Tuesday 22 May 2012

Usaha lahir ramai usahawan berdaya saing tanpa bantuan

KERAJAAN mahu melihat kemunculan lebih ramai usahawan yang maju dan berdaya saing tanpa mendapatkan banyak bantuan serta sokongan sejajar dengan peralihan negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata perubahan itu penting dalam mewujudkan keyakinan baru dan semangat jitu di kalangan usahawan tempatan bagi memperlengkapkan diri mereka untuk menjadi pemimpin dan bukannya sebagai pengikut di pasaran.

Sehingga 2020, kita akan melalui satu perubahan yang ketara dalam ekonomi negara dan kerajaan yakin lapan tahun ini akan menjadi tempoh kegemilangan bagi Malaysia.

Dalam tempoh ini, negara akan mewujudkan kekayaan baru dan ia akan menjadi tempoh penting di mana akan muncul pemimpin korporat baru dan peneraju industri yang memacu ekonomi berpendapatan tinggi negara. - Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan Kedua.

“Dalam tempoh ini, negara akan mewujudkan kekayaan baru dan ia akan menjadi tempoh penting di mana akan muncul pemimpin korporat baru dan peneraju industri yang memacu ekonomi berpendapatan tinggi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pengarah Antarabangsa 2012 yang bertemakan Membangunkan Usahawan Korporat ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi, di Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama, Pengerusi Akademi Pengarah Malaysia (MINDA), Datuk Ahmad Pardas Senin dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Abdul Aziz Abu Bakar serta Ketua Eksekutif Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI), Datuk Michael Yeoh.

Ahmad Husni berkata, Malaysia kini dalam proses beralih kepada revolusi perindustrian ketiga dan bagi tujuan itu, sektor pengilangan dan perkhidmatan perlu meningkatkan rantaian nilai masing-masing bagi mencapai matlamat itu.

Beliau berkata, revolusi itu memerlukan usahawan untuk mengembangkan keupayaan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), menambah nilai kepada produk dan perkhidmatan serta meningkatkan capaian kepada persaingan yang lebih tinggi.

“Malaysia sebelum ini telah berjaya melalui revolusi perindustrian dan menerusi fasa ketiga ini dengan tumpuan diberikan kepada teknologi telekomunikasi, tenaga serta laluan hijau.

“Sejak dua tahun yang lalu, kerajaan telah bersedia dengan membangunkan persekitaran kondusif menerusi dasar, institusi dan rangka kerja perundangan bagi memastikan syarikat swasta dapat memulakan revolusi perindustrian ketiga ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Husni berkata, kerajaan sudah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi membangunkan usahawan termasuk penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk meningkatkan keupayaan usahawan Bumiputera serta Laluan Hijau bagi memberi kemudahan akses kepada usahawan.

Katanya, kerajaan juga telah mewujudkan Projek Permulaan (EPP) dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dengan mengenal pasti inovasi pasaran sedia bagi pelabur untuk menyertainya dan kesemua langkah berkenaan bertujuan menjadikan usahawan sebagai penggerak kepada ekonomi baru negara.

No comments:

Post a Comment