Tuesday 5 April 2011

Pelajar IKM dituduh curi kena belasah 20 senior

KUANTAN: Gara-gara dituduh mencuri telefon bimbit, seorang pelajar Institut Kemahiran MARA (IKM), Pekan dibelasah 20 seniornya, termasuk menggunakan penyapu sehingga cedera di muka, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari, mangsa pelajar semester pertama berusia 19 tahun didatangi kumpulan pelajar terbabit bertanya mengenai sebuah telefon bimbit yang hilang. Mangsa yang memaklumkan tidak tahu mengenai perkara itu kemudian terus dipukul dan dibelasah kumpulan pelajar berkenaan.

Namun, sebaik melihat darah mula keluar daripada hidung mangsa, kumpulan pelajar terbabit yang ketakutan kemudian bertindak melarikan diri.

Beberapa pelajar lain yang melihat kejadian itu kemudian menghantar mangsa ke Hospital Pekan untuk rawatan serta membuat laporan polis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, berkata berikutan itu, kira-kira 10 pelajar ditahan pada malam kelmarin berhubung kejadian berkenaan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kumpulan pelajar terbabit tidak pulang ke asrama penginapan sebaliknya dipercayai balik ke rumah kerana kebetulan cuti hujung minggu.

"Mangsa dituduh mencuri sebuah telefon bimbit milik seorang daripada pelajar yang membelasahnya.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dilakukan bagi mencari punca sebenar kejadian selain mengenal pasti beberapa lagi pelajar yang terbabit dalam kejadian berkenaan bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa kini dibenarkan pulang ke kampungnya di Kelantan, berikutan masih trauma dengan kejadian menimpanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment