Thursday 21 April 2011

6 rakyat kita terima anugerah

Universiti Eropah-Amerika iktiraf pencapaian pemimpin organisasi tempatan

UNIVERSITI Eropah-Amerika (COD) menganugerahkan Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan (DBA) kepada enam rakyat Malaysia termasuk Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Datuk Rosli Mat Hassan dan Ketua Eksekutif YPM, Abdul Shariff Hamid di Royal Over-Sea League, London, semalam.

Universiti terkemuka itu turut menganugerahkan Abdul Shariff, Ijazah Kehormat Profesor dalam bidang kepimpinan dan pengurusan yang membawa gelaran Prof Kehormat.

Turut menerima DBA ialah Pengarah Pasdec Holdings Berhad, Datuk Hamdan Jaafar; Pengarah Urusan TN Synergy, Ir Mohd Tahir Saad; Ahli Lembaga Pengarah Kristal Padu Konsult, Hisham Ismail dan Presiden JT Petroleum Services Sdn Bhd, Datuk Dr Jamal Abdul Nasir Hashim.

Anugerah berkenaan disampaikan Presiden COD, Prof John Kersey.

Hadir sama, Penasihat Antarabangsa Eropah-Amerika Oxford, Dr Mike Kecisley dan Presiden The Oxford Centre for Leadership (OXCELL) Asia Pasifik, Dr Saiful Bahri.

Berucap pada majlis itu, Kersey berkata, anugerah berkenaan pengiktirafan terhadap sumbangan serta kecekapan Rosli dan Abdul Shariff dalam memacu kecemerlangan, kepimpinan dan pengurusan sehingga menjadikan YPM antara organisasi unggul di Malaysia.

Beliau berkata, DBA adalah pengiktirafan terhadap kegigihan, visi dan ciri kepimpinan dua penerima terbabit yang membantu kecemerlangan pendidikan negara.

“Pelbagai program pembaharuan dan projek inovatif membuktikan kesungguhan mereka mentadbir dan memimpin organisasi,” katanya.

Sementara itu, Dr Saiful yang juga anak Malaysia berkata, seramai 60 rakyat negara ini sudah menerima DBA sejak 11 tahun lalu dengan masing-masing lima penerima setahun.

Katanya, Hamdan sepatutnya menerima DBA tahun lalu tetapi disampaikan tahun ini, menjadikan enam penerima kali ini.

“Mereka usahawan dan pemimpin berpengalaman, berprestasi tinggi dan berjaya dalam hidup sehingga layak menerima DBA,” katanya.

No comments:

Post a Comment