KUALA TERENGGANU, 26 Nov (Bernama) -- R. Ulung Sdn Bhd, sebuah syarikat Bumiputera membuat tilam dan bantal berasaskan kekabu terbesar di negara ini, menyasarkan untuk menembusi pasaran bermula dengan negara-negara Asia dalam tempoh lima tahun dari sekarang.
Pengerusinya, Md Rashid Ulung, 59, berkata beliau yakin hasratnya itu mampu dicapai selepas selesai membeli beberapa peralatan dan mesin moden bagi kilangnya yang terletak di Seberang Prai, Pulau Pinang.
"Ketika ini, kita mampu mengeluarkan 2,000 pelbagai jenis bantal sehari manakala tilam pula antara 300 hingga 400 sehari."
"Kilang kita buat bantal dan tilam dari kekabu asli dan kekabu tiruan mengikut kehendak pelanggan dari harga serendah RM5 hingga RM320 satu," katanya.
Beliau, yang berasal dari Pulau Mutiara itu, berkata demikian kepada Bernama selepas menerima Anugerah Usahawan Perdana Jaya sempena Karnival Usahawan Risda dan pelancaran Kelab Usahawan Risda (RISEC) di sini semalam.
Md Rashid berkata, ketika ini tilam-tilam dan bantal berjenama "R Ulung" yang dikeluarkan syarikatnya diedarkan di pasar raya besar seperti di Mydin,Tesco dan Giant di seluruh negara dengan mendapat sambutan yang baik dari pengguna.
Menceritakan pengalaman memulakan perniagaannya, Md Rashid, yang ditemani anaknya Hazizi Md Rashid, sebagai Pengarah syarikat itu, berkata ia bermula dengan meminjam dana RM2,000 dari Risda pada 1976."
Beliau juga turut mendapat pinjaman dari Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan lain-lain agensi dalam usaha meningkatkan lagi kemajuan kilangnya.
Perusahaannya itu, katanya pernah bertapak di Indonesia dan Thailand pada awal tahun 90''an dahulu, tetapi kilangnya di Aceh ditutup selepas Tsunami yang melanda wilayah itu. "Kita ada hubungan dengan Persatuan Masjid-masjid seluruh Thailand tidak lama dulu untuk menjahit kain tudung dan sebagainya semasa beroperasi di negara itu. Namun ia terpaksa dihentikan disebabkan pergolakan politik di Narathiwat tidak lama dulu," katanya.
Beliau berkata, pernah pada satu masa dahulu R. Ulung Sdn Bhd mempunyai seramai 700 pekerja yang bukan sahaja membuat bantal dan tilam, malah mengeluarkan Topi Langkawi yang diselitkan dengan pantun yang menarik menjadi kegemaran ramai.
"Pada topi berkenaan kita letak pantun antaranya berbunyi ''Sayang Mahsuri tiada lagi, mati terbunuh anak pengerang, gadis Langkawi jadi misteri, hingga kini jadi kenangan'' itulah antara pantun yang digemari peminat Topi Langkawi,"katanya.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment