Monday 23 September 2013

HALFEST 2013: MARA MEMBANGUNKAN USAHAWAN HALAL BUMIPUTERA

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar bin Haji Musa, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat membuat kenyataan media berkenaan penglibatan MARA sempena Ekspo Kepenggunaan Halal (HALFEST) 2013 yang akan berlangsung pada 2 hingga 6 Oktober 2013 bertempat di Pusat Pameran MINES di Seri Kembangan, Selangor.
Atas kejayaan penganjuran pada tahun 2011 dan 2012, MARA sekali lagi terlibat sebagai penganjur bersama bagi menjayakan HALFEST 2013 sebagai salah satu usaha MARA untuk memperkasakan usahawan halal Bumiputera terutamanya dalam bidang pembuatan dan pengeluaran produk makanan.
Sektor Keusahawanan MARA telah melaksanakan pelbagai program dan strategi bagi meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam industri Halal dalam dan luar negara.
Justeru, penglibatan MARA sebagai penganjur bersama HALFEST 2013 adalah sejajar dengan hasrat Kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab halal global bagi pengeluaran, perdagangan produk dan pelbagai perkhidmatan berkenaan industri ini.
KOLABORASI STRATEGIK MARA - SHAPERS
Kolaborasi strategik MARA dengan Shapers Malaysia Sdn. Bhd., selaku pengurus HALFEST 2013 dalam menganjurkan ekspo sebegini antara usaha yang dilakukan untuk membawa usahawan Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi. 
Berdasarkan penganjuran pada tahun lepas, seramai 16 usahawan MARA dipilih selepas menyertai HALFEST 2012 berjaya mendapat potensi pasaran Halal antarabangsa dengan anggaran berjumlah RM5.1 juta melalui MIHAS 2013 yangmerupakan platform pasaran Halal global.
MARA menyasarkan transaksi jualan runcit sebanyak RM600,000 serta potensi jualan kontrak bernilai RM3.2 juta bakal dijana oleh 58 usahawan semasa HALFEST 2013 berlangsung.
MARA turut menjangkakan peningkatan jualan bulanan runcit usahawan sebanyak 25% setelah ekspo ini berakhir berdasarkan kepada aktiviti-aktiviti promosi dan pemasaran produk usahawan, meluaskan pasaran produk, melebarkan jaringan perniagaan, meningkatkan penjenamaan produk dan syarikat usahawan dan memperoleh maklumat terkini mengenai industri Halal.
PENGISIAN HALFEST 2013
MARA memberi tumpuan kepada bidang-bidang halal seperti makanan dan minuman, teknousahawan, busana Muslimah, produk kecantikan, kesihatan & wangian, Usahawan KIMAR (Kompleks Industri Makanan MARA) dan KIM (Kawasan Industri MARA). 
HALFEST 2013 akan berlangsung pada 2 hingga 6 Oktober 2013 di Pusat Pameran MINES di Sri Kembangan Selangor. Pameran akan dibuka dari pukul 10.00 pagi sehingga 9.00 malam. Untuk maklumat lanjut sila layari www.halal.com.my.
MARA telah mengenal pasti usahawan di bawah bimbingannya dari seluruh negeri yang mempunyai potensi untuk diketengahkan di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Setakat ini sekitar 58 usahawan MARA akan menyertai HALFEST 2013 dan penyertaan usahawan pada tahun 2013 adalah lebih khusus dan menjurus kepada segmen teras industri halal.
Sepanjang HALFEST ini berlangsung juga, beberapa program turut diadakan di bawah kelolaan MARA. Antaranya Klinik Keusahawanan & Pendidikan, promosi dan pelancaran produk dan MARA turut menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk pembeli bertuah.
Platform ini dijangka akan menarik minat lebih daripada 70,000 orang pengunjung yang terdiri daripada pengguna Malaysia dan juga usahawan-usahawan Bumiputera dari sektor halal negara.
MARA akan bersama-sama CIMB Islamic dan Halal Industry Development Corporation sebagai tunjang utama ekspo tersebut dan turut mendapat sokongan kuat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).
PENDEKATAN MARA
Pendekatan MARA dalam membangunkan usahawan industri ini adalah secara bersepadu bermula daripada bimbingan dan nasihat, kemudahan pembiayaan perniagaan, kemudahan premis sehingga kepada sokongan pembangunan syarikat serta pemasaran. 
Fokus MARA dalam pembangunan produk halal adalah dalam bidang makanan dan minuman, farmaseutikal, teknousahawan, busana muslimah, produk kecantikan, kesihatan & wangian, kosmetik serta perkhidmatan.
Dalam industri makanan, MARA telah mewujudkan beberapa kawasan industri yang menepati piawaian ‘Hazard Analysis Critical Control Point’ (HACCP), ‘Good Manufacturing Practice’ (GMP) dan Persijilan Halal khusus dalam membangunkan usahawan pengilang makanan Halal untuk mencapai standard antarabangsa dalam pemprosesan dan pengilangan makanan. Antara kawasan industri yang telah diwujudkan oleh MARA adalah Kompleks Industi Makanan MARA (KIMAR) di Gombak, Selangor serta Inkubator Teknologi Makanan MARA (INTEM), Kepong, Kuala Lumpur sebagai pusat latihan dan pembangunan usahawan baru dalam bidang makanan. 
Selain itu, MARA sedang membangunkan Taman Pengeluaran Produk Usahawan (TPPU) di Pedas, Negeri Sembilan yang akan turut melibatkan pihak swasta dalam memandu usahawankecil dan sederhana dalam pengilangan produk makanan. 
SUMBER : Shapers Malaysia Sdn Bhd
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Rohayah binti Mohd Zain
Pengarah Komunikasi Korporat
Tingkat 24, Ibu Pejabat MARA
21, Jalan Raja Laut
50609 Kuala Lumpur
Tel : 03-2613 4600
Faks : 03-2692 7386
HP : 019-388 3121
E-mel : rohayah@mara.gov.my

Nama : Shahrulazli bin Jaafar @ Ismail
Penolong Pengarah Komunikasi Korporat
Tingkat 24, Ibu Pejabat MARA
21, Jalan Raja Laut
50609 Kuala Lumpur
Tel : 03-2613 4846
Faks : 03-2692 7386
HP : 012-2726271
E-mel : shahrulazli@mara.gov.my
--BERNAMA

No comments:

Post a Comment