Tuesday 18 January 2011

MARA perlu tambah baik empat sektor

Majlis Amanah Rakyat (MARA) digesa menambah baik empat sektor utamanya iaitu keusahawanan, pendidikan dan latihan kemahiran, pelaburan serta pengurusan bagi memastikan usaha memperkasakan bumiputera tidak terjejas.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, dalam era ekonomi berasaskan inovasi, MARA tidak boleh lagi terlalu terikat dengan pendekatan lama jika mahu melonjakkan bumiputera sebagai golongan berpendapatan tinggi.

Katanya, dalam aspek keusahawan, agensi itu perlu menggubal piawaian agar MARA dijadikan satu jenama yang mempunyai nilai pasaran global selain perlu melaksanakan program peruncitan bumiputera dengan pasar raya besar seperti Giant, Tesco mahupun Mydin.

"MARA perlu melakukan transformasi menjurus ke arah status bumiputera berpendapatan tinggi dengan mengambil pengajaran bagaimana negara-negara perindustrian yang berjaya hari ini mencipta kekayaan meskipun tidak mempunyai sumber semula jadi yang mencukupi.

"Pegawai MARA juga perlu diberi pendedahan kepada ilmu terkini mengenai keusahawanan termasuk membudayakan MARA sebagai sebuah jenama yang mempunyai nilai pasaran global," katanya ketika berucap merasmikan perhimpunan bulanan kementerian itu, di Bangi dekat sini hari ini.

Hadir sama kedua-dua timbalannya, Datuk Hassan Malek dan Datuk Joseph Entulu Belaun serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim Muhammad.

Mengenai aspek pendidikan dan latihan kemahiran pula, Mohd. Shafie memberitahu, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) perlu kembali menjurus kepada bidang sains dan matematik sebagai teras pendidikan agar generasi muda bumiputera berupaya menguasai bidang teknologi pada masa depan.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan MARA supaya lebih kreatif dalam menjana pendapatan sendiri dengan menceburi sektor pelaburan bagi memastikan kebergantungan kepada kerajaan secara berlebihan dapat dikurangkan.

"Bagi mencapai semua ini perlu kepada struktur organisasi yang sumber manusianya harus mempunyai elemen kecemerlangan.

''Kita perlu melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing dan oleh sebab itu saya mahu MARA mempercepatkan program pencapaian pelapis," ujarnya.