Thursday 21 April 2011

Mohd Sani dianugerah usahawan muda KPTM

KECEWA dengan mutu pengangkutan awam negara yang sering dinaikinya ketika zaman persekolahan mendorong Datuk Wan Mohd Sani Salleh, 35 membuka syarikat bas ekspresnya sendiri.

Beliau melihat terdapat banyak kelemahan dalam sistem itu yang perlu dipertingkatkan kerana ia menjadi medium utama masyarakat untuk bergerak.

Kini, mimpinya itu membuahkan hasil selepas berjaya menubuhkan syarikat Sani United Sdn Bhd yang begitu dikenali ramai dengan perkhidmatan bas ekspres Sani Express.

Berkat kejayaannya membangunkan syarikat pada usia yang muda, Pengarah Urusan Kumpulan ini dianugerahkan Usahawan Muda Berjaya 2011 oleh Kolej Polytech MARA (KPTM) di KPTM Bangi, baru-baru ini.

Anugerah disampaikan Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan turut disaksikan kedua ibu bapa beliau, Datuk Salleh Biji Sura dan Datin Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalullail.

Hadir sama Pengarah KPTM Bangi, Abdul Azmi Abdul Aziz, Timbalan Presiden Akademik KPTM, Ismail Junuh dan Timbalan Presiden Hal Ehwal Pelajar KPTM, Dr Wan Sabri Wan Hussin.

Mohd Sani berkata, beliau berharap kejayaannya itu dapat dijadikan contoh kepada generasi muda bagi menggalakkan pembabitan mereka dalam bidang keusahawanan.

"Saya berhasrat membuka yayasan bagi membantu masyarakat yang memerlukan dalam tempoh lima tahun, selepas berjaya dalam projek perhotelan di seluruh Malaysia," katanya.

Sementara itu, Sohaimi berkata, anugerah julung kali itu diadakan sebagai penghargaan kepada usahawan pada usia muda.

Selain itu, ia juga bagi membangkitkan semangat pelajar KPTM untuk turut bercita-cita berjaya dalam bidang keusahawanan dan menjadikan penerima anugerah sebagai contoh.

No comments:

Post a Comment