Thursday 24 June 2010

Komita Cadang Kerajaan Wujud Kementerian PKS

MELAKA, 23 Jun -- Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn Bhd (Komita) mencadangkan kerajaan supaya mewujudkan Kementerian Perusahaan Kecil dan Sederhana (KPKS) bagi memastikan usahawan PKS mendapat pembelaan sewajarnya.

Timbalan Pengerusi Komita Halim Samsuddin berkata kewujudan kementerian itu membolehkan agensi kerajaan yang bertanggung jawab terhadap pembangunan usahawan berada di bawah satu bumbung sekaligus memudahkan urusan usahawan PKS.

"Agensi kerajaan berkaitan dengan pembangunan usahawan yang kini diletakkan di bawah beberapa kementerian selepas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dibubarkan, menyukarkan usahawan PKS berurusan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Halim berkata Komita dengan keanggotaan lebih 50 syarikat PKS, amat berharap agensi kerajaan seperti Institut Keusahawanan Negara (Insken), Bank SME, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) diletakkan di bawah satu kementerian.

Beliau berkata usahawan PKS yang berpendapatan kasar sehingga RM25 juta setahun, masih memerlukan bantuan termasuk modal daripada kerajaan.

"Peranan sebenar yang dimainkan oleh sektor PKS dalam pertumbuhan sektor perkilangan dan keseluruhan pembangunan ekonomi negara adalah besar dan penting," katanya.

Beliau berkata perkembangan PKS mendorong kepada kewujudan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Katanya peranan PKS akan menjadi lebih penting dalam Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) yang menetapkan bahawa sektor swasta akan memacu ekonomi negara.-- BERNAMA

Wednesday 23 June 2010

Pemansuhan UPSR Dan PMR Tidak Jejas Kemasukan Pelajar MRSM

BANGI, 22 Jun -- Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), jika dilaksanakan, tidak akan menjejaskan kemasukan pelajar ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ini kerana pengambilan pelajar tingkatan empat ke MRSM sebelum ini melibatkan ujian khas manakala pengambilan bagi pelajar tingkatan satu juga akan menggunakan kaedah sama mulai tahun depan.

"(Ujian khas) ini akan terus digunapakai," kata Shafie kepada pemberita di sini Selasa bagi mengulas cadangan kerajaan untuk memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 20 Jun lepas berkata dua peperiksaan itu mungkin dimansuhkan kerana pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama memberi pendidikan holistik tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

MRSM mengambil kira-kira 9,000 pelajar baru setiap tahun.

Terdahulu, Shafie melancarkan penjenamaan semula Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Kampus KPTM Bandar Baru Bangi di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun dan Pengerusi KPTM Datuk Sohaimi Shahadan.

Mengulas mengenai penjenamaan semula KPTM yang juga merupakan institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Shafie berkata ia selaras dengan usaha kerajaan untuk melahirkan modal insan berkualiti di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Selain memperkenalkan logo baru, penjenamaan KPTM antara lain merangkumi pengenalan kursus baru yang mengikut kehendak pasaran selain memfokuskan kepada subjek keusahawanan. --BERNAMA.

MRSM Khusus Untuk Anak Tentera Akan Dibina Di Bagan Datoh

KUALA LUMPUR, 22 Jun -- Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang khusus untuk anak pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dibina di Bagan Datoh, Perak, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah membeli sebidang tanah di Bagan Datoh bagi membina MRSM itu.

Ahmad Zahid berkata beliau telah berbincang dengan pengerusi MARA (Datuk Seri Idris Jusoh) untuk memperinci perkara itu terutama modul yang akan diguna bagi memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak anggota dan pegawai ATM.

"Sistem pendidikan intias iaitu kombinasi antara modul pendidikan akademik, agama dan penghafalan Al-Quran akan digunakan dalam MRSM baru itu nanti bagi melahirkan pelajar yang seimbang antara pendidikan dunia dan akhirat," katanya.

Ahmad Zahid berkata Mara mengaplikasi modul intias itu pada dua MRSM dan tidak nampak sebarang masalah bagi modul itu digunapakai untuk MRSM terbaru itu nanti.

"Kita mahu lahirkan profesional yang boleh menghafal dan memahami al-Quran dan mungkin suatu hari nanti Panglima Angkatan Tentera juga terdiri dari kalangan mereka yang hafal Al-Quran (hafiz)," katanya.

Ahmad Zahid berkata dari pengalamannya mengendalikan sekolah Al-Hafiz membuktikan pelajar yang menghafal Al-Quran lebih fokus dan berjaya dalam bidang akademik.

Terdahulu, beliau menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Akademik ATM yang ke-20 untuk anak-anak pegawai dan anggota yang berjaya dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Seramai 662 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam kedua-dua peperiksaaan itu tahun lepas menerima anugerah dengan kelayakan minima 6A bagi PMR dan 5A bagi SPM.

Ahmad Zahid berkata mulai tahun depan, sumbangan bagi penerima anugerah akan dinaikkan iaitu RM500 kepada RM750 untuk PMR dan RM1,000 kepada RM1500 untuk SPM. -- BERNAMA

Monday 21 June 2010

Dewan Rakyat: 54.7 Peratus Pelajar MRSM Daripada Keluarga Berpendapatan Rendah

KUALA LUMPUR, 17 Jun -- Seramai 16,212 daripada 29,592 pelajar atau 54.7 peratus pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) merupakan pelajar daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah, demikian Dewan Rakyat diberitahu pada Khamis.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek berkata Pahang mencatatkan bilangan pelajar MRSM daripada keluarga miskin tertinggi iaitu seramai 2,128 pelajar atau 7.19 peratus.

"Ini diikuti pelajar dari Kedah seramai 2,110 atau 7.13 peratus dan Perak seramai 1,926 atau 6.51 peratus," katanya semasa menjawab soalan Ab Aziz Ab Kadir (PKR-Ketereh) mengenai peratusan pelajar MRSM yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah dan negeri asal mereka.

Hasan berkata negeri paling kurang pelajar dari keluarga miskin ialah Sarawak iaitu 547 pelajar (1.85 peratus) diikuti 427 pelajar dari Perlis (1.44 peratus) dan 295 pelajar dari Selangor (0.99 peratus).

Beliau berkata Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengklasifikasikan pendapatan rendah adalah bagi keluarga yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan.

Friday 18 June 2010

Institut Antarabangsa Latihan Keguruan MARA Ditubuh

KUALA LUMPUR, 17 Jun -- Kerajaan telah meluluskan penubuhan Institut Antarabangsa Latihan Keguruan MARA bagi meningkatkan tahap profesionalisme di kalangan warga pendidik di Institusi Pendidikan MARA (IPMa).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata institusi yang telah mendapat kelulusan pada 2008, kini sedang dalam pembinaan di Jawi, Pulau Pinang.

Katanya, institut itu dijangka memulakan sesi pertamanya tahun hadapan, dengan pengambilan pertama seramai 200 pelajar.

"Ini adalah satu landasan yang akan membolehkan kita meningkatkan dan menyampaikan ilmu kepada tenaga guru, kerana kita sedar sekiranya tenaga guru ini dapat kita tingkatkan, kita yakin ini akan dapat lagi meningkatkan kejayaan pelajar di peringkat bawah," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Pendidik MARA 2010 di Dewan Perdana Felda di sini.

Beliau berkata pihak MARA sedang menyusun kurikulum dan beberapa modul yang khusus dan sesuai untuk warga pendidik.

Menurut Mohd Shafie MARA juga akan menyemak semula kurikulum di institusi pendidikan di bawah agensi itu, selaras dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk membangunkan modal insan di negara ini.

Katanya kerajaan juga telah mengenal pasti beberapa bidang seperti bidang pengilangan minyak, pertanian, pelancongan dan sebagainya yang perlu dimajukan.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata MARA juga disarankan agar mewujudkan lebih banyak program yang membolehkan masyarakat mempelajari ilmu kemahiran.

Katanya kemahiran yang diperolehi dari program-program tersebut akan dapat membantu penjawat awam untuk memperolehi pendapatan sampingan.

"Kalau kita lihat penjawat awam pada hari ini ada lebih kurang 1.2 juta orang dan lebih 50 peratus adalah berpendapatan bawah RM1,500 memungkinkan mereka berada dalam garisan kemiskinan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata MARA bermula pada tahun ini, akan lebih menumpukan penajaan bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran di universiti-universiti dalam negara berbanding luar negara.

Katanya kos yang semakin meningkat menyebabkan MARA lebih memilih untuk menaja pelajar yang hanya melanjutkan pelajaran ke universiti yang terkemuka sahaja di luar negara.-- BERNAMA

MARA utamakan pelajar sarjana

KUALA LUMPUR 17 Jun - Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menambah penghantaran pelajar bumiputera untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) di universiti luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ini selaras dengan dasar kerajaan yang mahu meningkatkan jumlah lulusan di peringkat tersebut di kalangan rakyat negara ini.

"Pada masa yang sama MARA juga akan mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara bagi peringkat ijazah pertama memandangkan universiti-universiti dalam negara mempunyai kualiti dan standard yang sama dengan universiti luar.

"Pengecualian hanya diberikan kepada pelajar-pelajar yang mendapat tempat di universiti-universiti ternama seperti Universiti Oxford dan Harvard,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Pendidikan MARA 2010 yang dihadiri kira-kira 700 pendidik dari agensi itu di sini hari ini.

Pada majlis itu Ramli Ismail (gambar) diumumkan sebagai tokoh pendidik dan sebanyak 14 pendidik lain dianugerahkan sebagai pendidik terbilang MARA 2010.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menterinya, Datuk Joseph Entulu Belaun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Muhamad.

Shafie memberitahu, pada masa ini Mara menghantar kira-kira 1,500 orang pelajar melanjutkan pelajaran pada peringkat ijazah pertama di luar negara dan ia akan dikurangkan dari semasa ke semasa.

Tegasnya, keputusan untuk mengurangkan penghantaran pelajar ijazah pertama memandangkan universiti-universiti tempatan telah dapat memenuhi keperluan pelajar.

Pada majlis itu beliau mengumumkan penubuhan Institut Antarabangsa Latihan Keguruan MARA di Jawi, Pulau Pinang yang akan dibuka pada tahun depan.

Katanya, IPMa bertujuan meningkatkan tahap profesionalisme warga di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) yang bertugas di seluruh negara.

Selain itu beliau juga meminta Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) membuat perubahan pada kurikulum di maktab tersebut agar lebih memberi penekanan kepada bidang sains dan teknologi.

Shafie memberitahu, penekanan ini perlu dibuat memandangkan pelajar yang keluar dari MRSM melanjutkan pelajaran di bidang-bidang lain seperti ekonomi serta sosiologi.

''Kerajaan mahukan pelajar-pelajar lepasan MRSM ini melanjutkan pelajaran di bidang sains dan teknologi kerana itu adalah matlamat utama penubuhan MARA pada 1970-an,'' katanya.

Dr. Mahathir sokong tubuh kementerian PKS ganti MECD

KUALA LUMPUR 17 Jun – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyokong cadangan mewujudkan Kementerian Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menggantikan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang ditutup tahun lalu.

Dr. Mahathir berkata, beliau bersetuju dengan cadangan penubuhan kementerian itu supaya usahawan PKS terus mendapat pembelaan kerajaan.

Menurutnya, beliau tidak tahu di mana silapnya sehingga kerajaan menutup MECD tetapi ia mungkin kerana desakan beberapa pihak yang sentiasa menimbulkan isu kononnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak adil pada mereka.

“Usaha kerajaan membantu membangunkan usahawan bumiputera tidak menghalang pertumbuhan ekonomi negara yang meningkat lapan peratus antara 1987 hingga 1997,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menerima kunjungan hormat 16 Ahli Jawatankuasa Simposium Usahawan PKS Dalam 1Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.

Kunjungan hormat itu diketuai Pengerusi Eksekutif Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd (Komita), Sheikh Ahmad Dusuki; Pengerusi GiatMara yang juga Penaung Komita, Meriyam Abdul Majid dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd., Datuk Ameer Ali Mydin.

Pada pertemuan itu, Dr. Mahathir selaku penaung simposium yang diadakan pada 22 April lalu di Kota Bharu, Kelantan menandatangani resolusi supaya kerajaan menubuhkan kementerian PKS seperti yang terdapat di India dan United Kingdom.

Resolusi itu juga antaranya mencadangkan supaya SME Bank Bhd.; SME Corporation Malaysia (SME Corp.); Institut Keusahawanan Negara (Insken), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) diletakkan di bawah kementerian itu untuk memastikan usahawan PKS mendapat pembelaan.

Menurut Sheikh Ahmad, resolusi itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

Monday 14 June 2010

MARA Jamin Bantuan Modal Untuk Pelatih GiatMara

RAUB, 13 Jun -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi jaminan akan membantu pelatih GiatMara, yang hendak menjalankan perniagaan selepas tamat kursus, mendapatkan pinjaman modal.

Pengerusi GiatMara Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata pihaknya komited membantu melahirkan lebih ramai usahawan muda daripada kalangan pelatih GiatMara dalam pelbagai bidang perniagaan.

Setakat ini, seramai 312 pelatih GiatMara berjaya menjalankan pelbagai perniagaan sendiri termasuk bengkel membaiki kenderaan, mengecat kereta, membuat perabut, rumah, kek serta katering dan restoran.

"Yang lain pula bekerja dengan agensi atau jabatan kerajaan serta sektor swasta," katanya kepada pemberita di sini, hari Ahad.

Pelatih GiatMara, katanya boleh bersaing dengan usahawan lain kerana mereka mempunyai latihan, kemahiran serta kepakaran dalam bidang masing-masing.

Shahiruddin berkata dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), MARA menyediakan peruntukan berjumlah RM3.75 juta sebagai pinjaman modal kepada pelatih GiatMara menjalankan perniagaan, namun peratusan mereka yang mengambil peluang berkenaan masih rendah.-- BERNAMA

Friday 11 June 2010

PM Ketuai Majlis Peringkat Tertinggi Utk Rancang, Selaras Dan Pantau Agenda Pembangunan Bumiputera

KUALA LUMPUR, 10 Jun -- Satu Majlis peringkat tertinggi akan ditubuhkan untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Majlis ini akan diketuai oleh saya sendiri dan diangotai oleh beberapa menteri kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pihak swasta," kata beliau dalam ucapan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) di Parlimen di sini Khamis.

Najib berkata Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri akan menjadi urusetia kepada Majlis ini.

Unit Pengurusan Projek di Kementerian Kewangan akan memantau program yang berkaitan bagi memastikan pelaksanaan yang efisen dan efektif, kata beliau.

Najib berkata kerajaan akan mengukuhkan agensi pembangunan keusahawanan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Nasional Bhd (PUNB) dengan peruntukan sebanyak RM3 bilion.

Beliau berkata pakej secara bersepadu akan dilaksanakan bagi meningkatkan daya saing dan daya maju Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian (MPPB) untuk mengukuhkan daya tahan dan daya saing mereka.

Pakej berkenaan akan termasuk latihan keusahawanan, bantuan teknikal, pembiayaan, khidmat rundingan serta promosi dan pemasaran.

"Bagi meningkatkan akses kepada kemudahan pembiayaan, sebanyak RM1.5 bilion atau separuh daripada tambahan dana Skim Jaminan Modal Kerja sebanyak RM3 bilion akan diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera," katanya.

Mengenai usaha mempertingkatkan pemilikan hartanah Bumiputera, Najib berkata Pelaburan Hartanah Bhd akan menubuhkan Tabung Pelaburan Amanah Hartanah bagi mengurangkan kekangan kepada Bumiputera untuk melabur dalam sektor hartanah komersil dan industri, serta mendapat faedah daripada peningkatan nilai hartanah tersebut.

Selain itu, Kampung Baru, yang merupakan aset Bumiputera yang berharga di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur, akan dibangunkan semula supaya pemilik tanah dapat merealisasikan nilai sebenar hartanah mereka tanpa menjejaskan kedudukan orang Melayu sebagai pemegang asal tanah-tanah di kawasan itu, kata beliau.

Najib berkata program ekuiti swasta dalam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji akan diperbaharui, diperkukuh dan diperluas bagi mengembleng pelbagai dana dalam usaha memperluas pemilikan dan kawalan ekuiti Bumiputera.

Beliau berkata Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) akan membawa pendekatan baru yang lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit.

Ekuinas ditubuhkan sebagai institusi pelaburan ekuiti swasta Bumiputera dengan penekanan khusus untuk melabur ke dalam syarikat sederhana besar yang berpotensi tinggi agar dapat disokong sehingga menjadi jaguh serta peneraju utama dalam sektor masing-masing.-- BERNAMA

Wednesday 9 June 2010

UniKL RCMP lancar misi perubatan

IPOH 8 Jun - Kolej Perubatan Diraja Perak Universiti Kuala Lumpur (UniKL RCMP) baru-baru ini melancarkan Misi Perubatan Bergerak Luar Bandar dalam usahanya untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan penduduk pedalaman di negeri ini.

Pelancaran misi tersebut dibuat sempena lawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ke UniKL RCMP baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi UniKL, Datuk Dr. Adham Baba.

Pengerusi Lembaga Pengarah UniKL RCMP, Datuk Dr. Zamani Mohd. Noor berkata, misi pertama perubatan bergerak itu bermula pada 12 Jun ini di Kampung Tonggang, Tanjung Rambutan dan Ulu Kinta.

Katanya, misi tersebut disertai seramai 12 kakitangan UniKL RCMP dan fokus mereka ialah masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman.

''Antara perkhidmatan yang akan diberikan adalah pemeriksaan kesihatan, khatan dan pemeriksaan Pap Smear untuk mengesan kanser secara percuma," katanya pada majlis pelancaran Misi Perubatan Bergerak Luar Bandar di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, pada majlis sama, UniKL RCMP turut memeterai perjanjian persefahaman dengan rakan strategiknya dari India, Vinayaka Mission University (VMU).

Perjanjian tersebut ditandatangani Zamani dan Pro-Canselor VMU, Datuk Dr. S. Sharavanan.

Melalui perjanjian tersebut, pelajar UniKL RCMP hanya perlu mengikut pengajian selama 26 bulan di kampus terbabit dan menghabiskan tempoh pengajian selama dua tahun setengah di VMU.

Langkah itu katanya, membantu menjimatkan kos pengajian kerana tidak perlu mengikuti pengajian sepenuhnya di VMU untuk mendapatkan ijazah sarjana muda.

Friday 4 June 2010

Pelajar tajaan MARA ke luar negara dikurangkan

IPOH 3 Jun – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memberi tumpuan untuk menempatkan pelajar tajaannya di universiti tempatan dan mengurangkan penghantaran ke luar negara mulai tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, MARA hanya akan menghantar pelajar ke universiti luar negara yang tersohor seperti Cambridge, Oxford, Harvard, London School of Economics, Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan Monach University.

“Dasar baru kita ialah memberikan keutamaan kepada universiti tempatan untuk kurangkan belanja. Kemudahan di sini juga lebih kurang sama dengan universiti di negara-negara Barat.

“Sesetengah universiti di United Kingdom (UK) sebenarnya setanding dengan universiti tempatan. Hendak hantar pelajar ke luar negara belanja banyak dan dengan mengurangkan itu, jumlah pelajar dalam negara dapat dipertingkatkan,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Kolej Perubatan Diraja Perak (RCMP) Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mohd. Shafie turut menyaksikan majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian antara RCMP UniKL dengan Vinayaka Mission University dari India.

Menurut Mohd. Shafie, MARA juga hanya akan menghantar pelajar tajaannya yang melanjutkan pengajian dalam bidang tertentu yang diperlukan Malaysia ke luar negara.

“Sebagai contoh dalam bidang perubatan, kita masih kekurangan pakar patologi, pakar bius dan nutrisi kerana kesedaran menjaga kesihatan di negara ini sedang meningkat.

“Kita juga tidak mahu menghantar pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang yang sudah ditaja oleh pihak lain seperti kejuruteraan dan perakaunan yang ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kita tengok bidang lain yang ada keperluan,” katanya.

Setakat ini, terdapat kira-kira 54,000 pelajar tajaan MARA yang sedang mengikuti pengajian di luar negara manakala di dalam negara pula terdapat lebih kurang 47,000 orang.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, MARA bercadang untuk memberikan hak milik lot-lot kedai kepada peniaga bumiputera yang kini menyewa premis-premis tersebut.