Sunday, 20 May 2012

Ghaddar wira, Kelantan pesta

  
  • Foto
    Mohammad Ghaddar
  • Foto
    PEMAIN Sime Darby muram selepas tewas di tangan Kelantan pada final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Red Warriors cuba tiga kali muncul juara tewaskan Sime Darby

TANGISAN Kelantan - dua kali gagal sebelum ini - akhirnya terubat apabila buat julung kali berjaya menjulang Piala FA selepas sepakan penalti menjadi garis pemisah kemenangan mereka menewaskan Sime Darby 1-0 pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.






Mohammad Ghaddar muncul wira pasukan dengan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-58.

Kelantan merakam sejarah tersendiri selepas tiga kali mencuba (2009, 2011 dan 2012), tetapi lawan kerdil dari Liga Perdana itu juga harus diberi pujian pada aksi sulung di pentas final apabila mempamerkan persembahan mantap sehingga tamat permainan.

Anak buah Bojan Hodak yang hadir dengan reputasi juara Liga Super, musim lalu seharusnya merakam kemenangan lebih besar tetapi kekentalan benteng pertahanan lawan kendalian Ismail Zakaria memaksa The Red Warriors berusaha lebih keras sebelum dapat memecah kebuntuan.

Sime Darby mencuba dan memberi segala yang terdaya namun keringat mereka itu gagal mengikut jejak langkah satu lagi kelab, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) yang layak ke final kejohanan besar apabila muncul juara baru Piala Malaysia pada 2003.

Sebaik babak pertama bermula, Kelantan menguasai permainan tetapi gagal menembusi benteng Sime Darby yang dikawal kapten pasukan, Es Lizuan Zahid Amir serta penjaga gol, Redzuan Harun yang menyelamatkan dua percubaan tepat oleh pelawat sepanjang 45 minit pertama permainan. 

Sime Darby turut memiliki beberapa peluang terbaik menembusi benteng Kelantan menerusi serangan balas tapi gagal dalam penyudahan. Usaha terbaik muncul pada minit ke-45 menerusi larian solo Patrick Wleh dari garisan tengah, tetapi hantarannya gagal menemui rakan sepasukan.

Selepas rehat, kedua pasukan saling berbalas serangan tetapi Kelantan terlebih dulu berpeluang membolosi gawang lawannya menerusi sepakan penalti Ghaddar pada minit ke-58. Penalti diberi pengadil selepas Obinna Nwaneri dijatuhkan oleh benteng Sime Darby.

Kemasukan Razali Umar Kandasamy sebelum itu hampir meletakkan Sime Darby kembali seimbang dengan Kelantan, tetapi peluang tiga lawan satu sejurus selepas ketinggalan, gagal dimanfaatkan jentera serangan tuan rumah. Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat permainan.

No comments:

Post a Comment