenangi kejohanan terbabit dan meletakkan sasaran tiga tangga teratas berikutan saingan cukup hampir apabila semua pasukan menggunakan model motor kenderaan sama iaitu kereta mainan Tamiya.



“Saya bersama rakan, Mohd Amirul Aiman Mohd Isa serta Hafiz Firdaus Hashim sempat melakukan ujian masa dan berdasarkan rekod yang diperoleh, kami membandingkannya dengan prestasi kumpulan lain. Nyata peluang untuk berada di tangga tiga terbaik cerah.



“Namun untuk bergelar juara, keputusan agak kabur kerana ujian itu hanya keputusan awal dan ketika itu masih ada tempoh tiga hari sebelum pertandingan menjelang. Tentunya pasukan lain turut giat melakukan penambahbaikan memastikan kereta mereka lebih pantas,” katanya.

Sebaik diasak tidakkah tindakan bersaing awal dengan kumpulan lain berrisiko kerana pihak lawan tahu kekuatan kereta mereka, ketua pasukan M.S itu tersenyum sambil memaklumkan rekaan ketika itu hanya pelan awal dan masih dalam peringkat perangkaan.

“Pentingnya kami mengambil inisiatif sendiri mengajak rakan lain menguji kenderaan masing-masing, kami ingin melihat sejauh mana reka bentuk dihasilkan sesuai dengan motor berkuasa bateri disediakan penganjur.

“Tetapi strategi kami ialah ketika sesi ujian masa itu dijalankan, kami menggunakan model kereta ‘separuh masak’ atau prototaip bagi memastikan rekaan cukup sempurna sebelum model sebenar untuk pertandingan dihasilkan,” katanya yang menyimpan hasrat menjadi jurutera mekanikal.

Dia yang membelanjakan kurang RM100 untuk keseluruhan projek itu, tidak menolak dia mempunyai strategi tersendiri dalam meminimumkan kos. 

“Kami pelajar dan sudah tentunya apabila membabitkan projek sebegini, perancangan bukan saja di segi reka bentuk dan masa, kami juga menitikberatkan soal kos bagi mengelak pembaziran bahan.

“Tambah pula ia berkenaan kertas, saranan tenaga pengajar agar kami lebih mesra alam dengan mengitar semula bahan seperti kotak dan kertas terpakai,” katanya.

Pandangan Zaim disokong Amirul Amin Zulkafli, 18, yang berkata kumpulannya hanya mengeluarkan kos sekitar RM20 bagi membeli gear dan bateri.

“Dalam pertandingan ini kami perlu bijak menggunakan sumber ada. Mujurlah komponen untuk struktur luar mesti diperbuat daripada kertas, kami dapat menjimatkan sumber apabila bahan digunakan adalah bahan terpakai.

“Konsep perlu disesuaikan menggunakan material yang ringan tapi kukuh. Lantaran itu penggunaan kotak serta kertas lama sebagai bahan utama pilihan sesuai dalam mereka bentuk rangka kereta inspirasi daripada kombinasi model Toyota FSTH dan Lamborghini,” katanya.

Ditanya mengapa dia berasakan dua model terbabit cukup rasional digabungkan dalam satu pakej, ketua kumpulan Tensu Zangetsu (bermaksud bulan memotong rantai langit) itu berkata teknologi kedua-dua kereta terbabit mempunyai kekuatan setara dalam reka bentuk mendorong kelajuan.

“Kami mengkaji sistem takal (pulley) kedua-dua kereta lalu diguna pakai dalam konsep kereta kertas kami. Selain rekaan kereta, terdapat rombakan pada gear dan saiz mahupun ketebalan tayar membantu kereta bergerak lebih laju.

“Namun, masalah berkaitan memastikan ia terus lurus pada trek mulai timbul.
Kali ini ujian lebih teliti dilakukan seperti prospek nisbah gear dan motor juga perlu diseimbangkan agar kereta tidak melencong,” katanya.

Wakil tempat kedua, Naqiuddin Redzuan, 18, pula berkata soal nasib juga menjadi penentu dalam pertandingan itu.

“Memang peluang memenangi adalah 50-50 dan tentunya ia masih berkait rapat dalam soal rezeki. Contohnya ketika sesi awal memang kereta kami agak cemerlang dan ia konsisten sehingga separuh akhir.

“Namun, apabila tiba penentuan juara, kereta kami ‘jammed’ dan tidak bergerak seperti dijangka menyebabkan kami akur ia bukan rezeki kami. Begitupun kami bersyukur kereta bertahan sehingga separuh akhir,” katanya sambil menerangkan model kereta miliknya bersama tiga ahli lain hanya menggunakan tiga roda berbanding empat roda.

Seorang ahli pasukan wanita, Adibah Abdul Aziz,18, berkata dia tetap gembira meskipun hanya layak ke suku akhir.

“Puas hati apabila kereta direka saya bersama ahli pasukan mara ke peringkat suku akhir. Mulanya tidak percaya kerana kereta kami rosak sehari sebelum pertandingan yang mana bahagian roda patah.

“Terfikir juga hendak menarik diri tetapi rugi pula memikirkan tidak dapat memeriahkan pertandingan terbabit menyebabkan kami teruskan juga dan membaiki serba sedikit bahagian rosak.

“Alhamdulillah kereta kertas kami bertahan sehingga suku akhir dan mengalahkan beberapa kumpulan lelaki,” katanya bangga dengan prestasi kumpulannya.

Sementara itu, Pensyarah Kejuruteraan, Mohd Rozaimi Zahidin, berkata pertandingan berkenaan dilihat sebagai penilaian bagi subjek pengenalan kejuruteraan dihadiri oleh pelajar terbabit.

“Pelajar ini tiada ujian khusus tetapi mereka dinilai bermula daripada teori menerusi penyediaan kertas cadangan dua bulan lalu hinggalah ke peringkat amali dalam bentuk pertandingan kereta kertas ini bagi menguji kenderaan masing-masing,” katanya.

PROFIL 1:

NAMA PENUH: Amirul Amin Zulkafli
ASAL: Seremban, Negeri Sembilan.
KUMPULAN: Tensu Zangetsu
KONSEP KERETA: Toyota FHTS dan Lamborgini.
MASA TERBAIK: 4.39 saat

PROFIL 2:

NAMA PENUH: Adibah Abdul Aziz
ASAL: Temerloh, Pahang.
KUMPULAN: The Transcend
KONSEP KERETA: Ferrari Enzo & watak Transformers, Optimus Prime.
MASA TERBAIK: 8.39 saat

PROFIL 3:

NAMA PENUH: Muhammad Zaim Zamri
ASAL: Gombak, Selangor.
KUMPULAN: Mili Second (M.S)
KONSEP KERETA: Tamiya Black Saber 
MASA TERBAIK: 4.4 saat.

Pelajar dan Warga IKM Pekan Prihatin Isu Gaza


PEKAN, PAHANG, 23 Nov 2012 - Sempena memperingati peristiwa 10 Muharam 1434H, warga kerja dan pelajar-pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Tan Sri Yahya Ahmad, Pekan, Pahang telah mengadakan majlis ceramah khas "Selamatkan Gaza" di Masjid IKM pada 22 November selepas solat maghrib.
Seramai 400 orang pelajar termasuk kakitangan IKM telah hadir termasuklah Pengarah IKM, Feshol Taib. Majlis dimulakan dengan solat maghrib, solat hajat khas untuk keselamatan umat Islam di Gaza, ceramah khas Gaza dan diakhiri dengan pengagihan bubur asyura kepada pelajar dan ahli jemaah.
Ceramah Palestin telah disampaikan oleh Ketua Biro HALUAN Palestin Pahang, Abd. Bashir Abd. Ghani yang telah menziarahi bumi Gaza pada bulan April lepas. Ceramah selama dua jam diselangi dengan tayangan video terkini serangan rejim Zionis ke atas bumi Gaza telah berjaya menarik minat jemaah yang hadir.
Dalam ceramahnya, Abd. Bashir menerangkan kepentingan Palestin dalam kehidupan ummah dan adalah menjadi tanggungjawab umat Islam mempertahankan bumi anbiya ini dan berusaha membebaskan Masjid al-Aqsa daripada cengkaman rejim Zionis Israel.
Beliau turut berkongsi penderitaan rakyat Gaza yang diserang oleh jet pejuang serta kapal perang rejim Zionis Israel sehingga membunuh dan mencederakan ribuan orang awam termasuklah kanak-kanak serta memusnahkan banyak kediaman dan bangunan awam di Gaza.
Hadirin bukan hanya dipaparkan informasi dan tayangan video mengenai penderitaan rakyat Gaza malah mereka diajak untuk membantu dengan kemampuan yang ada termasuklah melalui iringan doa, derma ikhlas dan tindakan memboikot barangan yang mempunyai kaitan dengan ekonomi Israel. Walaupun gencatan senjata telah diisytiharkan, usaha membantu rakyat Gaza dan Palestin mesti diteruskan sehingga bumi Palestin bebas daripada cengkaman penjajahan.
Kutipan derma untuk Palestin telah pun dibuat sebelum ini dan pada malam itu tabung derma HALUAN Palestin turut diedarkan kepada hadirin yang masih ingin menderma. Alhamdulillah, sebanyak RM2,648 termasuk wang zakat dapat dikumpulkan pada majlis ini. Penyerahan derma untuk Tabung Palestin tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah IKM sendiri.
Abd. Bashir mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengarah dan semua warga kerja IKM Pekan serta pelajarnya atas keprihatinan mereka dalam isu penderitaan umat Islam di Gaza.
HALUAN Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua penderma dan akan menyampaikan sumbangan terus kepada rakyat Gaza yang memerlukan dalam masa terdekat.
Laporan oleh: wakil mediaHALUAN Pahang
Pelajar IKM dan jemaah masjid tekun mendengar ceramah Gaza
Wakil HALUAN Cawangan Pahang menerima sumbangan derma untuk Gaza daripada Pengetua IKM Pekan
Wakil HALUAN Cawangan Pahang bersama Pengarah dan Pegawai Kanan IKM dan Masjid

Sunday 18 November 2012

Heliza, Yatt cari reda Allah



POPULAR disebut hijabista, fesyen berhijab sedang meluas dan semakin menyesap menjadi identiti baharu dalam kalangan gadis-gadis dan wanita muslimah ketika ini. Ia cantik dipandang, mudah digayakan, urban dan lebih penting lagi, ia fesyen menurut syariat Islam.
Mengundang lebih tarikan, penghijrahan ramai selebriti cantik untuk kembali kepada fitrah menjadikan fesyen berhijab satu gejala sihat. Nama-nama seperti Natasha Hudson, Catriona Ross, Haryati atau Yatt Hamzah, Farah Asyikin, Aida Khalida, mereka itu sebahagian daripada teladan indah.
Seiring juga dengan sambutan Maal Hijrah 1434H yang baru diraikan Khamis lepas, Sensasi Bintang menggandingkan si cantik yang bertudung litup, Heliza Helmi dan Yatt Hamzah untuk berkongsi ilmu. Mereka bercakap tentang Festival Hijab 2012 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 23 November ini di Anggerik Mall, Shah Alam.
Tidak sekadar menjadi penyeri kepada pengisian ekspo tudung yang dianjurkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Nasyeed Eduatiment Sdn. Bhd. itu, Heliza secara rasmi dilantik sebagai ikon festival manakala Yatt pula akan menjadi sebahagian wajah yang akan mengisi pelbagai aktiviti sepanjang festival.
SENSASI BINTANG: Boleh nyatakan peranan yang dimainkan oleh kalian berdua dalam festival itu.
HELIZA HELMI (H): Saya dilantik sebagai ikon festival berkenaan. Sebenarnya ramai lagi kawan artis lain terlibat seperti Catriona Ross, Diana Amir, Noryn Aziz, Enot dan Salima AF. Kami bukan sahaja akan menjadi ejen promosi kepada festival terbabit malah akan turut serta dalam aktiviti percambahan ilmu di sana. Di sana nanti akan ada 60 buah gerai termasuklah gerai para artis yang akan membuat lelongan amal. Jualan amal pula akan disumbangkan kepada badan kebajikan.
YATT HAMZAH (Y): Saya akan turun padang sebagai pengacara sepanjang festival berlangsung, selain itu bertindak sebagai salah seorang panel dalam beberapa slot aktiviti yang dijalankan contohnya untuk aktiviti kanak-kanak menghiaskan ibu masing-masing, slot uji minda, slot Anakku Soleh serta satu forum bertajuk Anak Solehah. Pada 24 November pula ada acara perasmian dan jangan lupa untuk datang tengok demonstrasi buat kek bersama Enot.
Bagaimana sambutan umum festival berkonsepkan keislaman itu?
H: Jika dimanfaatkan dengan betul, program sebegini dapat mengukuhkan ukhuwah sesama insan, lebih penting lagi ikatan dalam sesebuah keluarga kerana ia boleh menjadi aktiviti hujung minggu. Satu hal lagi, festival ini juga satu medan percambahan ilmu. Boleh jadi juga satu bisnes yang bagus untuk galakkan kempen bertudung. Jalan risau, majlis ini dipantau sepenuhnya oleh pakar yang arif dalam Islam.
Y: Saya baru tujuh bulan mengenakan tudung. Majlis berkonsepkan keislaman memang sangat memberangsangkan terutamanya apabila melibat wanita dan pakaian muslimah. Kami umpama ejen-ejen promosi yang menjalankan amanah tanpa bertentangan syarak. Ini kira semacam tarbiah bahkan satu dakwah secara langsung.
Heliza sudah bertudung sebelum popular manakala Yatt pula antara artis yang baharu dalam aliran ini. Bagaimana kalian mengenakan fesyen berhijab ketika ini?
H: Sekarang ada macam-macam stail tudung sampai tak terikut. Saya suka jenis yang simple. Saya juga lihat ia perkembangan yang baik, saya sendiri buka butik Heliza Helmi Hijab dan sediakan tutorial pemakaian tudung.
Y: Perkembangan fesyen hijab sangat berwarna-warni, yang penting ialah berhijab. Ini juga peluang artis seperti kami untuk ajak peminat mendekati fesyen hijab, biarpun bertudung tapi masih boleh kelihatan cantik dan bergaya. Bisnes pakaian muslimah dan tudung pun makin kencang sekarang.
Pemerhatian kalian terhadap rakan-rakan artis yang semakin ramai mengenakan hijab?
H: Syukur, sangat gembira dan istiqamah tanpa henti. Saya bersama kelompok yang dinamakan usrah giat dengan aktiviti keagamaan setiap minggu. Di situ kami tetapkan matlamat hidup, dunia dan akhirat. Bila matlamat kita sudah tetap, barulah hidup kita tersusun cantik. Bagaimanapun kita tetap manusia biasa.
Y: Dahulu jarang ada kawan-kawan yang tegur bila kita tergelincir, sekarang kami bersama-sama macam sebuah keluarga. Kalau yang ada tergelincir, kita sama-sama tegur. Saya nampak ia satu perkembangan yang sangat murni. Heliza pula macam ustazah kepada saya.
Ada artis yang dahulunya bertudung kemudian buat penampilan semula dengan imej dedah aurat. Komen kalian?
H: Ada satu doa, antaranya berbunyi 'apabila kita diturunkan hidayah, janganlah ia dibolak-balik'. Semua orang boleh dapat hidayah tapi tak semua boleh dapat taufik. Kita doakan yang baik-baik semoga individu berkaitan diberi lebih kekuatan. Kita tak boleh tuding satu jari, sebalik-sebalik tuding sepuluh jari untuk bantu dan beri sokongan. Perkara sebegitu boleh jadi kepada diri sendiri juga.
Y: Apabila ia terjadi kepada artis, orang mudah nampak, tapi itu urusan individu berkaitan dengan Allah. Semoga dia diperkuatkan hati, sebab kalau kurang ilmu, apa jua perkara boleh berlaku. Sebab itu juga, kalau nak berubah tak boleh sendirian. Macam kita tengok ucapan Pierre Andre semasa Anugerah Skrin baru-baru ini, rasanya Pierre sekarang sealiran dengan kami semua.
Sempena Maal Hijrah 1434H tahun ini, apa resolusi pertama kalian?
H: Banyak lagi hijrah yang perlu saya lakukan, pertama sekali, hijrah hati. Macam teko yang berisi air. Warna air yang dituangkan ke dalam cawan sama dengan warna air di dalam teko. Jadi, hati kena betul. Saya mahu jumpa Rasulullah SAW dan masuk syurga Allah SWT. Mahu hidup bahagia lagi membahagiakan. Islam itu syumul, saya sentiasa kena muhasabah diri.
Y: Hijrah itu perpindahan. Maal Hijrah tahun ini pula sangat bermakna buat saya yang baru menutup aurat ini. Syaitan itu masih banyak yang bergayut pada tudung saya dan ajak saya kembali buat benda negatif. Saya kena istiqamah, Islam itu mudah tapi tak boleh diambil mudah. Apa-apa pun hijrahkan diri sendiri dulu. Tunjukkan sikap dan peribadi yang cantik kerana Allah sukakan kecantikan.

Friday 16 November 2012

Konsep pendidikan Ulul Albab sesuai diserapkan


16/11/2012 3:27pm

BESUT – Konsep pendidikan ”Ulul Albab” sesuai diserapkan ke dalam sekolah berasrama penuh bagi melahirkan generasi yang seimbang pada aspek duniawi dan akhirat, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Idris Jusoh.
Katanya, konsep pembelajaran yang berlandaskan al-Quran dengan menggabungkan sains, teknologi serta moral itu berupaya melahirkan generasi yang sesuai untuk Malaysia sebagai negara Islam.
"Sains, teknologi dan pembangunan moral melalui pendidikan berkonsepkan Ulul Albab merupakan fokus utama yang sepatutnya diberi perhatian dalam pendidikan kerana ia dapat menyelamatkan negara daripada pelbagai masalah sosial,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, pendidikan yang hanya menekankan sains dan teknologi tidak dapat mengatasi isu moral yang semakin serius dalam kalangan generasi muda masa kini.
Idris berkata, buat masa ini tiga Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) iaitu di Besut, Gemenceh dan Kepala Batas telah mengguna pakai konsep Ulul Albab sejak tiga tahun lepas.
Selain berjaya melahirkan pelajar yang hafaz al-Quran, majoriti pelajar di MRSM berkenaan menguasai pelajaran dalam bidang sains dan teknologi, katanya. – BERNAMA

Pemilik restoran mohon PBT bersihkan longkang tersumbat


SRI AMAN: Pemilik beberapa restoran di Bangunan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dekat sini memohon kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini agar mengambil tindakan segera membersihkan longkang yang tersumbat di bangunan berkenaan.

Menurut salah seorang pemilik restoran berkenaan, longkang yang tersumbat yang terletak di belakang restoran ini telah dibiarkan begitu sahaja tanpa dibersihkan oleh PBT.

“Kami telah membuat aduan kepada PBT tetapi aduan kami tidak diendahkan dan keadaan longkang yang tersumbat dan air bertakung di dalam longkang berkenaan semakin teruk.

“Keadaan longkang yang berbau busuk juga kurang memberi keselesaan kepada kami apatah lagi kepada para pelanggan yang sering berkunjung ke restoran kami,” ujarnya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Katanya adakalanya pihaknya cuba meembersihkan sendiri longkang itu dengan mengadakan gotong-royong bersama pemilik restoran yang lain akan tetapi keadaan berubah sekejap sahaja memandangkan tiada aliran keluar dari longkang berkenaan ke longkang utama.

“Oleh yang demikian kami memohon jasa baik pihak PBT di sini agar mengambil tindakan segera memandangkan air yang bertakung di dalam longkang ini semakin teruk.

“Apatah lagi dalam keadaan sekarang ini serangan nyamuk denggi semakin menjadi-jadi dan semua ini boleh menyebabkan nyamuk aedes atau denggi cepat membiak,” jelasnya.

Tambahnya sebelum ini ada sekali PBT datang untuk membersihkan longkang di kawasan ini, tetapi malangnya, pihak berkenaan hanya menyembur sahaja longkang tanpa mengorek segala tanah mahupun lumpur yang telah lama berkumpul di dalam longkang itu.

“Kami amat mengharapkan PBT dapat tampil segera untuk menyelesaikan masalah ini,” tegasnya.

Wednesday 14 November 2012

Pelajar GiatMara dipilih wakili negara




Rahim Abdul Latif ( barisan belakang, tengah ) bergambar bersama tenaga pengajar dan peserta pada Majlis Perlepasan Peserta GiatMara ke ASC 2012 baru-baru ini.

TUJUH pelajar terbaik dari GiatMara Malaysia dipilih mewakili negara dalam Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) 2012 di Jakarta, Indonesia bermula dari 13 hingga 20 November ini.

Mereka terdiri daripada wakil pelajar GiatMara Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Nurul Hidayah Mohd Sabri; Siti Nor Fatihah Loh (GiatMara Kepong, Selangor ); Ainun Basyirah Arifin (GiatMara Ampang Jaya, Selangor); Ruqaiyah Azahar (GiatMara Kuala Pilah, Negeri Sembilan); Abdul Latif Ibrahim (GiatMara Kepala Batas, Pulau Pinang); Marcillos Chung Chin Loong Joinery (GiatMara Kota Marudu, Sabah) dan Mohd. Shahrul Nizam Latif (GiatMara Setiu, Terengganu).

Pertandingan kali ke-21 itu bakal menyaksikan sebanyak 21 bidang kemahiran dipertandingkan bagi menguji kemahiran dan memilih peserta yang layak membawa cabaran negara masing-masing dari ASEAN di Jakarta, dan seterusnya World Skill Competition (WSC) 2013 di Leipzig, Jerman.

Ketua Pengawai Eksekutifnya, Meriyam Abdul Majid berkata, tujuh pelajar GiatMara dipilih mewakili negara selepas memenangi kategori masing-masing pada Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) yang berakhir Julai lalu.

"Saya bersyukur dan bangga dengan penyertaan dan pencapaian pelajar GiatMara dan berharap mereka dapat membawa nama GiatMara dan mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat dalam pertandingan itu.

"Dalam pada itu pelbagai persiapan sudah dijalankan seperti latihan insentif yang meliputi bidang kemahiran antaranya kimpalan, terapi kecantikan pemasangan elektrik dan teknologi rekaan grafik, teknologi fesyen, terapi kecantikan, automotif dan sebagainya," katanya ketika berucap pada Majlis Perlepasan Peserta GiatMara ke ASC 2012 baru-baru ini.

Majlis perlepasan itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Abd Rahim Abd. Ghani.

ASC 2012 bakal menyaksikan 44 pelajar dari institusi latihan seluruh negara termasuk tujuh pelajar dari GiatMara yang mewakili Malaysia ke pertandingan itu selain pelajar dari Institut Latihan Perindustrian, Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara dan Politeknik.

ASC merupakan pertandingan di peringkat ASEANyang dianjurkan dua tahun sekali secara bergilir-gilir oleh negara terlibat dan memberi peluang kepada golongan belia berusia 17 hingga 22 tahun menunjukkan bakat dan kemahiran.

Meriyam berkata, pertandingan kemahiran ASC yang dianjurkan setiap tahun itu bagi memilih dan mengiktiraf pelajar-pelajar mahir dari seluruh ASEAN yang mempunyai kemahiran yang unggul.

"Ia merupakan landasan kepada pelajar dan belia dari negara ASEAN untuk bertanding, mendapat pengiktirafan dan memperolehi peluang untuk menonjolkan bakat dan kemahiran untuk bertanding di peringkat dunia selain menggalakkan kerjasama di antara kerajaan negara ASEAN.

"Selain itu ia juga dapat mengukuhkan hubungan industri dan agensi latihan negara-negara ASEAN melalui pertukaran kaedah, teknologi, dan proses pembuatan dan perkhidmatan serta sebagai persediaan untuk menyertai World Skills," katanya.

Dalam pada itu, Meriyam berkata, GiatMara telah menyertai pertandingan ini sejak 1989 dan berjaya menggondol lima emas, empat perak dan lima gangsa.

Monday 12 November 2012

RM107mln spent to help Sabah Bumis this year – MARA


KOTA KINABALU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) has spent RM107.76 million for developing Bumiputera entrepreneurs in Sabah as of October this year, according to its council member Datuk Dr Yosuf Yacob.

He said that of the amount, RM100.61 million was used for assisting Bumiputera contractors in various sectors under the Express Contract Funding Scheme (SPiKE) while the remaining RM7.15 mil was utilized under the Business Development Scheme (SPPP).

Entrepreneurship development needs to be implemented aggressively to help narrow economic gap between the Bumiputeras and other races, Yosuf said when officiating at the closing of “Graduates Transformation: Road to Millionaire” Seminar at Universiti Malaysia Sabah (UMS) here yesterday.

He said the Bumiputeras are still lagging far behind in terms of economic achievement despite being the majority group, controlling only about 19 per cent of country’s economic activities.

In terms of asset ownership, he said the group fares even worse at only about 14 per cent.

“The Bumiputeras represent about 60 per cent of the population but in business, we are the minority.

“It begs the question why can’t we do better, and traditional wisdom says unlevel field is to be blamed for our slow progress,” he said.

Yosuf said that while there may be some truth to this, it is also a convincing argument that despite ample opportunities, Bumiputeras are still lagging behind, because they do not have the necessary skills and mindset to exploit these opportunities.

In view of this, entrepreneurship development programmes are vital in equipping the Bumiputeras with the right knowledge and motivation to succeed in business, he said.

In the same period of ten months this year, Yosuf said MARA has trained and groomed 2,327 Bumiputera entrepreneurs in various sectors.

However, he said only 192 of them were university graduates, indicating that university leavers in Sabah were more inclined to seek employment than to venture into business.

He added this also highlighted the need for reviewing existing education approach at the higher learning institutes, to better promote and develop entrepreneurship spirit among students.

He also informed that MARA has provided 329 business premises for local Bumiputera entrepreneurs in Sabah.

More govt agencies to offer services at Kelantan RTC — Ali Hamsa


KOTA BAHARU: More government agencies will make available their services at the Kelantan Rural Transformation Centre (RTC) to meet the people’s needs, Chief Secretary to the Government (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa said.

He said currently, 32 government departments and agencies had made available their services at the centre.

The availability of such services at one place seems to provide so much convenience to the public and it will be given added value, he told reporters after visiting the RTC at Tunjung here yesterday.

The Kelantan RTC, opened by Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak last May, draw an average of 4,000 to 5,000 visitors on normal days, between 8,000 and 10,000 people on public holidays and 10,000 to 15,000 people when it is made the venue for special programmes or carnivals.

Some financial institutions and private companies also made available their services for the public at RTC.

Ali said a surau, costing RM300,000, and a RM100,000 futsal court were being built at the RTC to provide additional facilities for visitors and traders there.

He said the Kelantan RTC, which also served as the centre for collecting and marketing of agriculture produce and products, also recorded an encouraging business performance.

The sales value of agriculture product for this year is expected to exceed RM200 million, higher than the targetted sales for his year which is RM180 million, he added.

He said the presence of RTC had enabled the rural residents to increase their income as they no longer had to rely on middlemen to market their agriculture products and produce. — Bernama

Wednesday 7 November 2012

Tiga agensi meterai MoU bangun ekonomi, pendidikan Wilayah Ketengah



Mohd. Shafie Apdal (berdiri dua dari kanan) menyaksikan Ibrahim Ahmad (duduk, kiri), Wan Mat Amin Wan Daud (tengah) dan Hassan Mohd. Amin (duduk, kanan) menandatangani MoU di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu, semalam.

DUNGUN 6 Nov. - Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bergabung buat pertama kali dalam usaha pembangunan ekonomi, pendidikan, modal insan serta keusahawanan dalam pelbagai sektor pelaburan.

Kerjasama tiga agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu yang tertumpu di Terengganu khususnya Wilayah Ketengah termeterai dalam majlis menandatangani kerjasama persefahaman (MoU) di sini semalam.

Dalam majlis itu, MARA diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Ahmad; Ketengah oleh Pengurus Besar, Wan Mat Amin Wan Daud manakala Kemas diwakili Ketua Pengarah, Hassan Mohd. Amin.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut menyaksikan MoU berkenaan.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, kerjasama itu diharap memberi peluang kepada usahawan di negeri ini yang dibimbing Ketengah, Mara dan Kemas lebih berdaya saing di peringkat global selain membantu meningkatkan peluang pelaburan dalam pembangunan wilayah ini.

“Di samping itu, usaha membangunkan modal insan dan pendidikan juga diperkukuh dengan kewujudan Kolej Ketengah yang akan diberi nafas baharu sebagai nadi memacu bidang pendidikan ke peringkat global," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis itu.

Mohd. Shafie memberitahu, kerjasama strategik antara Ketengah dan Mara juga bakal menyaksikan sebanyak 350 pelajar cemerlang disasarkan bagi pengambilan pertama tahun depan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat A-Level sebagai persediaan ke luar negara.

Jelasnya, Kolej Ketengah juga akan bekerjasama dengan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Kemas bagi mengendalikan program latihan diploma kepada guru prasekolah di seluruh negara.

“Sehingga kini, sebanyak 3,621 guru Tabika Kemas mengikuti kursus diploma perguruan Malaysia dan sebanyak 2,148 telah tamat pengajian masing-masing sementara baki 1,473 orang masih dalam pengajian," ujarnya.

Bidang teknikal lahir usahawan berdaya saing



Sebahagian daripada graduan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dan Institut Kemahiran Mara (IKM) yang menerima diploma dan sijil pada Konvokesyen Perdana KKTM & IKM 2012 di Bangi, Selangor, semalam. - UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Dasar Pendidikan Teknik dan Vokasional di Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA (BKT) dilihat berperanan penting bagi membantu pelajar lebih cenderung dalam bidang keusahawanan tanpa perlu bergantung kepada kerajaan untuk mencari kerja.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Ibrahim Ahmad berkata, dasar tersebut bukan sahaja melahirkan usahawan yang berdaya saing malah membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Katanya, dasar kemahiran dan teknikal juga mampu menghasilkan modal insan berkemahiran, progresif dan dinamik yang akan menjadi penentu kejayaan bidang teknologi dan industri negara.

"Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung keperluan negara buat masa ini dan masa hadapan selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencapai tahap perindustrian di dalam Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Konvokesyen Perdana Kolej Kemahiran Teknologi Mara (KKTM) dan Institut Kemahiran Mara (IKM) dekat sini hari ini.

Jelasnya, dasar tersebut bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi jumlah malah kualiti.

"Dasar ini seharusnya menggalakkan lebih ramai pelajar yang terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan selaras dengan dasar kerajaan menekankan penyertaan swasta secara aktif," ujarnya.

Katanya, kemahiran yang diperolehi amat sesuai dijadikan landasan untuk memulakan perniagaan.

"Saya berharap lebih ramai graduan akan memilih keusahawanan sebagai kerjaya untuk menjadikan mereka lebih berdaya saing dan mampu berdikari serta menjadi pemangkin kepada peningkatan status Malaysia kepada sebuah negara berpendapatan tinggi," katanya.

MARA SASAR 500 JUTAWAN MENJELANG 2020


MARANG 7 Nov. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan 500 usahawan Bumiputera mencapai status jutawan menjelang 2020.

Timbalan Ketua Pengarah (Usahawan) MARA Datuk Mohd Rosdi Ismail berkata, setakat ini 157 usahawan jutawan telah dihasilkan agensi itu menerusi pelbagai program yang dilaksana.

Jutawan yang dimaksudkan ini ialah mereka yang memperolehi pendapatan tidak kurang RM2 juta setahun," katanya kepada pemberita selepas Karnival dan Pameran Produk Usahawan Daerah Marang, di sini hari ini.

Mohd Rosdi berkata, untuk tahun ini, Mara setakat September lepas telah mengeluarkan RM475 juta sebagai pinjaman modal kepada 5,375 usahawan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, RM43.8 juta untuk pembiayaan 501 usahawan di Terengganu, katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh 1951 sehingga akhir Rancangan Malaysia Kesembilan, Mara membelanjakan RM4 bilion bagi melahirkan 197,000 ussahawan.

Bagaimanapun katanya hanya 60,000 masih aktif. Mohd Rosli berkata, Mara juga memberikan tumpuan serta membantu penjaja kecil dan sehingga akhir bulan lepas agensi itu membantu 6,683 orang, melibatkan pembiayaan RM43 juta.

Penjaja kecil ini diberi bantuan sehingga RM10,000 seorang dan di Terengganu sebanyak 849 orang mendapat manfaat dengan pembiayaan RM4.4 juta, katanya.

Katanya, jika di daerah Marang sahaja ada 91 orang penjaja kecil yang telah kita berikan pembiayaan sejumlah RM125,000.

Mengulas perkara berbeza, Mohd Rosdi berkata, Mara telah melancarkan tiga kompleks Halal Park iaitu di Pengkalan Chepa, Kelantan; Tambun (Perak) dan Kuala Perlis (Perlis).

Mara dijangka memperluaskannya ke Sarawak dalam jangka masa terdekat dalam usaha agensi memperluaskan pemasaran produk halal ke seluruh negara, katanya.

Karnival tiga hari sehingga Khamis itu disertai 40 usahawan dalam pelbagai bidang.

Menurut Mohd Rosdi, kernival itu menjadi platform untuk usahawan peringkat daerah memperluaskan pasaran produk mereka ke peringkat nasional.

Berita ini disunting daripada Berita Harian

Friday 2 November 2012

No report of Malaysians affected by superstorm


PETALING JAYA: There has been no report of Malaysians being adversely affected by superstorm Sandy in the United States, Wisma Putra has confirmed.
A spokesman said this was confirmed by various agencies such as the Public Service Department, Majlis Amanah Rakyat (MARA), the education authorities and police.
“Strong winds are still hampering power restoration efforts. It was reported that wind gusts in areas like Maine, New Jersey and Maryland were between 60mph and 80 mph.”
Wisma Putra said that based on latest reports from the Malaysian Embassy in Washington DC, eight million people were without electricity as a result of the superstorm.
“Heavy snow was also reported in parts of West Virginia, Pennsylvania, Maryland, North Carolina and sections of Virginia,'' said Wisma Putra in a status report released yesterday.
Separately, Bernama reported that local travel agencies did not foresee any major impact on their business.
Malaysian Association of Tour & Travel Agents (Matta) Outbound vice-president Jeffri Sulaiman said the US was not a major destination for its members, hence the impact of the superstorm would be minimal.
“So far, we haven't been notified by our members of any cancellation or postponement of trips to New York or vice-versa,” he said.