Wednesday, 7 November 2012

Tiga agensi meterai MoU bangun ekonomi, pendidikan Wilayah Ketengah



Mohd. Shafie Apdal (berdiri dua dari kanan) menyaksikan Ibrahim Ahmad (duduk, kiri), Wan Mat Amin Wan Daud (tengah) dan Hassan Mohd. Amin (duduk, kanan) menandatangani MoU di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu, semalam.

DUNGUN 6 Nov. - Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bergabung buat pertama kali dalam usaha pembangunan ekonomi, pendidikan, modal insan serta keusahawanan dalam pelbagai sektor pelaburan.

Kerjasama tiga agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu yang tertumpu di Terengganu khususnya Wilayah Ketengah termeterai dalam majlis menandatangani kerjasama persefahaman (MoU) di sini semalam.

Dalam majlis itu, MARA diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Ahmad; Ketengah oleh Pengurus Besar, Wan Mat Amin Wan Daud manakala Kemas diwakili Ketua Pengarah, Hassan Mohd. Amin.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal turut menyaksikan MoU berkenaan.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, kerjasama itu diharap memberi peluang kepada usahawan di negeri ini yang dibimbing Ketengah, Mara dan Kemas lebih berdaya saing di peringkat global selain membantu meningkatkan peluang pelaburan dalam pembangunan wilayah ini.

“Di samping itu, usaha membangunkan modal insan dan pendidikan juga diperkukuh dengan kewujudan Kolej Ketengah yang akan diberi nafas baharu sebagai nadi memacu bidang pendidikan ke peringkat global," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis itu.

Mohd. Shafie memberitahu, kerjasama strategik antara Ketengah dan Mara juga bakal menyaksikan sebanyak 350 pelajar cemerlang disasarkan bagi pengambilan pertama tahun depan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat A-Level sebagai persediaan ke luar negara.

Jelasnya, Kolej Ketengah juga akan bekerjasama dengan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Kemas bagi mengendalikan program latihan diploma kepada guru prasekolah di seluruh negara.

“Sehingga kini, sebanyak 3,621 guru Tabika Kemas mengikuti kursus diploma perguruan Malaysia dan sebanyak 2,148 telah tamat pengajian masing-masing sementara baki 1,473 orang masih dalam pengajian," ujarnya.

No comments:

Post a Comment