DUNGUN – Izamuddin Idris, 41, amat meminati bidang hartanah dan dia yang menyimpan cita-cita untuk menjadi usahawan sejak kecil, akhirnya berpeluang menimba ilmu di institusi pengajian tinggi.
Dia mengikuti pengajian luar kampus sambil mengutip pengalaman di syarikat- syarikat pemaju perumahan di Kota Bharu.
Setelah hampir 10 tahun bekerja sebagai pegawai pemasaran di tiga buah syarikat, dia memberanikan diri untuk berdikari bagi memenuhi impiannya.
Dengan bantuan serta bimbingan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), dia terus melangkah jauh dan mengembang rangkaian perniagaannya. Selain sebagai pemaju perumahan, dia juga memiliki pusat jualan perkakasan rumah dan binaan (hardware), kilang bata dan pusat latihan.
‘‘Semasa makan gaji, saya telah melihat potensi dalam bidang pembinaan ini begitu cerah, justeru dalam diam-diam saya telah belajar selok-belok bidang ini namun yang menjadi halangan pada waktu itu adalah modal.
‘‘Oleh itu, pada tahun 2003, buat permulaan, saya menjual rumah di Kota Bharu, lalu kembali ke sini, tempat kelahiran ayah saya untuk memulakan perniagaan bersama isteri,” ujarnya.
Izamuddin menubuhkan syarikat SIZ Hardware dan bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif manakala isterinya, Roslina Mat Husin, 39, selaku Pengarah Kewangan dan mereka berdua memulakan usaha awal dengan bantuan ayah dan abangnya dengan membina lima unit rumah teres dua tingkat.
‘‘Bila rumah-rumah itu berjaya dijual, kami teruskan dengan 16 lagi unit disusuli fasa kedua dengan tujuh unit rumah teres satu tingkat dan empat unit kedai pejabat dua tingkat, manakala tujuh lagi unit rumah teres dua tingkat masih dalam pembinaan.
‘‘Semasa dalam proses menyiapkan projek, akhirnya pihak kami dapat menyakinkan bank untuk membantu menyalurkan pembiayaan,” katanya, di sini baru-baru ini.
Kata Izamuddin, menyedari kos bahan mentah akan menjejaskan keuntungan, maka dia telah mengemukakan permohonan pinjaman kepada Mara bagi membuka sebuah kedai hardware.
“Alhamdullilah, saya memperoleh RM300,000 bagi modal permulaan untuk membuka premis hardware.
“Pada awalnya, kedai itu beroperasi di sebuah premis yang disewa tetapi kini telah berpindah ke Batu 50, Jalan Paka iaitu di bangunan empat tingkat milik sendiri yang turut menempatkan pejabat operasi,’’ katanya.
Bidang pembinaan ini sememangnya luas dan banyak cabang rezeki. Maka, Izamuddin turut mengusahakan pembuatan batu-bata bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi untuk dijual.
“Rupanya rezeki saya sememangnya terletak dalam bidang pembinaan ini. Berdikit-dikit saya berjaya melunaskan pinjaman permulaan daripada MARA.
‘‘Setelah selesai pinjaman, saya bercadang untuk mengembangkan lagi perniagaan, maka sekali lagi saya membuat permohonan pinjaman dengan tujuan bagi membina kilang bata simen, kilang bata konkrit ringan dan kilang simen siap bancuh di kawasan perindustrian Batu Tujuh.
‘‘Pada hari ini, kilang tersebut berupaya mengeluarkan sehingga 2,000 blok bata konkrit ringan dan bata simen sehingga 24,000 unit dalam sehari.
‘‘MARA juga membantu saya mendapatkan jentera pengepam pasir yang kini beroperasi di Kampung Padang Pulut bagi menampung keperluan kontrak bekalan bahan itu bagi projek Lebuh Raya Pantai Timur,” ujarnya.
Berdasarkan pengalaman dan prestasi Izamuddin, pihak MARA telah melantik syarikatnya sebagai sebagai pusat bertauliah bagi melatih kontraktor, usahawan, belia-belia teknik memasangkan bata konkrit ringan terutama untuk bangunan tinggi.
Menurutnya, apa yang dicapai sehingga ini mungkin tidak tercapai jika tiada bantuan daripada MARA.
“Saya bersyukur dan berterima kasih dengan MARA kerana memberi kepercayaan dan bimbingan sehingga impian yang saya cita-citakan akhirnya tercapai,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment