Friday 15 April 2011

UniKL jalin kerjasama logistik

JOHOR BAHRU 12 April - Bagi memperkasa hubungan dengan industri logistik sekali gus melahirkan generasi modal insan berdaya saing dan memenuhi pasaran kerja, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menerusi Institut Industrial Teknologi (MITEC) menjalinkan kerjasama pintar dengan LCS Consultancy & Management Services dan Infinity Logistics and Transport Sdn. Bhd.

Dekan UniKL Mitec, Prof. Madya Dr. Khairanum Subari berkata, usahasama itu bertujuan memperluas peranan UniKL dalam industri tersebut, sejajar dengan usaha kerajaan membangunkan modal insan.

"LCS Consultancy & Management Services adalah syarikat yang menawarkan khidmat perundingan operasi kepada sektor swasta, syarikat antarabangsa dan agensi kerajaan manakala Infinity Logistics and Transport Sdn. Bhd. merupakan syarikat yang mengendalikan urusan pengangkutan logistik.

"Kerjasama berkenaan berteraskan ilmu dan kepakaran yang boleh digunakan dalam menjana idea dan kreativiti pelajar," katanya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniKL Mitec dengan LCS Consultancy & Management Services dan Infinity Logistics and Transport Sdn. Bhd., di sini baru baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof. Dr. Abdul Hakim Juri mewakili universiti itu manakala LCS Consultancy & Management Services diwakili Pengarah Urusannya, Mohd. Jainal Ismail dan Infinity Logistics and Transport Sdn. Bhd. diwakili Pengarah Urusan, Chan Kong Yew.

Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Ibrahim Ahmad dan Pengerusi UniKL, Dr. Adham Baba.

No comments:

Post a Comment