Friday 22 October 2010

Pelajar Malaysia ditemui mati di rumahnya di Bandung

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Keluarga pelajar perubatan Malaysia yang meninggal dunia di Bandung, Indonesia hari ini terkejut dengan berita tersebut kerana Inani Zalikha Zainal Abidin, 23, tidak pernah mempunyai penyakit serius.

Menurut abang sulungnya, Azzudin, 24, kejadian yang menimpa Inani itu dimaklumkan oleh rakan serumah adiknya itu kira-kira pukul 7 pagi ini.

“Keluarga amat terkejut menerima berita tersebut memandangkan Inani tidak mempunyai sejarah kesihatan yang serius sejak dulu,” katanya.

Inani Zalikha, pelajar tahun empat Universiti Padjadjaran (Unpad) Bandung meninggal dunia di rumah sewanya di Bandung, awal pagi tadi selepas mengadu sesak nafas.

Pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu baru seminggu menjalani latihan amali di sebuah hospital di Bandung, selepas hampir dua bulan cuti semester di tanah air.

Azzudin berkata, ibunya yang ditemani seorang ibu saudara telah berlepas ke Bandung pukul 1.30 petang tadi bagi menguruskan proses pengesahan kematian dan penghantaran jenazah ke tanah air.

“Bapa saya yang bertugas dalam bidang telekomunikasi di Papua New Guinea pula dijangka tiba di tanah air kira-kira pukul 11 malam ini.

“Keluarga kami reda dengan pemergian Inani yang merupakan anak kedua daripada lima adik-beradik. Kami memutuskan tidak akan menjalankan bedah siasat ke atas mayat,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Bukit Antarabangsa, di sini hari ini.

Azzudin memberitahu, kali terakhir dia berbual dengan Inani adalah melalui laman sosial Facebook kira-kira pukul 11 malam tadi.

“Inani ada mengadu sakit belakang dan sakit perut tetapi mendakwa keadaan itu normal. Inani juga mengadu tertekan dengan bebanan tugasan amali yang banyak perlu disiapkan.

“Sebenarnya Inani baru sahaja menghabiskan cuti semester selama dua bulan bersama keluarga dan berlepas ke Bandung pada 17 September lalu.

“Sepatutnya latihan amali itu perlu dijalaninya sehingga dua tahun sebelum tamat pengajian,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut Azzudin, Inani adalah seorang yang pendiam, berdikari dan tidak suka berkongsi masalah atau cerita peribadi dengan keluarga.

Katanya, jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir, Hulu Klang esok, sekiranya semua proses penghantaran jenazah ke tanah air berjalan lancar malam ini.

Monday 18 October 2010

Kerajaan tumpu pendidikan lahirkan generasi cemerlang - Hasan Malek

PUTRAJAYA 17 Okt. - Kerajaan akan terus menjadikan bidang pendidikan sebagai agenda utama dalam melahirkan lebih ramai generasi muda berpendidikan tinggi selaras dengan matlamat mencapai status negara maju menjelang 2020.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, negara amat memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam pelbagai industri untuk bersaing dengan negara maju lain.

''Kemajuan dan kemakmuran negara amat penting agar kesejahteraan generasi kita yang akan datang terjamin, justeru bidang pendidikan merupakan perkara penting yang terus diberi perhatian oleh kerajaan.

''Pembangunan modal insan yang holistik memerlukan kerjasama yang erat daripada semua pihak dan kerajaan mahu membangunkan dan menghasilkan modal insan yang berilmu pengetahuan, berinovatif dan berkemahiran tinggi untuk menjadikan negara berdaya saing pada era globalisasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan Legenda untuk penuntut ijazah sarjana muda dan diploma Kolej Legenda, Institut Teknologi Permata, Kolej Universiti Linton, Institut Sains Perubatan Mantin dan Institut Jati, di sini hari ini.

Hadir sama Presiden dan Pengasas Kumpulan Pendidikan Legenda, Datuk Ooi Chong Seong.

Hasan menambah, kerajaan sentiasa menggalakkan usaha serta langkah-langkah yang diambil oleh mana-mana pihak yang dapat membantu membangunkan dan menghasilkan modal insan berilmu pengetahuan dan berkemahiran dalam bidang-bidang kritikal.

''Bagi pelajar luar bandar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah, mereka masih boleh meneruskan pengajian menerusi pinjaman agensi kementerian saya iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), kerana kerajaan mahu mereka keluar dari kepompong kemiskinan dan mengubah kehidupan," katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Terbaik, Rafidah Hamzah, 22, yang memperoleh Diploma Pembinaan (Jurukur Bahan) berkata, beliau mengamalkan sikap menyemak semula pelajaran pada waktu malam untuk menajamkan lagi ingatannya.

''Apabila tiba waktu peperiksaan saya tidak akan menghadapi banyak masalah dan jika tidak faham saya terus berjumpa dengan pensyarah untuk berbincang," katanya yang kini bekerja dengan sebuah syarikat perunding di Ipoh, Perak.

Rafidah yang berhasrat melanjutkan pengajian di peringkat ijazah memberitahu, beliau tidak suka belajar pada saat-saat akhir kerana ia boleh menjejaskan keputusan peperiksaannya.

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajar Terbaik, M.Rajeswary, 21, dari Institut Jati, berkata, untuk memastikan dirinya sentiasa menjadikan pelajaran sebagai keutamaan beliau kurang berkawan semasa di kolej.

''Jika banyak kawan saya bimbang tidak dapat tumpukan pada pelajaran jadi saya lebih senang bersendiri dan menjadikan pensyarah sebagai tempat rujukan," kata lulusan Diploma Perakaunan ini.

Rajeswary juga gemar bangun seawal pukul 3 pagi untuk mengulang kaji pelajaran kerana pada waktu itu suasana lebih tenang dan mudah untuknya mentelaah buku.

Friday 8 October 2010

Sebuah lagi IKM dibina di Sipitang dalam RMK-10

Sebuah lagi Institut Kemahiran Mara (IKM) dirancang dibina di negeri ini dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Ahli Majlis MARA, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, perkara itu telah dibincangkan di peringkat MARA dan akan dimulakan pembinaan tahun depan.

"Sekarang kita ada satu sahaja pusat latihan IKM di negeri ini dan kita ada rancangan untuk menambah.

"Saya cadangkan untuk dibuka di Sipitang dan kita sedang mengenalpasti tapak yang sesuai," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Konvokesyen kali keenam IKM Kota Kinabalu.

Turut hadir, Pengarah IKM Kota Kinabalu, Kamaruzdzaman Md. Ali dan Pengarah MRSM Kota Kinabalu, Ibrahim Othman.

Seramai 172 pelajar sesi Julai-Disember 2009 dan Januari-Jun 2010 menerima sijil masing-masing pada majlis berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan perancangan, pusat berkenaan akan menawarkan dua kursus pada peringkat awal iaitu sijil elektrik dan teknologi maklumat.

"Kita akan beri keutamaan kepada kursus yang mendapat permintaan tinggi seperti elektrik. Saya minta IKM buat kaji selidik mana-mana kursus dapat pasaran untuk diberi keutamaan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, persepsi masyarakat yang menganggap IKM sebagai institusi kelas ketiga yang mengambil pelajar gagal telah berlalu.

Katanya, kini ramai pelajar mengikuti latihan kemahiran di institusi berkenaan mempunyai pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

"Dulu persepsi ini kerja kotor tidak ada hawa dingin, tetapi hari ini pandangan masyarakat sudah berubah apabila ibu bapa lebih cenderung memilih bukan lagi kerja pejabat," katanya.

Tambahnya, pelajar yang mengikuti pengajian di IKM juga berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi termasuk ke universiti dalam dan luar negara.

Tuesday 5 October 2010

Kolej Poly-Tech MARA mahu bekalkan lebih ramai tenaga pakar

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) akan berbincang dengan pelbagai pihak untuk merangka program yang mampu meningkatkan pengeluaran tenaga pakar di samping menjamin peluang pekerjaan kepada penuntutnya.

Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, selain membekalkan lebih ramai tenaga pakar kepada negara, langkah itu juga diyakini mampu menarik minat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memasuki kolej itu.

Katanya, melalui cara itu juga KPTM dapat memberi peluang kepada remaja untuk mendapatkan pendidikan berkualiti selain mencetuskan semangat untuk bersaing dalam mendapatkan pendidikan terbaik di kalangan mereka.

"Kita akan menjalankan kerjasama dengan penuntut-penuntut di luar negara serta golongan usahawan yang mana mereka akan merangka program dan memberikan motivasi kepada penuntut KPTM untuk mencapai kecemerlangan," katanya.

Beliau ditemui semasa menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri KPTM di sini hari ini.

Turut hadir Rektor KPTM, Datuk Yusoff Harun; Ahli-ahli Lembaga Pengarah, Datuk Dr. Badruddin Nordin dan Datuk Dr. Sharifuddin Zainuddin serta Exco Puteri UMNO, Zauyah Zainuddin.

Pada majlis itu, Sohaimi turut menyampaikan sumbangan kepada 40 orang penuntut KPTM yang terpilih.

Sohaimi menjelaskan, dengan adanya kerjasama itu, ia diharap dapat mencetuskan minat dan menggalakkan penuntut KPTM menceburi bidang keusahawanan.

"Kita mahu penuntut merebut peluang untuk menceburi bidang perniagaan sebaik sahaja menamatkan pengajian masing-masing dan tidak hanya mencari pekerjaan yang berkaitan dengan kursus diambil," jelasnya.