Sebahagian daripada graduan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) dan Institut Kemahiran Mara (IKM) yang menerima diploma dan sijil pada Konvokesyen Perdana KKTM & IKM 2012 di Bangi, Selangor, semalam. - UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN
KUALA LUMPUR 6 Nov. - Dasar Pendidikan Teknik dan Vokasional di Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA (BKT) dilihat berperanan penting bagi membantu pelajar lebih cenderung dalam bidang keusahawanan tanpa perlu bergantung kepada kerajaan untuk mencari kerja.
Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Ibrahim Ahmad berkata, dasar tersebut bukan sahaja melahirkan usahawan yang berdaya saing malah membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Katanya, dasar kemahiran dan teknikal juga mampu menghasilkan modal insan berkemahiran, progresif dan dinamik yang akan menjadi penentu kejayaan bidang teknologi dan industri negara.
"Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung keperluan negara buat masa ini dan masa hadapan selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mencapai tahap perindustrian di dalam Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Konvokesyen Perdana Kolej Kemahiran Teknologi Mara (KKTM) dan Institut Kemahiran Mara (IKM) dekat sini hari ini.
Jelasnya, dasar tersebut bukan sahaja dapat memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi jumlah malah kualiti.
"Dasar ini seharusnya menggalakkan lebih ramai pelajar yang terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan selaras dengan dasar kerajaan menekankan penyertaan swasta secara aktif," ujarnya.
Katanya, kemahiran yang diperolehi amat sesuai dijadikan landasan untuk memulakan perniagaan.
"Saya berharap lebih ramai graduan akan memilih keusahawanan sebagai kerjaya untuk menjadikan mereka lebih berdaya saing dan mampu berdikari serta menjadi pemangkin kepada peningkatan status Malaysia kepada sebuah negara berpendapatan tinggi," katanya.
No comments:
Post a Comment