TUJUH pelajar terbaik dari GiatMara Malaysia dipilih mewakili negara dalam Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) 2012 di Jakarta, Indonesia bermula dari 13 hingga 20 November ini.
Mereka terdiri daripada wakil pelajar GiatMara Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Nurul Hidayah Mohd Sabri; Siti Nor Fatihah Loh (GiatMara Kepong, Selangor ); Ainun Basyirah Arifin (GiatMara Ampang Jaya, Selangor); Ruqaiyah Azahar (GiatMara Kuala Pilah, Negeri Sembilan); Abdul Latif Ibrahim (GiatMara Kepala Batas, Pulau Pinang); Marcillos Chung Chin Loong Joinery (GiatMara Kota Marudu, Sabah) dan Mohd. Shahrul Nizam Latif (GiatMara Setiu, Terengganu).
Pertandingan kali ke-21 itu bakal menyaksikan sebanyak 21 bidang kemahiran dipertandingkan bagi menguji kemahiran dan memilih peserta yang layak membawa cabaran negara masing-masing dari ASEAN di Jakarta, dan seterusnya World Skill Competition (WSC) 2013 di Leipzig, Jerman.
Ketua Pengawai Eksekutifnya, Meriyam Abdul Majid berkata, tujuh pelajar GiatMara dipilih mewakili negara selepas memenangi kategori masing-masing pada Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) yang berakhir Julai lalu.
"Saya bersyukur dan bangga dengan penyertaan dan pencapaian pelajar GiatMara dan berharap mereka dapat membawa nama GiatMara dan mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat dalam pertandingan itu.
"Dalam pada itu pelbagai persiapan sudah dijalankan seperti latihan insentif yang meliputi bidang kemahiran antaranya kimpalan, terapi kecantikan pemasangan elektrik dan teknologi rekaan grafik, teknologi fesyen, terapi kecantikan, automotif dan sebagainya," katanya ketika berucap pada Majlis Perlepasan Peserta GiatMara ke ASC 2012 baru-baru ini.
Majlis perlepasan itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Abd Rahim Abd. Ghani.
ASC 2012 bakal menyaksikan 44 pelajar dari institusi latihan seluruh negara termasuk tujuh pelajar dari GiatMara yang mewakili Malaysia ke pertandingan itu selain pelajar dari Institut Latihan Perindustrian, Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara dan Politeknik.
ASC merupakan pertandingan di peringkat ASEANyang dianjurkan dua tahun sekali secara bergilir-gilir oleh negara terlibat dan memberi peluang kepada golongan belia berusia 17 hingga 22 tahun menunjukkan bakat dan kemahiran.
Meriyam berkata, pertandingan kemahiran ASC yang dianjurkan setiap tahun itu bagi memilih dan mengiktiraf pelajar-pelajar mahir dari seluruh ASEAN yang mempunyai kemahiran yang unggul.
"Ia merupakan landasan kepada pelajar dan belia dari negara ASEAN untuk bertanding, mendapat pengiktirafan dan memperolehi peluang untuk menonjolkan bakat dan kemahiran untuk bertanding di peringkat dunia selain menggalakkan kerjasama di antara kerajaan negara ASEAN.
"Selain itu ia juga dapat mengukuhkan hubungan industri dan agensi latihan negara-negara ASEAN melalui pertukaran kaedah, teknologi, dan proses pembuatan dan perkhidmatan serta sebagai persediaan untuk menyertai World Skills," katanya.
Dalam pada itu, Meriyam berkata, GiatMara telah menyertai pertandingan ini sejak 1989 dan berjaya menggondol lima emas, empat perak dan lima gangsa.
Salam mohon kebenaran admin. Saya mencari pelajar kecantikan yg ingin praktikal atau mencari kerja dlm bidang kecantikan. Spa di seri kembangan. Hubungi adlina 016-4614667.
ReplyDelete