Wednesday 30 May 2012

Syor tubuh dana pendidikan cadangan baik biayai pengajian pelajar


JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk kepada surat pembaca Ibu Prihatin bertajuk Syor Tubuh Dana Pendidikan bertarikh 7 Mei 2012 yang disiarkan di ruangan ini.

Syor serta pandangan supaya ditubuhkan dana pendidikan bagi pelajar yang tidak mendapat pembiayaan biasiswa tetapi berminat dan mampu berjaya untuk meneruskan pengajian, terutama dalam bidang kritikal, amatlah dihargai. Ia juga merupakan satu cadangan yang baik dalam memberi peluang untuk pelajar terus maju.

Justeru, kerajaan melalui agensi atau jabatan seperti JPA atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Negeri serta lain-lain ada menyediakan kemudahan pembiayaan biasiswa atau pinjaman bagi membiayai pelajar berpotensi melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama atau ijazah lanjutan sama ada di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negeri atau luar negara.

Bagaimanapun, pemberian kemudahan biasiswa atau pinjaman ini tertakluk kepada peruntukan kewangan serta kemampuan kerajaan selain mengambil kira fungsi agensi atau jabatan dalam menyediakan kemudahan tersebut.

Sebagai contoh, selain menyediakan penajaan biasiswa dalam dan luar negara, JPA turut menawarkan pembiayaan pinjaman kepada pelajar yang mengikuti pengajian peringkat ijazah pertama pelbagai bidang di luar negara di bawah program Skim Pinjaman Yuran Pengajian Luar Negara.

JPA juga merupakan agensi kerajaan yang menawarkan bilangan tempat yang paling banyak berbanding agensi atau jabatan lain. Justeru, program pinjaman kelolaan JPA sering menjadi tumpuan pelajar persendirian yang ingin mendapatkan penajaan dan tentunya saban tahun permohonan yang diterima jabatan ini melebihi bilangan tempat yang ditawarkan.

Jabatan ini sentiasa berusaha untuk menambah baik proses pemilihan dan penawaran bagi program pinjaman yang ditawarkan. Pemilihan adalah berdasarkan jumlah keseluruhan markah yang diperoleh pelajar mengikut kriteria (merit akademik, pendapatan keluarga dan bidang pengajian yang diikuti pelajar) yang ditetapkan.

Namun begitu, pelajar yang tidak ditawarkan pinjaman dalam permohonan terdahulu masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan pada masa akan datang. Ini kerana permohonan bagi kemudahan pinjaman ini dibuka dua sesi setahun iaitu pada bulan Februari dan Julai setiap tahun.

Makluman berkaitan sesi akan datang boleh diperoleh melalui laman webhttp://esila.gov.my atau e-mel kepada penawaranlsp@jpa.gov.my jika terdapat sebarang pertanyaan lanjut.

No comments:

Post a Comment