BESUT 6 Nov. – Penerimaan majikan terhadap graduan lepasan sijil dan diploma Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan Institut Kemahiran MARA (IKM) di seluruh negara mencapai tahap 60 peratus memuaskan.
Pengarah Kanan Komersial Majlis Amanah Rakyat (MARA), Mohd. Rosdi Ismail berkata, persepsi majikan atas kebolehan graduan kedua-dua institusi itu mencakupi aspek kemahiran, displin, kerjasama, daya belajar, komunikasi dan kepimpinan.
Menurutnya, atas keyakinan itulah sehingga ini sebanyak 72 peratus daripada lepasan KKTM dan IKM diterima bekerja sebaik sahaja menamatkan pelajaran dengan 60 peratus daripada mereka bekerja dengan swasta, kerajaan (12 peratus) manakala selebihnya melanjutkan pelajaran dan bekerja sendiri.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan kajian yang dilakukan mendapati lepasan KKTM dan IKM yang menceburi bidang keusahawanan pula masih di tahap rendah dengan mencatatkan hanya 2.6 peratus sahaja.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kepada 254 graduan dalam enam bidang pengajian pada Majlis Konvokesyen ke-13 Institut Kemahiran MARA Besut di sini.
Sehubungan itu, katanya, Mara merancang memberi penekanan yang khusus dalam melahirkan para usahawan yang berlatarbelakangkan kemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional di kalangan graduan lepasan KKTM dan IKM.
“Tumpuan akan terarah kepada melahirkan usahawan tekno seperti yang disarankan kerajaan melalui kursus-kursus yang akan diperhebatkan di KKTM dan IKM mulai tahun depan,” katanya.
Katanya, untuk itu, kerjasama yang lebih kukuh akan dibuat dengan Kementerian Pelajaran dalam melahirkan usahawan tekno sesuai dengan langkah kementerian memberi penekanan terhadap bidang teknik dan vokasional kepada pelajar sekolah mulai tahun depan.
Dalam perkembangan lain, Rosdi berkata, MARA mengalu-alukan penglibatan belia yang masih menganggur untuk belajar sama ada di PusatGiat MARA atau IKM bagi membantu mereka mempelajari bidang kemahiran dan seterusnya membolehkan mereka mendapat pekerjaan.
Beliau berkata, MARA menyedia pelbagai latihan dalam bidang teknikal dan vokasional terutama di PusatGiat MARA dan IKM yang sentiasa dibuka untuk anak-anak bumiputera. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment