KESEDIAAN Ahli Lembaga Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) menaikkan kadar elaun latihan pelajar kemahiran di bawah seliaan institusi di bawah kendaliannya sudah tentu menggembirakan lebih 20,000 pelajar yang sedang mengikuti program berkenaan di seluruh negara. Tekanan kos sara hidup yang sudah menjadi fenomena global dan bukan saja dialami rakyat di negara ini, menimbulkan kesempitan kepada pelajar terbabit dalam usaha untuk menguruskan kehidupan seharian ketika di kampus mereka. Sebahagian besar elaun itu diputuskan pada 1980-an atau 1990-an dan sudah sampai masanya kini kadar itu dikaji semula selepas diguna pakai untuk satu tempoh yang lama, sesuai dengan peredaran zaman. Elaun berjumlah RM200, umpamanya mungkin hanya mencukupi pada era 80-an atau 90-an dan tidak sesuai lagi untuk menampung perbelanjaan pelajar sekarang, walaupun mereka tinggal di asrama. Justeru, langkah MARA menaikkan elaun pelajar yang mengikuti latihan kemahiran di bawah seliaannya itu adalah satu langkah tepat dan sememangnya wajar. Keputusan itu membabitkan semua pelajar yang sedang mengikuti latihan di Pusat Giat Mara dan Institut Kemahiran Mara (IKM). Kita bersetuju dengan Pengerusi MARA, Datuk Idris Jusoh bahawa kenaikan elaun itu adalah sejajar dengan usaha majlis berkenaan untuk memberikan khidmat terbaik kepada penuntutnya, terutama dalam hal kebajikan pelajar.
Sebanyak 22,800 tempat disediakan di Giat Mara dan 2,481 tempat di IKM untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu bagi sesi bermula Julai depan. Apabila diluluskan oleh Kementerian Kewangan kelak, kadar elaun baru pelajar di Pusat Giat Mara dan IKM akan diselaraskan dengan jumlah bayaran yang diterima penuntut di Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Pada masa ini, pelatih di Pusat Giat Mara menerima elaun RM200 sebulan, manakala penuntut IKM mendapat RM350. Mereka menjalani latihan kemahiran selama enam bulan hingga setahun dalam pelbagai bidang seperti masakan, bengkel, jahitan dan kimpalan. Seperti ditegaskan Pengerusi MARA, kenaikan elaun itu diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar di kedua-dua institusi berkenaan untuk lebih berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa kini. Kenaikan elaun itu bertujuan menambah baik keadaan di kolej yang diseliakan MARA selaras dengan penjenamaan semula institusi terbabit sebagai pusat kemahiran kelas pertama, sekali gus pengeluar utama tenaga mahir dan profesional di negara ini. Sebelum ini, IKM MARA dilihat sebagai institusi kelas kedua kepada pelajar yang gagal memasuki pusat pengajian tinggi dan politeknik. Kita berharap dengan kenaikan elaun itu, ia dapat mempertingkatkan imej institusi berkenaan dan dapat menampung kos sara hidup pelajar bagi tempoh beberapa tahun akan datang.
No comments:
Post a Comment