Friday, 16 November 2012

Pemilik restoran mohon PBT bersihkan longkang tersumbat


SRI AMAN: Pemilik beberapa restoran di Bangunan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dekat sini memohon kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini agar mengambil tindakan segera membersihkan longkang yang tersumbat di bangunan berkenaan.

Menurut salah seorang pemilik restoran berkenaan, longkang yang tersumbat yang terletak di belakang restoran ini telah dibiarkan begitu sahaja tanpa dibersihkan oleh PBT.

“Kami telah membuat aduan kepada PBT tetapi aduan kami tidak diendahkan dan keadaan longkang yang tersumbat dan air bertakung di dalam longkang berkenaan semakin teruk.

“Keadaan longkang yang berbau busuk juga kurang memberi keselesaan kepada kami apatah lagi kepada para pelanggan yang sering berkunjung ke restoran kami,” ujarnya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Katanya adakalanya pihaknya cuba meembersihkan sendiri longkang itu dengan mengadakan gotong-royong bersama pemilik restoran yang lain akan tetapi keadaan berubah sekejap sahaja memandangkan tiada aliran keluar dari longkang berkenaan ke longkang utama.

“Oleh yang demikian kami memohon jasa baik pihak PBT di sini agar mengambil tindakan segera memandangkan air yang bertakung di dalam longkang ini semakin teruk.

“Apatah lagi dalam keadaan sekarang ini serangan nyamuk denggi semakin menjadi-jadi dan semua ini boleh menyebabkan nyamuk aedes atau denggi cepat membiak,” jelasnya.

Tambahnya sebelum ini ada sekali PBT datang untuk membersihkan longkang di kawasan ini, tetapi malangnya, pihak berkenaan hanya menyembur sahaja longkang tanpa mengorek segala tanah mahupun lumpur yang telah lama berkumpul di dalam longkang itu.

“Kami amat mengharapkan PBT dapat tampil segera untuk menyelesaikan masalah ini,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment