KUALA LUMPUR 21 Okt. – Keluarga pelajar perubatan Malaysia yang meninggal dunia di Bandung, Indonesia hari ini terkejut dengan berita tersebut kerana Inani Zalikha Zainal Abidin, 23, tidak pernah mempunyai penyakit serius.
Menurut abang sulungnya, Azzudin, 24, kejadian yang menimpa Inani itu dimaklumkan oleh rakan serumah adiknya itu kira-kira pukul 7 pagi ini.
“Keluarga amat terkejut menerima berita tersebut memandangkan Inani tidak mempunyai sejarah kesihatan yang serius sejak dulu,” katanya.
Inani Zalikha, pelajar tahun empat Universiti Padjadjaran (Unpad) Bandung meninggal dunia di rumah sewanya di Bandung, awal pagi tadi selepas mengadu sesak nafas.
Pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu baru seminggu menjalani latihan amali di sebuah hospital di Bandung, selepas hampir dua bulan cuti semester di tanah air.
Azzudin berkata, ibunya yang ditemani seorang ibu saudara telah berlepas ke Bandung pukul 1.30 petang tadi bagi menguruskan proses pengesahan kematian dan penghantaran jenazah ke tanah air.
“Bapa saya yang bertugas dalam bidang telekomunikasi di Papua New Guinea pula dijangka tiba di tanah air kira-kira pukul 11 malam ini.
“Keluarga kami reda dengan pemergian Inani yang merupakan anak kedua daripada lima adik-beradik. Kami memutuskan tidak akan menjalankan bedah siasat ke atas mayat,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Bukit Antarabangsa, di sini hari ini.
Azzudin memberitahu, kali terakhir dia berbual dengan Inani adalah melalui laman sosial Facebook kira-kira pukul 11 malam tadi.
“Inani ada mengadu sakit belakang dan sakit perut tetapi mendakwa keadaan itu normal. Inani juga mengadu tertekan dengan bebanan tugasan amali yang banyak perlu disiapkan.
“Sebenarnya Inani baru sahaja menghabiskan cuti semester selama dua bulan bersama keluarga dan berlepas ke Bandung pada 17 September lalu.
“Sepatutnya latihan amali itu perlu dijalaninya sehingga dua tahun sebelum tamat pengajian,” jelasnya.
Dalam pada itu, menurut Azzudin, Inani adalah seorang yang pendiam, berdikari dan tidak suka berkongsi masalah atau cerita peribadi dengan keluarga.
Katanya, jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir, Hulu Klang esok, sekiranya semua proses penghantaran jenazah ke tanah air berjalan lancar malam ini.
No comments:
Post a Comment