Wednesday 10 November 2010

Amanah Raya beri pinjaman pelajar di Mesir

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Pelajar Malaysia di Mesir yang mempunyai masalah membiayai pengajian mereka akan ditawarkan pinjaman oleh Amanah Raya Bhd. (Amanah Raya).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan prihatin dan memandang serius masalah yang dihadapi pelajar terbabit.

"Setelah berbincang dengan beberapa agensi terlibat, keputusan untuk memberi pinjaman kepada pelajar berkenaan telah pun dipersetujui.

"Bagaimanapun, pinjaman itu akan diberikan kepada yang layak, mendapat keputusan peperiksaan sekurang-kurangnya jayyid (kelas kedua) ketika pengajian semester, memperoleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekurang-kurangnya 6A, mendapat kelulusan Sijil Sokongan Luar Negara (NOC) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Amanah Raya, Datuk Dasuki Ahmad.

Ia berikutan, Majlis Perundingan Melayu (MPM) menggesa kerajaan meneliti semula status biasiswa seramai 500 pelajar Melayu di 12 buah universiti di Mesir yang mengikuti pengajian dalam beberapa bidang kritikal terutama perubatan dan farmasi.

Kesemua pelajar terbabit menggunakan pembiayaan sendiri bagi tahun pertama yang kosnya mencecah RM90,000 dan jika gagal mendapatkan biasiswa dan tajaan, mereka terpaksa berhenti belajar dan pulang ke tanah air.

Menurutnya, sehingga kini seramai 1,656 pelajar yang menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Amanah Raya.

"Sejumlah dana telah diperuntukkan untuk tujuan berkenaan dan prosedur permohonan pinjaman akan diberitahu kelak oleh Amanah Raya," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berterima kasih dengan tindakan pantas kerajaan menangani isu tersebut.

"Pihak kami akan bersama-sama membantu pelajar yang layak mendapatkan pinjaman dengan segera.

"Selain itu, kami juga telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar memberi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar di sana," katanya.

No comments:

Post a Comment