Friday 11 May 2012

KPTM pantau prestasi akademik calon SPM

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@bharian.com.my
2012/05/11

150 pelajar terpilih ikuti ceramah, motivasi

KOLEJ Poly Tech-Mara (KPTM) memperkenalkan program anak angkat pelajar Tingkatan Lima seluruh negara yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata buat julung kalinya projek rintis yang membabitkan 1,800 pelajar ini akan diperkasakan dengan pengisian program motivasi kendiri melalui jelajah bersiri mulai bulan ini.

Katanya, KPTM menerusi program “Jelajah Sukses SPM 2012” ke semua kawasan Parlimen seluruh negara bermula sekarang hinggalah menjelang peperiksaan SPM akhir tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya memilih Parlimen Selayang sebagai projek rintis program ini, bagi tujuan itu, seramai 150 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ideal Hight dan SMK Kepong di sini dipilih menjayakannya.

"Pelajar didedahkan dengan ceramah motivasi yang disampaikan tenaga pengajar daripada kolej ini dan penceramah jemputan bertauliah.

“Pelajar yang mengikuti program itu diberikan sijil penyertaan secara automatik menjadi anak angkat KPTM," katanya selepas merasmikan Program Jelajah Sukses SPM 2012 KPTM di SMK Ideal Hight Selayang kelmarin.

Masing-masing kata Sohaimi, berpeluang menyambung pengajian untuk beberapa kursus di KPTM berdasarkan kelayakan asas dan ketetapan pihak pengurusan kolej.

Katanya, siri jelajah itu diadakan setiap negeri mengikut kawasan Parlimen terpilih.

“Pengisian program membabitkan aktiviti ceramah, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), pameran KPTM dan pendedahan peluang kerjaya.

“Penganjur akan memantau prestasi pelajar dari semasa ke semasa. Inisiatif bertujuan mendekatkan mereka dengan KPTM yang memperkenalkan aktiviti perkongsian bestari pintar korporat dalam komuniti," katanya.

Sohaimi berkata, terdapat sembilan kampus KPTM beroperasi seluruh negara menyediakan peluang pendidikan sempurna kepada pelajar lepasan SPM.

Katanya, kolej akan sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan pihak sekolah termasuklah menyimpan pangkalan data maklumat pelajar untuk tujuan tawaran peluang belajar di kampus mereka

No comments:

Post a Comment