Thursday 26 May 2011

Letak UDA di bawah MARA keputusan PM – Shafie Apdal

KUALA LUMPUR 24 Mei – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menerima dengan ‘tangan terbuka’ cadangan meletakkan UDA Holdings Bhd. (UDA) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Bagaimanapun Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, perkara itu bergantung sepenuhnya kepada keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sama ada mahu mengekalkan UDA sebagai sebuah agensi atau sebaliknya.

“Kita di peringkat kementerian tiada masalah dengan cadangan itu, tetapi semuanya bergantung kepada keputusan Perdana Menteri.

“Namun, yang penting tidak kira sama ada UDA kekal berdiri sendiri atau berada di bawah MARA, agenda membantu bumiputera terutama dalam bidang keusahawanan perlu menjadi keutamaan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pegawai MARA Daerah Se-Malaysia 2011, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai cadangan seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia, Dr. Siti Nabiha Abdul Khalid supaya UDA diletakkan di bawah MARA.

Dalam artikel bertajuk ‘Letak UDA di bawah MARA’ yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini, menurut Siti Nabiha, ia bagi membolehkan usaha membangunkan masyarakat pedagang dan perindustrian bumiputera dapat diselaraskan dengan lebih sempurna.

Mohd. Shafie berkata, isu sama ada UDA berada di bawah MARA atau tidak, bukan menjadi keutamaan kementerian yang kini lebih memfokus dalam pembangunan bumiputera serta penduduk di luar bandar.

Dalam perkembangan lain, beliau menyeru pegawai MARA daerah supaya kerap turun padang bagi mengenal pasti permasalahan masyarakat terutama anak-anak bumiputera yang memerlukan bantuan pendidikan.
“Kita sudah mengkorporatkan bahagian yang menguruskan proses pinjaman di MARA, oleh itu pegawai Mara di daerah-daerah mempunyai banyak masa untuk turun padang.

“Jangan hanya duduk di kerusi empuk. Jumpa akar umbi dan selesaikan masalah mereka dengan berkesan. Jangan tunggu mereka datang kepada kita kerana kita yang perlu turun padang menyelesaikan apa jua masalah rakyat,” tegas beliau.

GiatMara tawar kursus spa

TASEK GELUGOR 21 Mei - Pusat GiatMara Prima di sini mempelawa golongan bumiputera berusia 15 tahun ke atas termasuk lepasan sekolah untuk mengikuti Kursus Holistik dan Kesihatan Spa yang baru diperkenalkan mulai tahun ini.
Pengurus GiatMara Prima Tasek Gelugor, Ismadi Ishak berkata, antara syarat-syarat bagi menyertai kursus tersebut ialah warganegara Malaysia, sihat tubuh badan, boleh membaca, menulis dan mengira serta berminat dengan kursus berkaitan spa dan terapi.

"Kursus ini menawarkan modul-modul keselamatan dan kebersihan, pengurusan spa, khidmat pelanggan, teknik rawatan diri yang betul serta penggayaan diri dan postur tubuh yang menarik.

"Selain itu terdapat juga modul-modul penyediaan bahan-bahan untuk perawatan muka, urutan aromaterapi dan tradisional, mandi lulur, mandi susu, mandi bunga tradisional dan sauna," katanya di sini baru-baru ini.
Ismadi memberitahu, pelatih yang berjaya menamatkan kursus itu berpeluang menjadi pengusaha atau pembantu spa selain menceburkan diri dalam industri spa dan aromaterapi.

Kursus Holistik dan Kesihatan Spa katanya, mengambil masa selama satu semester atau enam bulan pengajian dengan pengambilan pelatih dibuat dua kali setahun iaitu pada bulan Januari dan Julai.

"Bagaimanapun, kami masih membuka pendaftaran bagi kemasukan pertama tahun ini dan mereka yang berminat dan menepati syarat yang ditetapkan boleh menghubungi kami. Walaupun keutamaan diberi kepada penduduk tempatan, kursus ini turut dibuka kepada pemohon dari seluruh negara selagi mereka memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya.

Jelasnya, pelatih layak mendapat pelbagai kemudahan seperti latihan percuma, elaun RM200 setiap bulan bagi kursus sepenuh masa, latihan sukan dan rekreasi, Sijil Kemahiran GiatMara serta berpeluang diserap mengikuti program keusahawanan selepas tamat latihan.

Selain itu, pelatih juga akan menerima penganugerahan Sijil Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) selepas tamat pengajian.

Menurut Ismadi, pelatih juga akan menjalani kerja-kerja amali dan latihan industri dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta pengusaha industri.

Mereka yang berminat atau ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kursus tersebut boleh menghubungi GiatMara Prima Tasek Gelugor di talian 04-5756163.

Wednesday 18 May 2011

Memartabatkan profesion keguruan

Pada hari yang bermakna ini, saya ingin mengambil peluang sebagai Perdana Menteri Malaysia juga bagi pihak kerajaan, rakyat, diri saya dan isteri untuk mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada para guru. Hari ini merupakan hari kita meraikan serta memberi pengiktirafan kepada mereka.

Sesungguhnya, jasa mereka yang begitu besar, budi mereka yang ditabur serta khidmat bakti mereka kepada negara tidak mungkin akan dapat diimbal dengan seadilnya. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberikan ganjaran setimpal.

Hakikatnya, sejarah pembangunan Malaysia dilakar melalui kalam para guru, ia disuburkan hasil jerih payah dan pengorbanan warga pendidik di bilik-bilik darjah dan padang-padang permainan. Sebetulnya lagi, sebuah negara yang maju, sebuah tamadun yang hebat, tidak mungkin terbina tanpa insan yang bergelar guru.

Hari ini, di setiap ceruk rantau negara, para guru tanpa mengenal penat lelah senantiasa membawa cahaya harapan kepada anak-anak Malaysia. Para gurulah yang membuka pintu gedung ilmu pengetahuan, membolehkan penerokaan khazanah minda seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan negara.

Setiap kejayaan nasional dari transformasi negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, tercatat di celah-celah lipatan kudratnya para guru.

Begitu juga lompatan transformasi berikutnya ke arah negara maju berpendapatan tinggi memerlukan sentuhan para guru sesuai dengan tema sambutan tahun ini "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara".

Lantaran itu, menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang telah dibuat para guru, maka kerajaan telah memutuskan untuk menambah baik skim perkhidmatan guru Malaysia. Sehubungan itu, sukacita saya maklumkan kerajaan telah bersetuju bahawa:

Sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam Perkhidmatan Perguruan dan dalam memartabatkan profesion keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya time-based perlu diberi nafas baru.

Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun.

Makanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.

Oleh yang demikian, kerajaan memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran atau PDP yakni Guru Wibawa dan Pendeta Guru di mana guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan. Pertamanya: Guru Biasa, keduanya: Guru Kanan, ketiganya: Guru Wibawa dan keempat: Pendeta Guru. Jelasnya, pewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

Selain itu, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan, mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Namun, untuk guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.

Untuk ini, kerajaan bersetuju menambah lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100 peratus dengan menambah jumlah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

Selanjutnya, sebagai membuktikan lagi kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan profesion keguruan, kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.

Sementara itu, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 akan melibatkan 6,585 jawatan. Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.

Khabar gembiranya insya-Allah, tarikh kuat kuasa pelaksanaan semua perubahan yang dinyatakan tadi akan bermula pada 1 Januari 2012.

Begitulah, betapa pihak kerajaan amat memandang tinggi profesion keguruan di negara ini. Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kira sama ada beliau seorang pemimpin, pentadbir, doktor, peguam, akauntan, jurutera, ahli sukan atau apa jua pun kerjayanya, telah terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru.

Pujangga bermadah:

Guru umpama kandil yang terang menyala,
Suluh cahayanya penerang jalan,
Sepatah kata dijadikan pelajaran,
Segumpal pesan dijadikan pedoman,
Ilmu dicurah mengorak alam terkembang.

Akhir kata, mudah-mudahan para guru sekalian terus ikhlas dan bersemangat menabur jasa serta khidmat bakti kepada anak-anak watan demi sebuah Malaysia.

Monday 9 May 2011

MARA penuhi impian Izamuddin

DUNGUN  – Izamuddin Idris, 41, amat meminati bidang hartanah dan dia yang menyimpan cita-cita untuk menjadi usahawan sejak kecil, akhirnya berpeluang menimba ilmu di institusi pengajian tinggi.

Dia mengikuti pengajian luar kampus sambil mengutip pengalaman di syarikat- syarikat pemaju perumahan di Kota Bharu.

Setelah hampir 10 tahun bekerja sebagai pegawai pemasaran di tiga buah syarikat, dia memberanikan diri untuk berdikari bagi memenuhi impiannya.

Dengan bantuan serta bimbingan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), dia terus melangkah jauh dan mengembang rangkaian perniagaannya. Selain sebagai pemaju perumahan, dia juga memiliki pusat jualan perkakasan rumah dan binaan (hardware), kilang bata dan pusat latihan.

‘‘Semasa makan gaji, saya telah melihat potensi dalam bidang pembinaan ini begitu cerah, justeru dalam diam-diam saya telah belajar selok-belok bidang ini namun yang menjadi halangan pada waktu itu adalah modal.

‘‘Oleh itu, pada tahun 2003, buat permulaan, saya menjual rumah di Kota Bharu, lalu kembali ke sini, tempat kelahiran ayah saya untuk memulakan perniagaan bersama isteri,” ujarnya.

Izamuddin menubuhkan syarikat SIZ Hardware dan bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif manakala isterinya, Roslina Mat Husin, 39, selaku Pengarah Kewangan dan mereka berdua memulakan usaha awal dengan bantuan ayah dan abangnya dengan membina lima unit rumah teres dua tingkat.

‘‘Bila rumah-rumah itu berjaya dijual, kami teruskan dengan 16 lagi unit disusuli fasa kedua dengan tujuh unit rumah teres satu tingkat dan empat unit kedai pejabat dua tingkat, manakala tujuh lagi unit rumah teres dua tingkat masih dalam pembinaan.

‘‘Semasa dalam proses menyiapkan projek, akhirnya pihak kami dapat menyakinkan bank untuk membantu menyalurkan pembiayaan,” katanya, di sini baru-baru ini.

Kata Izamuddin, menyedari kos bahan mentah akan menjejaskan keuntungan, maka dia telah mengemukakan permohonan pinjaman kepada Mara bagi membuka sebuah kedai hardware.

“Alhamdullilah, saya memperoleh RM300,000 bagi modal permulaan untuk membuka premis hardware.

“Pada awalnya, kedai itu beroperasi di sebuah premis yang disewa tetapi kini telah berpindah ke Batu 50, Jalan Paka iaitu di bangunan empat tingkat milik sendiri yang turut menempatkan pejabat operasi,’’ katanya.

Bidang pembinaan ini sememangnya luas dan banyak cabang rezeki. Maka, Izamuddin turut mengusahakan pembuatan batu-bata bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi untuk dijual.

“Rupanya rezeki saya sememangnya terletak dalam bidang pembinaan ini. Berdikit-dikit saya berjaya melunaskan pinjaman permulaan daripada MARA.

‘‘Setelah selesai pinjaman, saya bercadang untuk mengembangkan lagi perniagaan, maka sekali lagi saya membuat permohonan pinjaman dengan tujuan bagi membina kilang bata simen, kilang bata konkrit ringan dan kilang simen siap bancuh di kawasan perindustrian Batu Tujuh.

‘‘Pada hari ini, kilang tersebut berupaya mengeluarkan sehingga 2,000 blok bata konkrit ringan dan bata simen sehingga 24,000 unit dalam sehari.

‘‘MARA juga membantu saya mendapatkan jentera pengepam pasir yang kini beroperasi di Kampung Padang Pulut bagi menampung keperluan kontrak bekalan bahan itu bagi projek Lebuh Raya Pantai Timur,” ujarnya.

Berdasarkan pengalaman dan prestasi Izamuddin, pihak MARA telah melantik syarikatnya sebagai sebagai pusat bertauliah bagi melatih kontraktor, usahawan, belia-belia teknik memasangkan bata konkrit ringan terutama untuk bangunan tinggi.

Menurutnya, apa yang dicapai sehingga ini mungkin tidak tercapai jika tiada bantuan daripada MARA.

“Saya bersyukur dan berterima kasih dengan MARA kerana memberi kepercayaan dan bimbingan sehingga impian yang saya cita-citakan akhirnya tercapai,’’ katanya.