Oleh Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, semua ok dan pengajian pun berjalan seperti biasa. Terima kasih kepada semua terutama keluarga yang mendoakan keselamatan kami di sini.
“Bagaimanapun, ia pengalaman bermakna selepas empat tahun berada di Rochester. Itu yang merisaukan keluarga, tetapi saya memaklumkan kepada mereka lebih awal mengenai taufan Sandy,” kata Aqlili Riana Alias, 22.
Pelajar jurusan bioteknologi dari Institut Teknologi Rochester, New York itu berkata, ketika ini keadaan kembali terkawal dengan semua penduduk di kawasan berhampiran kembali menjalani kehidupan seperti sebelum dilanda taufan itu Isnin lalu.
Katanya, ketika kejadian, dia berada di rumah manakala rakan lain berada di kampus menyebabkan mereka terkandas seketika sebelum taufan reda, namun kedudukan yang agak jauh dari laut tidak menjejaskan keseluruhan kawasan itu.
Menurutnya, 60 orang penuntut Malaysia berada di institut berkenaan dilaporkan selamat dan perkara itu dimaklumkan kepada Jabatan Penuntut Malaysia di sana yang menghubungi mereka dari semasa ke semasa.
“Taufan Sandy tidak mengakibatkan kawasan sekitar Rochester terjejas sebaliknya yang teruk ialah di Hoboken, New Jersey dan bandar raya New York, bagaimanapun ada rakan memaklumkan ia sudah reda berbanding sebelum ini.
“Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga menempatkan pegawainya bagi membolehkan kami mendapatkan perkembangan terbaru dan membuat laporan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Sementara itu, bapanya, Alias Abdul Ghani, 50 berkata, mereka sekeluarga bersyukur selepas anaknya itu selamat dan dapat meneruskan pengajian seperti biasa.
Katanya, dia menghubungi anaknya setiap hari sejak bencana itu dilaporkan di media dan menasihati Aqlili supaya berhati-hati serta patuh dengan arahan pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
No comments:
Post a Comment