Thursday 31 May 2012

85,435 layak ikuti kursus vokasional, kemahiran


PUTRAJAYA: Seramai 85,435 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dipilih mengikuti kursus peringkat sijil dan diploma Institusi Pendidikan Teknikal serta Latihan Vokasional (TEVT) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), tahun ini. 

Jumlah ini peningkatan 8.4 peratus berbanding 78,780 pelajar ditawarkan ke TEVT dan ILKA pada sesi 2011/2012.

Pelajar termasuk orang kelainan upaya (OKU), Orang Asli, atlet dan pelajar cemerlang akan mengikuti program berkenaan di 11 TEVT dan ILKA di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Rujhan Mustafa, berkata pelajar boleh menyemak status permohonan masing-masing menerusi lawan web TEVT dan ILKA mulai jam 12 tengah hari, semalam.

Beliau berkata, semakan juga boleh dibuat menerusi laman web http://upu.mohe.gov.my; talian hotline 03-88706767; talian helpline 03-8870677 dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip UPU TEVTILKA (no. MyKad) dan SMS ke 15888.

“Unit Pusat Universiti (UPU) menerima 87,730 permohonan daripada lepasan SPM, SKM dan setaraf untuk mengikuti program sijil serta diploma di TEVT dan ILKA tahun ini.

“Seramai 87,263 atau 99.5 peratus calon mencapai kelayakan minimum serta memenuhi syarat am permohonan ke TEVT dan ILKA yang bermakna hanya 67 pemohon saja tidak layak,” katanya, di sini, semalam. 
Tarikh pendaftaran pelajar baru ke TEVT dan ILKA bermula pada 25 Jun hingga 9 Julai bergantung kepada institusi terbabit.

Mereka yang tidak berjaya boleh terus mengemukakan rayuan kepada TEVT dan ILKA dalam tempoh 10 hari bekerja selepas keputusan rasmi diumumkan.

Dasar pengambilan dan pemilihan kemasukan adalah berasaskan meritokrasi mengguna pakai 75 peratus markah akademik, 10 markah kokurikulum dan 15 peratus markah sosioekonomi (pendapatan keluarga dan lokaliti) untuk menentukan nilai merit seseorang calon.

Rujhan berkata, dari segi jantina, 43,672 atau 51.1 peratus calon lelaki, manakala selebihnya iaitu 48.9 peratus atau 41,763 lagi wanita.

“Daripada aspek pendapatan keluarga, 70,625 atau 83.5 peratus berasal daripada keluarga berpendapatan kurang RM3,000 sebulan kerana kita memang sentiasa mengutamakan mereka yang berasal dari luar bandar,” katanya.

Selaras dasar kerajaan meningkatkan akses dan ekuiti dalam pengajian tinggi, kementerian juga menawarkan 1,093 tempat kepada OKU, Orang Asli dan atlet untuk mengikuti kursus diploma serta sijil di TEVT dan ILKA di seluruh negara.

Difahamkan, 10 kursus paling popular menjadi pilihan lepasan SPM dan SKM ialah diploma pengurusan perhotelan dan katering; pengurusan pelancongan; kewangan dan perbankan; perakaunan; pengajian perniagaan; kejuruteraan elektrik; automotif, pengurusan sistem maklumat (IT); kejuruteraan awam dan diploma sains kesetiausahaan.

Wednesday 30 May 2012

Mara, MBSB salur dana RM250j


MOHD. Shafie Apdal mendengar penerangan Ketua Pegawai Eksekutif Glocal Link, Razlan Samsuri (kanan) mengenai model rumah ketika melawat ke tapak pameran di Menara MARA, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 29 Mei - Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan bekerjasama dengan Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) bagi menyediakan dana berjumlah RM250 juta di bawah Skim Jaminan Usahawan Mara (SJUM) untuk membantu golongan usahawan bumiputera terutama dalam sektor binaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, skim itu merupakan satu kemudahan perniagaan yang mana Mara sendiri menjadi penjamin kepada usahawan bumiputera dalam sektor berkenaan.

"Ini adalah bagi menyokong usahawan untuk berkembang dan memacu inisiatif pelaksanaan Sistem Binaan Bersepadu (IBS)," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Mara IBS dan Hartanah (MIPEX) 2012 di sini hari ini.

SJUM tawar pinjaman kepada usahawan dan kontraktor bumiputera dalam bidang IBS


KUALA LUMPUR 29 Mei - Usahawan dan kontraktor bumiputera dalam sektor teknologi Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) kini boleh memohon pinjaman perniagaan menerusi Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM), kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Beliau berkata, dengan Mara bertindak sebagai penjamin, skim pinjaman itu yang ditawarkan oleh Malaysia Building Society Bhd (MBSB) memberi lebih harapan kepada para penggiat industri berkenaan kerana syarat pinjaman dikenakan lebih mudah berbanding institusi perbankan konvensional.

Katanya, dengan dana permulaan sebanyak RM250 juta, skim itu diwujudkan berikutan terdapat ramai usahawan IBS berpotensi tidak berupaya mengembangkan perniagaan akibat masalah dalam memenuhi kriteria tertentu institusi perbankan walaupun perniagaan mereka berupaya untuk berkembang.

Skim itu memudahkan usahawan bumiputera mendapatkan pinjaman sama ada bagi tujuan modal pusingan atau pembelian aset, katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran IBS dan Hartanah MARA di Menara Mara di sini hari ini. - BERNAMA

CEUPACS minta kaji gaji pembantu tadbir


2012/05/30

KUALA LUMPUR: CUEPACS mencadangkan gred minimum N17 pembantu tadbir dikaji semula selain membuka ruang kenaikan pangkat golongan itu daripada gred maksimum N26 kepada gred bersepadu N42.

Cadangan itu bagi membolehkan kenaikan kerjaya dan pangkat lebih luas kepada 80,000 pembantu tadbir yang dikelompokkan dalam kumpulan sokongan kerajaan.

CUEPACS juga mencadangkan gelaran jawatan itu ditukar kepada pegawai kerani atau pegawai hemat tadbir bagi melambangkan peranan kelompok itu selaku kumpulan sokongan yang melicinkan urusan pentadbiran.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan melalui suruhanjaya khas penambahbaikan sistem saraan baru perjawatan awam yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Katanya, kajian gred kelompok kakitangan kerajaan itu perlu dilakukan sejajar perubahan tuntutan tugas dan cabaran golongan itu, selain peningkatan taraf hidup rakyat.

“Cadangan sebenar (gred minimum) dibincang pada 12 hingga 14 Jun ini dalam bengkel semakan skim gred gaji penjawat awam anjuran CUEPACS di Muar, Johor.

“Cadangan dibawa kepada suruhanjaya yang akan diumumkan Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-16 Kesatuan Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Rendah Pendidikan (KEPTAN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, semalam. 

Mengulas lanjut, Omar berkata, kajian semula gred minimum N17 bermakna kelompok itu akan menerima kenaikan gaji pokok yang kini dibayar RM926.60 sebulan.

“Gred (minimum) jawatan jururawat juga U19, jadi (gred bagi jawatan) pembantu tadbir kerajaan juga perlu dikaji semula,” katanya.

Katanya, kenaikan gred bersepadu memberi mereka peluang kenaikan pangkat gred bersepadu yang mengambil kira pengalaman, kemahiran dan sumbangan kepada organisasi tanpa perlu merujuk kepada kelulusan akademik.

“Maknanya (bagi gred bersepadu) tak perlu ada ijazah atau diploma tetapi ambil kira pengalaman, kemahiran dan sumbangan. Namun, bukan semua boleh dapat gred ini, hanya mereka yang layak,” katanya.

Syor tubuh dana pendidikan cadangan baik biayai pengajian pelajar


JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat pembaca Ibu Prihatin bertajuk Syor Tubuh Dana Pendidikan bertarikh 7 Mei 2012 yang disiarkan di ruangan ini.

Syor serta pandangan supaya ditubuhkan dana pendidikan bagi pelajar yang tidak mendapat pembiayaan biasiswa tetapi berminat dan mampu berjaya untuk meneruskan pengajian, terutama dalam bidang kritikal, amatlah dihargai. Ia juga merupakan satu cadangan yang baik dalam memberi peluang untuk pelajar terus maju.

Justeru, kerajaan melalui agensi atau jabatan seperti JPA atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Negeri serta lain-lain ada menyediakan kemudahan pembiayaan biasiswa atau pinjaman bagi membiayai pelajar berpotensi melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama atau ijazah lanjutan sama ada di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negeri atau luar negara.

Bagaimanapun, pemberian kemudahan biasiswa atau pinjaman ini tertakluk kepada peruntukan kewangan serta kemampuan kerajaan selain mengambil kira fungsi agensi atau jabatan dalam menyediakan kemudahan tersebut.

Sebagai contoh, selain menyediakan penajaan biasiswa dalam dan luar negara, JPA turut menawarkan pembiayaan pinjaman kepada pelajar yang mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama pelbagai bidang di luar negara di bawah program Skim Pinjaman Yuran Pengajian Luar Negara.

JPA juga merupakan agensi kerajaan yang menawarkan bilangan tempat yang paling banyak berbanding agensi atau jabatan lain. Justeru, program pinjaman kelolaan JPA sering menjadi tumpuan pelajar persendirian yang ingin mendapatkan penajaan dan tentunya saban tahun permohonan yang diterima jabatan ini melebihi bilangan tempat yang ditawarkan.

Jabatan ini sentiasa berusaha untuk menambah baik proses pemilihan dan penawaran bagi program pinjaman yang ditawarkan. Pemilihan adalah berdasarkan jumlah keseluruhan markah yang diperoleh pelajar mengikut kriteria (merit akademik, pendapatan keluarga dan bidang pengajian yang diikuti pelajar) yang ditetapkan.

Namun begitu, pelajar yang tidak ditawarkan pinjaman dalam permohonan terdahulu masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan pada masa akan datang. Ini kerana permohonan bagi kemudahan pinjaman ini dibuka dua sesi setahun iaitu pada bulan Februari dan Julai setiap tahun.

Makluman berkaitan sesi akan datang boleh diperoleh melalui laman webhttp://esila.gov.my atau e-mel kepada penawaranlsp@jpa.gov.my jika terdapat sebarang pertanyaan lanjut.

Thursday 24 May 2012

Minda Pengarang: Kenaikan elaun pelajar MARA diharap pertingkat kualiti tenaga mahir

KESEDIAAN Ahli Lembaga Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) menaikkan kadar elaun latihan pelajar kemahiran di bawah seliaan institusi di bawah kendaliannya sudah tentu menggembirakan lebih 20,000 pelajar yang sedang mengikuti program berkenaan di seluruh negara. Tekanan kos sara hidup yang sudah menjadi fenomena global dan bukan saja dialami rakyat di negara ini, menimbulkan kesempitan kepada pelajar terbabit dalam usaha untuk menguruskan kehidupan seharian ketika di kampus mereka. Sebahagian besar elaun itu diputuskan pada 1980-an atau 1990-an dan sudah sampai masanya kini kadar itu dikaji semula selepas diguna pakai untuk satu tempoh yang lama, sesuai dengan peredaran zaman. Elaun berjumlah RM200, umpamanya mungkin hanya mencukupi pada era 80-an atau 90-an dan tidak sesuai lagi untuk menampung perbelanjaan pelajar sekarang, walaupun mereka tinggal di asrama. Justeru, langkah MARA menaikkan elaun pelajar yang mengikuti latihan kemahiran di bawah seliaannya itu adalah satu langkah tepat dan sememangnya wajar. Keputusan itu membabitkan semua pelajar yang sedang mengikuti latihan di Pusat Giat Mara dan Institut Kemahiran Mara (IKM). Kita bersetuju dengan Pengerusi MARA, Datuk Idris Jusoh bahawa kenaikan elaun itu adalah sejajar dengan usaha majlis berkenaan untuk memberikan khidmat terbaik kepada penuntutnya, terutama dalam hal kebajikan pelajar.

Sebanyak 22,800 tempat disediakan di Giat Mara dan 2,481 tempat di IKM untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu bagi sesi bermula Julai depan. Apabila diluluskan oleh Kementerian Kewangan kelak, kadar elaun baru pelajar di Pusat Giat Mara dan IKM akan diselaraskan dengan jumlah bayaran yang diterima penuntut di Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Pada masa ini, pelatih di Pusat Giat Mara menerima elaun RM200 sebulan, manakala penuntut IKM mendapat RM350. Mereka menjalani latihan kemahiran selama enam bulan hingga setahun dalam pelbagai bidang seperti masakan, bengkel, jahitan dan kimpalan. Seperti ditegaskan Pengerusi MARA, kenaikan elaun itu diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar di kedua-dua institusi berkenaan untuk lebih berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa kini. Kenaikan elaun itu bertujuan menambah baik keadaan di kolej yang diseliakan MARA selaras dengan penjenamaan semula institusi terbabit sebagai pusat kemahiran kelas pertama, sekali gus pengeluar utama tenaga mahir dan profesional di negara ini. Sebelum ini, IKM MARA dilihat sebagai institusi kelas kedua kepada pelajar yang gagal memasuki pusat pengajian tinggi dan politeknik. Kita berharap dengan kenaikan elaun itu, ia dapat mempertingkatkan imej institusi berkenaan dan dapat menampung kos sara hidup pelajar bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

Sebuah lagi MRSM akan dibina di Sarawak

BETONG: Sebuah lagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan dibina di kawasan utara Sarawak selaras dengan matlamat untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pembinaan MRSM itu dimasukkan dalam peruntukan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Kita akan bina satu lagi MRSM di Sarawak dan lokasinya adalah di utara Sarawak dan ketika ini kita masih lagi dalam perbincangan dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan tapak yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian MRSM Batong di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika ini terdapat 46 buah MRSM seluruh negara manakala di Sarawak mempunyai tiga buah iaitu masing-masing satu di Kuching yang mula beroperasi pada 1993, Mukah (2010) dan Betong (2008).

Katanya, pewujudan MRSM dijangka dapat membantu masyarakat luar bandar Sarawak khasnya di kawasan utara negeri ini mendapat kemudahan pendidikan yang lebih baik.

Ketika berucap, Mohd Shafie berkata, usaha kerajaan membina MRSM di negeri ini termasuk di sini membuktikan komitmen tinggi kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membawa tranformasi pendidikan di luar bandar Sarawak.

"Usaha pembangunan yang dibuat oleh BN bukan setakat pembangunan fizikal semata-mata malah juga pembangunan modal insan dan ia adalah usaha berpanjangan," katanya.

Katanya, kerajaan BN membuat banyak transformasi di luar bandar Sarawak dan ia dapat dibuktikan dengan pembinaan kira-kira 2,000 kilometer jalan raya serta 36,000 rumah khas untuk golongan kurang berkemampuan dan miskin. - BERNAMA

Tuesday 22 May 2012

UiTM tawar 10,000 tempat pelajar gagal ke IPT

JELI: Pemohon yang gagal melanjutkan pelajaran ke IPTA tidak perlu bimbang kerana mereka berpeluang belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menawarkan 10,000 tempat untuk program khasnya.

Di bawah program itu, pelajar akan mengikuti pengajian peringkat pradiploma, praperdagangan dan prasains selama 16 minggu di kampus cawangan UiTM seluruh negara.

Naib Canselornya, Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata kerajaan menyedari persaingan hebat untuk memasuki IPTA, manakala mereka dari kawasan luar bandar pula tercicir bukan disebabkan tidak pandai tetapi kekurangan kemudahan dan persekitaran kehidupan keluarga.

“Program ini memberi mereka peluang meneruskan pengajian di UiTM dan memilih bidang pengajian bersesuaian sama ada pada peringkat diploma dan ijazah selepas menamatkan program khas berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, ia sebahagian daripada program khas Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia yang diperkenalkan tahun ini anjuran Gerakan Destini Anak Bangsa (GDAB) dengan kerjasama UiTM.

“UiTM dan GDAB turun padang melihat pelajar yang gagal melanjutkan pelajaran ke IPTA dan mencari mereka di kalangan keluarga miskin yang tidak mampu membiayai pengajian untuk dibantu.

“Ini atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu kita menjelajah, termasuk di kawasan luar bandar untuk membantu supaya mereka tidak ketinggalan pendidikan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan surat tawaran kemasukan UiTM dan taklimat kemasukan menerusi program yang disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, di Pondok Moden Jeli di sini, semalam.

Sahol Hamid berkata, setakat ini program itu berjaya menarik kira-kira 30,000 pengunjung yang diadakan di sembilan negeri dan daripada jumlah itu lebih 3,800 pelajar memenuhi syarat minimum kemasukan sudah menerima tawaran berkenaan.

Usaha lahir ramai usahawan berdaya saing tanpa bantuan

KERAJAAN mahu melihat kemunculan lebih ramai usahawan yang maju dan berdaya saing tanpa mendapatkan banyak bantuan serta sokongan sejajar dengan peralihan negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata perubahan itu penting dalam mewujudkan keyakinan baru dan semangat jitu di kalangan usahawan tempatan bagi memperlengkapkan diri mereka untuk menjadi pemimpin dan bukannya sebagai pengikut di pasaran.

Sehingga 2020, kita akan melalui satu perubahan yang ketara dalam ekonomi negara dan kerajaan yakin lapan tahun ini akan menjadi tempoh kegemilangan bagi Malaysia.

Dalam tempoh ini, negara akan mewujudkan kekayaan baru dan ia akan menjadi tempoh penting di mana akan muncul pemimpin korporat baru dan peneraju industri yang memacu ekonomi berpendapatan tinggi negara. - Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan Kedua.

“Dalam tempoh ini, negara akan mewujudkan kekayaan baru dan ia akan menjadi tempoh penting di mana akan muncul pemimpin korporat baru dan peneraju industri yang memacu ekonomi berpendapatan tinggi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pengarah Antarabangsa 2012 yang bertemakan Membangunkan Usahawan Korporat ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi, di Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama, Pengerusi Akademi Pengarah Malaysia (MINDA), Datuk Ahmad Pardas Senin dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Abdul Aziz Abu Bakar serta Ketua Eksekutif Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI), Datuk Michael Yeoh.

Ahmad Husni berkata, Malaysia kini dalam proses beralih kepada revolusi perindustrian ketiga dan bagi tujuan itu, sektor pengilangan dan perkhidmatan perlu meningkatkan rantaian nilai masing-masing bagi mencapai matlamat itu.

Beliau berkata, revolusi itu memerlukan usahawan untuk mengembangkan keupayaan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), menambah nilai kepada produk dan perkhidmatan serta meningkatkan capaian kepada persaingan yang lebih tinggi.

“Malaysia sebelum ini telah berjaya melalui revolusi perindustrian dan menerusi fasa ketiga ini dengan tumpuan diberikan kepada teknologi telekomunikasi, tenaga serta laluan hijau.

“Sejak dua tahun yang lalu, kerajaan telah bersedia dengan membangunkan persekitaran kondusif menerusi dasar, institusi dan rangka kerja perundangan bagi memastikan syarikat swasta dapat memulakan revolusi perindustrian ketiga ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Husni berkata, kerajaan sudah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi membangunkan usahawan termasuk penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk meningkatkan keupayaan usahawan Bumiputera serta Laluan Hijau bagi memberi kemudahan akses kepada usahawan.

Katanya, kerajaan juga telah mewujudkan Projek Permulaan (EPP) dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dengan mengenal pasti inovasi pasaran sedia bagi pelabur untuk menyertainya dan kesemua langkah berkenaan bertujuan menjadikan usahawan sebagai penggerak kepada ekonomi baru negara.

Sunday 20 May 2012

Ghaddar wira, Kelantan pesta

  
  • Foto
    Mohammad Ghaddar
  • Foto
    PEMAIN Sime Darby muram selepas tewas di tangan Kelantan pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Red Warriors cuba tiga kali muncul juara tewaskan Sime Darby

TANGISAN Kelantan - dua kali gagal sebelum ini - akhirnya terubat apabila buat julung kali berjaya menjulang Piala FA selepas sepakan penalti menjadi garis pemisah kemenangan mereka menewaskan Sime Darby 1-0 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.






Mohammad Ghaddar muncul wira pasukan dengan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-58.

Kelantan merakam sejarah tersendiri selepas tiga kali mencuba (2009, 2011 dan 2012), tetapi lawan kerdil dari Liga Perdana itu juga harus diberi pujian pada aksi sulung di pentas final apabila mempamerkan persembahan mantap sehingga tamat permainan.

Anak buah Bojan Hodak yang hadir dengan reputasi juara Liga Super, musim lalu seharusnya merakam kemenangan lebih besar tetapi kekentalan benteng pertahanan lawan kendalian Ismail Zakaria memaksa The Red Warriors berusaha lebih keras sebelum dapat memecah kebuntuan.

Sime Darby mencuba dan memberi segala yang terdaya namun keringat mereka itu gagal mengikut jejak langkah satu lagi kelab, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) yang layak ke final kejohanan besar apabila muncul juara baru Piala Malaysia pada 2003.

Sebaik babak pertama bermula, Kelantan menguasai permainan tetapi gagal menembusi benteng Sime Darby yang dikawal kapten pasukan, Es Lizuan Zahid Amir serta penjaga gol, Redzuan Harun yang menyelamatkan dua percubaan tepat oleh pelawat sepanjang 45 minit pertama permainan. 

Sime Darby turut memiliki beberapa peluang terbaik menembusi benteng Kelantan menerusi serangan balas tapi gagal dalam penyudahan. Usaha terbaik muncul pada minit ke-45 menerusi larian solo Patrick Wleh dari garisan tengah, tetapi hantarannya gagal menemui rakan sepasukan.

Selepas rehat, kedua pasukan saling berbalas serangan tetapi Kelantan terlebih dulu berpeluang membolosi gawang lawannya menerusi sepakan penalti Ghaddar pada minit ke-58. Penalti diberi pengadil selepas Obinna Nwaneri dijatuhkan oleh benteng Sime Darby.

Kemasukan Razali Umar Kandasamy sebelum itu hampir meletakkan Sime Darby kembali seimbang dengan Kelantan, tetapi peluang tiga lawan satu sejurus selepas ketinggalan, gagal dimanfaatkan jentera serangan tuan rumah. Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat permainan.

Lulus PMR boleh ambil diploma


NILAI: 20 Mei – Pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) berpeluang memperoleh Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dalam pelbagai kursus di 78 kolej vokasional seluruh negara.
MOHD PUAD bermesra dengan pelajar  selepas merasmikan  Karnival dan Ekspo PIBG Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA di Nilai, semalam.
MOHD PUAD bermesra dengan pelajar selepas merasmikan Karnival dan Ekspo PIBG Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA di Nilai, semalam.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sebagai permulaan sebanyak 15 Sekolah Menengah Vokasional (SMV) dijadikan program rintis bagi melihat keberkesanan kursus selama empat tahun itu.
Katanya, sebanyak 63 lagi SMV termasuk yang dalam pembinaan pada masa ini akan dinaik taraf menjadi kolej vokasional menjelang 2015.
“Pelajar yang mengikuti pelbagai kursus di kolej vokasional akan memperoleh DVM dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia.
“Pendaftaran pelajar bagi aliran ini sejak awal tahun ini adalah 107 peratus daripada kapisiti sepatutnya dan ini menunjukkan permintaan adalah tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Karnival dan Ekspo Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA di sini, semalam.
Mohd Puad berkata, beberapa kursus sudah ditambah untuk memenuhi keperluan semasa antaranya kursus penerbangan.
Katanya, pihaknya juga sedang menimbang untuk mempelbagaikan lagi kursus dari semasa ke semasa bagi meningkatkan lagi tahap kolej vokasional.
“Kurikulum vokasional dirombak secara komprehensif supaya ia mencapai standard bagi memenuhi pasaran semasa pekerjaan seperti yang sudah dilaksanakan di beberapa negara antaranya Finland.
“Pasaran kini semakin memerlukan lebih ramai pekerja yang mempunyai pengalaman bekerja dan di kolej vokasional sebanyak 70 peratus pembelajaran berasaskan kemahiran dan 30 peratus akademik,” katanya.

Friday 11 May 2012

Pendapatan Taman Halal RM130j setahun

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my


Mustapa Mohamed menandatangani plak perasmian kilang Sabit Banani Sdn. Bhd ketika hadir pada Majlis Perasmian Kimfest 2012 dan Pelancaran Halal Park di Pengkalan Chepa, semalam. Turut sama Ibrahim Ahmad (dua dari kanan) di Kota Bharu. - BERNAMA

KOTA BHARU 7 Mei - Taman Halal Kawasan Industri MARA Pengkalan Chepa di sini mampu menjana pendapatan kasar kira-kira RM130 juta setahun.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Ibrahim Ahmad berkata, pihaknya turut mengunjurkan peningkatan pendapatan sebanyak 20 peratus hasil kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).

Beliau berkata, kerjasama tersebut turut memberi manfaat kepada 59 usahawan yang terlibat dalam penghasilan produk-produk halal di taman tersebut.

Jelasnya, seramai lima daripada usahawan tersebut kini bergelar jutawan dan 15 lagi usahawan dan syarikat sederhana yang beroperasi di taman berkenaan turut berupaya mencatat pendapatan kasar antara RM25,000 sehingga RM1 juta sebulan.

KPTM pantau prestasi akademik calon SPM

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@bharian.com.my
2012/05/11

150 pelajar terpilih ikuti ceramah, motivasi

KOLEJ Poly Tech-Mara (KPTM) memperkenalkan program anak angkat pelajar Tingkatan Lima seluruh negara yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata buat julung kalinya projek rintis yang membabitkan 1,800 pelajar ini akan diperkasakan dengan pengisian program motivasi kendiri melalui jelajah bersiri mulai bulan ini.

Katanya, KPTM menerusi program “Jelajah Sukses SPM 2012” ke semua kawasan Parlimen seluruh negara bermula sekarang hinggalah menjelang peperiksaan SPM akhir tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya memilih Parlimen Selayang sebagai projek rintis program ini, bagi tujuan itu, seramai 150 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ideal Hight dan SMK Kepong di sini dipilih menjayakannya.

"Pelajar didedahkan dengan ceramah motivasi yang disampaikan tenaga pengajar daripada kolej ini dan penceramah jemputan bertauliah.

“Pelajar yang mengikuti program itu diberikan sijil penyertaan secara automatik menjadi anak angkat KPTM," katanya selepas merasmikan Program Jelajah Sukses SPM 2012 KPTM di SMK Ideal Hight Selayang kelmarin.

Masing-masing kata Sohaimi, berpeluang menyambung pengajian untuk beberapa kursus di KPTM berdasarkan kelayakan asas dan ketetapan pihak pengurusan kolej.

Katanya, siri jelajah itu diadakan setiap negeri mengikut kawasan Parlimen terpilih.

“Pengisian program membabitkan aktiviti ceramah, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), pameran KPTM dan pendedahan peluang kerjaya.

“Penganjur akan memantau prestasi pelajar dari semasa ke semasa. Inisiatif bertujuan mendekatkan mereka dengan KPTM yang memperkenalkan aktiviti perkongsian bestari pintar korporat dalam komuniti," katanya.

Sohaimi berkata, terdapat sembilan kampus KPTM beroperasi seluruh negara menyediakan peluang pendidikan sempurna kepada pelajar lepasan SPM.

Katanya, kolej akan sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan pihak sekolah termasuklah menyimpan pangkalan data maklumat pelajar untuk tujuan tawaran peluang belajar di kampus mereka

Tuesday 8 May 2012

Naik bumbung


LIPAT...pelajar Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kubu Bharu membersihkan Masjid As-Sajidin, Batang Kali, semalam.
LIPAT...pelajar Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kubu Bharu membersihkan Masjid As-Sajidin, Batang Kali, semalam.
SELAMAT...Paterpar Singh (depan) dan rakannya menyelamatkan kambing mereka daripada terperangkap dalam banjir, semalam.
SELAMAT...Paterpar Singh (depan) dan rakannya menyelamatkan kambing mereka daripada terperangkap dalam banjir, semalam.
BATANG KALI: “Air deras merempuh rumah saya menyebabkan dinding roboh. Saya, anak dan cucu terkejut melihat air naik tinggi segera ke dapur lalu memanjat tangga besi untuk naik ke bumbung.
“Bimbang keselamatan dua cucu perempuan, saya menjerit meminta tolong sebelum saudara dan pasukan bomba memasang tali untuk menyelamatkan kami,” kata Nuriah Mohamad, 59, mangsa banjir lumpur yang menyebabkan 14 kampung di sini, terjejas teruk.

Difahamkan, hujan lebat tanpa henti bermula jam 1 pagi semalam menyebabkan air Sungai Batang Kali melimpah sehingga menyebabkan lebih 150 keluarga dipindahkan.
Nuriah yang tinggal di Kampung Genting Malik bersama lima anak serta dua cucu perempuan berusia lapan dan 12 tahun mendakwa mengalami kerugian besar selain tinggal sehelai sepinggang selepas rumah peninggalan arwah moyangnya itu rosak teruk akibat banjir sedalam dua meter.

“Saya dikejutkan jiran yang datang ke rumah jam 5 pagi memberitahu banjir dan minta menyelamatkan barangan sebelum dihanyutkan.

“Namun, ketika kami mahu mengangkat barang berharga, saya dengar dentuman kuat. Rupa-rupanya dinding rumah roboh dan air mula naik tinggi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul yang ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.55 pagi sebelum jentera dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Kuala Kubu Bharu, Rawang dan Batu Arang bergegas ke tempat kejadian.

“Selain itu, kami mendapat bantuan daripada bomba sukarela, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Seramai 109 anggota terbabit bertugas bagi kerja menyelamat dan menghulurkan bantuan kepada lebih 150 keluarga di 14 kampung yang dilanda banjir,” katanya.

Lebih 3,000 terjejas, banjir terburuk lebih 10 tahun di Batang Kali


Sebuah kereta dan motosikal yang ditenggelami air di Kampung Sentosa.


Orang ramai terkandas di Jalan Utama Kuala Lumpur-Ipoh dekat Masjid Al Ubudiah yang dinaiki air


Seorang penduduk meredah banjir di hadapan Masjid Al Ubudiah Batang Kali

SHAH ALAM - Lebih 3,000 penduduk dalam Mukim Batang Kali dan Mukim Hulu Yam terjejas teruk akibat banjir buruk melanda lebih 14 kawasan pagi tadi.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, air yang naik sejak kira-kira jam 4.30 pagi tadi telah memaksa penduduk di kawasan paling teruk terjejas dipindahkan ke pusat pemindahan berdekatan.

"Kawasan paling teruk terjejas ialah di Kampung Genting Malik di mana air mencecah paras bumbung.

"Keadaan tidak selamat ini turut memaksa pasukan penyelamat diketuai bomba dan penyelamat dari Kuala Kubu Bharu, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis dan Rela memindahkan mangsa ke kawasan lebih tinggi," katanya kepada Sinar Harian.

Nor Hisham yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Hulu Selangor berkata, kejadian itu turut mengakibatkan jalan utama Kuala Lumpur-Ipoh bermula dari Masjid Al Ubudiah, Batang Kali hingga ke Pusat Pertanian Batang Kali ditutup sepanjang hampir satu kilometer.

Kawasan dilanda banjir:
- Kg Genting Malik, Batang Kali
- Jalan Kg Kuantan
- No 1566, Jalan Batang Kali
- Kuarters Pusat Haiwan
- Kg Masjid, Batang Kali
- Kg Sg Masin, Batang Kali
- Kg Sekolah, Batang Kali
- Kg Tengah
- Kg Seri Cahaya, Batang Kali
- Kg Sentosa
- Lorong Haji Nordin, Hulu Yam
- Kg Hulu Kalong, Hulu Yam
- Kg Batu, Hulu Yam Lama
- Kg Hulu Yam

Nor Hisham berkata, tiga pusat pemindahan disediakan iaitu Surau Batu 30, Hulu Yam Lama; Dewan Orang Ramai, Kampung Pasir, Hulu Yam dan Dewan Orang Ramai, Batang Kali.

Menurut beliau, Sekolah Kebangsaan Batang Kali turut ditutup kerana dinaiki air.

Menurutnya, banjir dipercayai disebabkan oleh hujan lebat yang berterusan sejak malam tadi dan fenomena air pasang akibat hujan di hulu sungai.

"Kita meminta keluarga yang terlibat supaya bersabar dan mengambil langkah berwaspada bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Bantuan makanan dan wang tunai turut diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah Hulu Selangor," katanya.

Monday 7 May 2012

Haram sertai demonstrasi


2012/05/07
pix_gal0

SEPANG: Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.  


Muzakarah ke-99 jawatankuasa majlis itu yang diadakan di sini semalam turut membincangkan gejala lesbian, gay, biseksual, transgender dan transeksual (LGBT) dan meminta umat Islam mengelak menyokong atau menunjukkan simpati kepada gerakan seks songsang.


Pengerusinya, Prof Tan Sri Dr Abd Shukor Hussin, berkata majlis memandang serius tindakan sebahagian masyarakat khususnya umat Islam yang bertindak sebagai perusuh jalanan seperti dalam BERSIH 3.0 yang menyebabkan kerosakan, kemudaratan, pergaduhan dan kacau bilau.


Sehubungan itu, katanya, mereka yang terbabit dalam demonstrasi sedemikian, khususnya umat Islam, perlu sedar dan insaf bahawa tindakan mereka itu bercanggah dengan ajaran Islam.



“Islam tidak pernah menyuruh umatnya bertindak secara tidak hak dengan mengancam nyawa sesama manusia, menimbulkan huru-hara dan merosakkan negara demi hanya untuk mencapai sesuatu agenda.



“Tindakan merusuh, membawa kacau-bilau dan merosakkan harta benda awam adalah perbuatan yang ditegah oleh Islam dan menderhaka kepada Ulil Amri.



“Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah. 


“Lebih-lebih lagi, jika terselit tujuan untuk menjatuhkan sebuah pemerintahan (kerajaan) yang sahih dan sah, adalah ditegah sama sekali oleh Islam ter-utama pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan muzakarah itu.



Turut hadir, Setiausaha Majlis Fatwa Kebangsaan yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Othman Mustapha.


Dr Abd Shukor berkata, banyak saluran perbincangan yang bermanfaat boleh digunakan tanpa perlu menggadai keamanan.



“Islam membenarkan kita mencari keadilan, tetapi dalam mencari keadilan itu perlu menerusi adab dan cara yang betul,” katanya.



Pada sidang media sama, beliau berkata, muzakarah yang diadakan semalam turut mengharamkan umat Islam menyokong atau menunjukkan simpati kepada gerakan seks songsang yang hebat dipromosi beberapa pihak di negara ini.



Sehubungan itu, muzakarah juga menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan menyekat aktiviti LGBT dan umat Islam dinasihatkan supaya kembali kepada ajaran Islam.



“Isu LGBT jelas diharamkan Islam dan tidak memerlukan sebarang fatwa dikeluarkan, malah menyokong mahupun bersimpati dengan isu ini juga adalah haram kerana ia bersubahat bersama dalam perkara itu.



“Umat Islam dinasihati menjauhkan diri daripada perlakuan seks songsang, terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan apa-apa gerakan, sokongan atau kempen mengenainya kerana ia jelas menyimpang daripada ajaran Islam dan membawa kehancuran kepada negara serta umat Islam seluruhnya.



“Muzakarah juga menasihatkan pemimpin, mana-mana individu dan media supaya menghentikan sikap suka mendedahkan mana-mana pihak secara terbuka kerana perbuatan mendedahkan keaiban orang lain lebih-lebih lagi berkait dengan hubungan seksual amat ditegah oleh Islam,” katanya.



“Jika bertujuan untuk menghapuskan kemungkaran, serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas,” katanya.