Monday 11 April 2011

SPiKE tawar sehingga RM500,000

SKIM Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) yang disediakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) cukup berdaya saing kerana mampu menyediakan pembiayaan sehingga RM500,000 dengan tempoh urusan permohonan serta kelulusan yang mudah dan cepat.

Pengarah Bahagian Pembiayaan Perniagaan MARA, Hassan Mohd Amin, berkata skim yang ditawarkan sejak Februari lalu itu, kini menjadi pilihan utama kebanyakan kontraktor Bumiputera.

Melalui SPiKE, kontraktor kelas F, E dan D serta kontraktor bekalan, perkhidmatan dan elektrik boleh mendapat pembiayaan sehingga RM500,000 itu bagi mendapatkan modal untuk perniagaan.

Skim yang dijenamakan semula daripada Skim Pembiayaan Kemudahan Kontrak sejak 1995 itu membolehkan kontraktor mendapat kelulusan pinjaman dalam tempoh sehari selepas mendapat kontrak kerja, diikuti pemberian pembiayaan dalam masa tiga hari.

“Hasilnya, jumlah pembiayaan SPiKE yang diluluskan pada Februari lalu mencatatkan sebanyak RM6.2 juta atau kenaikan kira-kira 35 peratus berbanding RM4.5 juta pada Januari lalu iaitu sebelum SPiKE.

“Jumlah kelulusan SPiKE pada bulan lalu pula mencatatkan sebanyak RM10 juta atau kenaikan kira-kira 61 peratus berbanding Februari lalu dengan kami menjangkakan jumlah pembiayaan pada bulan ini terus meningkat kepada RM12 juta,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Skim yang diperkenalkan sebelumnya menimbulkan masalah kepada kontraktor kerana berdepan dengan masalah kelewatan bayaran hingga sebulan selepas lulus berikutan perlu membuat laporan dan analisis.

Ia mewujudkan gangguan kepada proses kerja kontraktor menyebabkan mereka beralih daripada MARA ke syarikat kewangan lain untuk mendapatkan pembiayaan.

Kini, SPiKE bukan saja menyediakan kaedah permohonan yang cepat dan mudah kepada kontraktor, tetapi mengenakan kadar keuntungan terendah iaitu sebanyak enam peratus.

Hassan berkata, MARA bukan ingin bersaing tetapi menjadi pelengkap kepada bank komersial dalam membantu kontraktor Bumiputera mendapat pembiayaan kerana berpendapat mereka adalah penggerak pembangunan sebenar di negara ini.

“Hanya menemui pegawai MARA daerah dengan sekeping borang yang mudah untuk diisi selepas mendapat kontrak kerja, kontraktor boleh mendapat kelulusan dalam sehari diikuti pemberian pembiayaan sehingga RM500,000 dalam masa tiga hari.

“Kontraktor akan diberikan pembiayaan sehingga 75 peratus daripada nilai kontrak yang diberikan jabatan kerajaan, agensi dan anak syarikat berkaitan serta syarikat milik kerajaan (GLC),” katanya.

Dengan sambutan yang menggalakkan, Hassan berkata, pihaknya percaya RM132 juta yang diperuntukkan kepada 1,980 kontraktor Bumiputera menerusi SpiKE akan digunakan sepenuhnya tahun ini.

Beliau berkata, MARA menyediakan SPiKE bukan untuk mencari keuntungan tetapi untuk melahirkan usahawan Bumiputera yang berdaya saing, tahan dan cemerlang tanpa berdepan projek gagal akibat masalah pembiayaan.

“Harapan kami kontraktor Bumiputera yang dapat menyiapkan projek mengikut jadual ini bukan saja meningkatkan pendapatan mereka tetapi akhirnya mampu menaik taraf kelas kontraktor daripada F kepada E atau D pada masa akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment