Monday 26 November 2012

Kejayaan Wanita Malaysia Abad ke 21 Semakin Membanggakan – Rosmah

Written by Hafiz Hamzah   
Sunday, 25 November 2012 14:55
KUALA LUMPUR, 25 Nov – Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Rosmah Mansor melahirkan rasa bangga dengan pencapaian kaum wanita di negara ini yang disifatkannya semakin memberangsangkan dengan keterlibatan kaum tersebut di pelbagai bidang  yang membuktikan bahawa taraf kehidupan sosiologi golongan wanita di negara ini telah banyak berubah.
Menurut beliau, penglibatan golongan wanita di dalam sektor korporat dan perniagaan jelas membuktikan bahawa dasar kerajaan yang sedia ada hari ini berjaya mengangkat martabat kaum wanita selari dengan arus pembangunan negara.
“Hari ini kita boleh lihat lebih dari 80,000 usahawan di negara ini terdiri dari golongan wanita, di mana 51 peratus daripadanya berada dalam lingkungan umur 20 hingga 40 tahun. Ini membuktikan bahawa peranan wanita dalam memacu ekonomi negara semakin berkembang baik di negara ini.
“Hasil kejayaan kaum wanita di negara ini merupakan usaha dan komitmen kerajaan yang memberi penekanan bagi memperkasakan golongan wanita dengan memberkan peluang yang lebih luas dalam bidang pendidikan, perniagaan dan kemahiran secara berterusan.
“Justeru itu, kita dapat lihat hari ini telah ramai golongan wanita yang menceburi bidang-bidang profesional yang mana dulunya didominasikan oleh golongan lelaki,” katanya ketika berucap di Majlis Himpunan Wanita Muda Negara 2012 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Tambahnya lagi, kejayaan wanita hari ini merupakan satu kesinambungan kejayaan wanita terdahulu yang mana telah melahirkan ramai tokoh-tokoh wanita yang terlibat di pelbagai bidang dalam sumbangan mereka untuk memajukan negara.
“Nama-nama seperti Tan Sri Fatimah Hashim, Tan Sri Aisyah Ghani, Ibu Zain, Toh Puan Uma Sambathan, Datuk Rasammah Bhupalan merupakan antara tokoh-tokoh wanita yang banyak berkorban dan memberikan sumbangan yang tidak ternilai dalam usaha memertabatkan golongan wanita di negara ini.
“Kini, hasil kesinambungan perjuangan golongan wanita terdahulu maka muncul beberapa tokoh wanita masa kini seperti Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Dr. Robaayah Zambahari, Tan Sri Sharipah Hapsah dan ramai lagi yang telah menjadi kebanggaan negara lantara kejayaan mereka di dalam dan di luar negara,” jelasnya.
Beliau yang  juga sebagai penaung program tersebut meluahkan  rasa syukur dengan keprihatinan kerajaan dalam usaha membantu golongan wanita melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA), Amanah Ikhtiar Malaysia, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Skim Bantuan Khas Usahawan Wanita SME Corp dan pelbagai lagi dana dan program latihan yang dibuat oleh kerajaan khusus kepada golongan tersebut.
“Walaupun pelbagai program telah disediakan oleh kerajaan, namun golongan wanita di negara ini harus mempunyai keyakinan diri bahawa kita juga mempunyai peranan yang besar untuk menyumbang bagi pembangunan negara.
“Ini untuk memastikan golongan wanita di negara ini tidak ketinggalan dan turut sama menggembleng tenaga bersama-sama golongan lelaki dalam usaha untuk membina sebuah negara yang maju di dalam pelbagai bidang di negara ini,” ujarnya.
Majlis tersebut yang julung-julung kali diadakan dipengerusikan oleh Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dengan kerjasama beliawanis parti komponen seperti MIC, MCA, PPP, Gerakan, Majlis Belia Malaysia, Gerakan Belia 4B dan NGO-NGO Belia di seluruh negara.
Datin Paduka Seri Rosmah Mansor turut menyampaikan Anugerah Kesatria Puteri kepada 12 individu bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang mereka dalam bidang masing-masing.  Manakala YTM Dato DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah Tunku Panglima Besar Kedah dianugerahkan Anugerah Nusa Mahsuri di atas sumbangan dan jasa YTM Tunku Puteri dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakat. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment