PEDU - Masyarakat Siam di sini menyambut baik langkah drastik kerajaan dalam memperkasakan ekonomi golongan berkenaan dengan penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB).

Strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera itu turut membabitkan penubuhan Dana Pendidikan  Majlis Amanah Rakyat (MARA), bernilai RM1 bilion dalam bentuk dana sepadan bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi untuk golongan bumiputera.

Penduduk, Wan Lek Tan Lim, 45, berkata, pengumuman itu merupakan hadiah kepada masyarakat Siam yang telah membantu BN berjaya dalam PRU13 yang lalu.

Menurutnya, penubuhan MEB berkenaan diharap dapat meningkatkan lagi pendapatan golongan bumiputera sekali gus merapatkan jurang pendapatan di antara semua kaum di Malaysia.

“Saya harap lebih banyak peluang pendidikan dibuka kepada masyarakat Siam supaya dapat melahirkan lebih ramai bijak pandai dari masyarakat Siam terutamanya yang tinggal di luar bandar.

"Selain itu, pengambilan lebih ramai masyarakat Siam dalam bidang kemahiran membolehkan kami tidak ketinggalan dalam pembangunan industri ini,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tanjung Thai.

Dalam nada sama, Pang Ooi Ah Seng, 45, berharap lebih ramai lagi masyarakat Siam akan diambil dalam kursus keusahawanan terutamanya yang dianjurkan oleh Mara supaya dapat mempelajari selok-belok perniagaan.

"Ramai dalam kalangan masyarakat Siam ingin menyertai program keusahawanan terutamanya yang baru berjinak dalam dunia perniagaan tetapi masih gagal untuk mendapat tempat dalam program yang dianjurkan itu.

"Mungkin kuota yang ditetapkan terhad kepada masyarakat Siam dan diharap dengan MEB ini dapat membuka lebih ramai lagi usahawan dari kalangan masyarakat Siam supaya dapat berdaya saing dengan kaum lain,” katanya.

Pang berkata, langkah kerajaan memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan bumiputera  membabitkan tambahan dana kepada Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dapat membantu mengembangkan perniagaan golongan itu.

Menurutnya, kerajaan sentiasa membantu kaum bumiputera supaya dapat ke hadapan dalam pelbagai bidang tetapi yang perlu dibimbangi ialah pelaksanaannya tidak sampai kepada golongan sasaran.

"Oleh itu, jabatan yang bertanggungjawab perlulah melaksanakan dengan bijak supaya hasrat kerajaan untuk membantu kaum bumiputera akan tercapai," katanya.