Wednesday 30 May 2012

SJUM tawar pinjaman kepada usahawan dan kontraktor bumiputera dalam bidang IBS


KUALA LUMPUR 29 Mei - Usahawan dan kontraktor bumiputera dalam sektor teknologi Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) kini boleh memohon pinjaman perniagaan menerusi Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM), kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Beliau berkata, dengan Mara bertindak sebagai penjamin, skim pinjaman itu yang ditawarkan oleh Malaysia Building Society Bhd (MBSB) memberi lebih harapan kepada para penggiat industri berkenaan kerana syarat pinjaman dikenakan lebih mudah berbanding institusi perbankan konvensional.

Katanya, dengan dana permulaan sebanyak RM250 juta, skim itu diwujudkan berikutan terdapat ramai usahawan IBS berpotensi tidak berupaya mengembangkan perniagaan akibat masalah dalam memenuhi kriteria tertentu institusi perbankan walaupun perniagaan mereka berupaya untuk berkembang.

Skim itu memudahkan usahawan bumiputera mendapatkan pinjaman sama ada bagi tujuan modal pusingan atau pembelian aset, katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pameran IBS dan Hartanah MARA di Menara Mara di sini hari ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment