Monday, 7 May 2012

Hak semua dihormati selagi patuh peraturan


Oleh Abdul Razak Raaff
2012/05/07

Demokrasi terbuka tak halang perhimpunan aman

ROMPIN: Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan sentiasa melindungi hak semua pihak, termasuk pembangkang selagi mereka menghormati undang-undang. 

Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi terbuka, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak menghalang rakyat termasuk pembangkang untuk mengadakan perhimpunan jika ia mematuhi peraturan dan undang-undang.

“Kita tidak menolak jika ada yang nak buat perhimpunan secara aman... kita terima kerana kita kerajaan yang mengamalkan demokrasi terbuka.

“Semua ada hak, termasuk pembangkang selagi mereka menghormati undang-undang negara. 

“Tetapi jika nak buat, buatlah secara aman, macam orang bertamadun... jangan terkinja-kinja, melompat-lompat macam orang hilang pedoman,” katanya berucap pada majlis Sepetang Bersama Rakyat di Dataran Rompin di sini, semalam. 

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Najib juga terkilan dengan sikap sesetengah individu menyertai perhimpunan BERSIH 3.0, Sabtu minggu lalu yang tidak menghormati undang-undang, tetapi menyerang polis. 
“Mereka sengaja bertindak sedemikian kerana mahu mencalarkan imej polis dan mahu menarik perhatian media asing untuk menunjukkan polis bertindak ganas terhadap peserta perhimpunan. 

“Kita minta buat di stadium tetapi mungkin mereka berasa tak seronok sebab jika duduk diam di kerusi stadium berita tak keluar dalam media asing seperti di Al-Jazeera, CNN dan BBC,” katanya. 

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, Barisan Nasional (BN) akan terus menggalas tanggungjawab dan amanah dalam memperjuangkan kebajikan rakyat serta membawa perubahan di kawasan luar bandar, termasuk untuk masyarakat peneroka. 

“Lusa (esok) saya akan buat pengumuman pemberian ‘durian runtuh’ untuk warga FELDA yang akan menggemparkan dan memberi impak kepada peneroka. 

“Kita juga cuba tambah peruntukan membangunkan masyarakat di luar bandar dan kampung tradisional supaya mereka juga dapat menikmati kemajuan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment