husna@hmetro.com.my
MENCATAT masa terpantas menjadi misi utama kumpulan tiga anak muda bernama Mili Second atau M.S dalam Pertandingan Kereta Kertas di Dewan Hyogo, Majlis Amanah Rakyat (MARA) Japan Industrial Institute (MJII), di Beranang baru-baru ini.
Kejayaan mengungguli tujuh siri perlumbaan membuatkan model kereta diilhamkan daripada rekaan asal Tamiya Black Saber, kereta mainan terkenal dari Jepun, nyata memberi kelebihan memenangi pertandingan terbabit.
Kereta kertas kumpulan itu mencatat keputusan terpantas 4.4 saat bagi trek sepanjang 13 meter, membuatkan dewan dipenuhi 60 peserta serta lebih 10 tenaga pengajar gamat dengan sorakan tatkala pesaingnya tidak mengalah dan terus bertarung hebat.
Ketua pasukan M.S, Muhammad Zaim Zamri, 18, berkata, dia tidak menaruh harapan tinggi untuk memenangi kejohanan terbabit dan meletakkan sasaran tiga tangga teratas berikutan saingan cukup hampir apabila semua pasukan menggunakan model motor kenderaan sama iaitu kereta mainan Tamiya.
“Saya bersama rakan, Mohd Amirul Aiman Mohd Isa serta Hafiz Firdaus Hashim sempat melakukan ujian masa dan berdasarkan rekod yang diperoleh, kami membandingkannya dengan prestasi kumpulan lain. Nyata peluang untuk berada di tangga tiga terbaik cerah.
“Namun untuk bergelar juara, keputusan agak kabur kerana ujian itu hanya keputusan awal dan ketika itu masih ada tempoh tiga hari sebelum pertandingan menjelang. Tentunya pasukan lain turut giat melakukan penambahbaikan memastikan kereta mereka lebih pantas,” katanya.
Sebaik diasak tidakkah tindakan bersaing awal dengan kumpulan lain berrisiko kerana pihak lawan tahu kekuatan kereta mereka, ketua pasukan M.S itu tersenyum sambil memaklumkan rekaan ketika itu hanya pelan awal dan masih dalam peringkat perangkaan.
“Pentingnya kami mengambil inisiatif sendiri mengajak rakan lain menguji kenderaan masing-masing, kami ingin melihat sejauh mana reka bentuk dihasilkan sesuai dengan motor berkuasa bateri disediakan penganjur.
“Tetapi strategi kami ialah ketika sesi ujian masa itu dijalankan, kami menggunakan model kereta ‘separuh masak’ atau prototaip bagi memastikan rekaan cukup sempurna sebelum model sebenar untuk pertandingan dihasilkan,” katanya yang menyimpan hasrat menjadi jurutera mekanikal.
Dia yang membelanjakan kurang RM100 untuk keseluruhan projek itu, tidak menolak dia mempunyai strategi tersendiri dalam meminimumkan kos.
“Kami pelajar dan sudah tentunya apabila membabitkan projek sebegini, perancangan bukan saja di segi reka bentuk dan masa, kami juga menitikberatkan soal kos bagi mengelak pembaziran bahan.
“Tambah pula ia berkenaan kertas, saranan tenaga pengajar agar kami lebih mesra alam dengan mengitar semula bahan seperti kotak dan kertas terpakai,” katanya.
Pandangan Zaim disokong Amirul Amin Zulkafli, 18, yang berkata kumpulannya hanya mengeluarkan kos sekitar RM20 bagi membeli gear dan bateri.
“Dalam pertandingan ini kami perlu bijak menggunakan sumber ada. Mujurlah komponen untuk struktur luar mesti diperbuat daripada kertas, kami dapat menjimatkan sumber apabila bahan digunakan adalah bahan terpakai.
“Konsep perlu disesuaikan menggunakan material yang ringan tapi kukuh. Lantaran itu penggunaan kotak serta kertas lama sebagai bahan utama pilihan sesuai dalam mereka bentuk rangka kereta inspirasi daripada kombinasi model Toyota FSTH dan Lamborghini,” katanya.
Ditanya mengapa dia berasakan dua model terbabit cukup rasional digabungkan dalam satu pakej, ketua kumpulan Tensu Zangetsu (bermaksud bulan memotong rantai langit) itu berkata teknologi kedua-dua kereta terbabit mempunyai kekuatan setara dalam reka bentuk mendorong kelajuan.
“Kami mengkaji sistem takal (pulley) kedua-dua kereta lalu diguna pakai dalam konsep kereta kertas kami. Selain rekaan kereta, terdapat rombakan pada gear dan saiz mahupun ketebalan tayar membantu kereta bergerak lebih laju.
“Namun, masalah berkaitan memastikan ia terus lurus pada trek mulai timbul.
Kali ini ujian lebih teliti dilakukan seperti prospek nisbah gear dan motor juga perlu diseimbangkan agar kereta tidak melencong,” katanya.
Wakil tempat kedua, Naqiuddin Redzuan, 18, pula berkata soal nasib juga menjadi penentu dalam pertandingan itu.
“Memang peluang memenangi adalah 50-50 dan tentunya ia masih berkait rapat dalam soal rezeki. Contohnya ketika sesi awal memang kereta kami agak cemerlang dan ia konsisten sehingga separuh akhir.
“Namun, apabila tiba penentuan juara, kereta kami ‘jammed’ dan tidak bergerak seperti dijangka menyebabkan kami akur ia bukan rezeki kami. Begitupun kami bersyukur kereta bertahan sehingga separuh akhir,” katanya sambil menerangkan model kereta miliknya bersama tiga ahli lain hanya menggunakan tiga roda berbanding empat roda.
Seorang ahli pasukan wanita, Adibah Abdul Aziz,18, berkata dia tetap gembira meskipun hanya layak ke suku akhir.
“Puas hati apabila kereta direka saya bersama ahli pasukan mara ke peringkat suku akhir. Mulanya tidak percaya kerana kereta kami rosak sehari sebelum pertandingan yang mana bahagian roda patah.
“Terfikir juga hendak menarik diri tetapi rugi pula memikirkan tidak dapat memeriahkan pertandingan terbabit menyebabkan kami teruskan juga dan membaiki serba sedikit bahagian rosak.
“Alhamdulillah kereta kertas kami bertahan sehingga suku akhir dan mengalahkan beberapa kumpulan lelaki,” katanya bangga dengan prestasi kumpulannya.
Sementara itu, Pensyarah Kejuruteraan, Mohd Rozaimi Zahidin, berkata pertandingan berkenaan dilihat sebagai penilaian bagi subjek pengenalan kejuruteraan dihadiri oleh pelajar terbabit.
“Pelajar ini tiada ujian khusus tetapi mereka dinilai bermula daripada teori menerusi penyediaan kertas cadangan dua bulan lalu hinggalah ke peringkat amali dalam bentuk pertandingan kereta kertas ini bagi menguji kenderaan masing-masing,” katanya.
NAMA PENUH: Amirul Amin Zulkafli
ASAL: Seremban, Negeri Sembilan.
KUMPULAN: Tensu Zangetsu
KONSEP KERETA: Toyota FHTS dan Lamborgini.
MASA TERBAIK: 4.39 saat
PROFIL 2:
NAMA PENUH: Adibah Abdul Aziz
ASAL: Temerloh, Pahang.
KUMPULAN: The Transcend
KONSEP KERETA: Ferrari Enzo & watak Transformers, Optimus Prime.
MASA TERBAIK: 8.39 saat
PROFIL 3:
NAMA PENUH: Muhammad Zaim Zamri
ASAL: Gombak, Selangor.
KUMPULAN: Mili Second (M.S)
KONSEP KERETA: Tamiya Black Saber
MASA TERBAIK: 4.4 saat.
No comments:
Post a Comment