Thursday 21 April 2011

UMK, MARA lahir graduan 'sains keusahawanan'

KOTA BHARU 19 April - Program Persediaan Keusahawanan Sains (PPKS) yang merupakan kerjasama antara Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal menjadi program pengajian prauniversiti terbaru yang akan melahirkan graduan sains dengan latar belakang kukuh dalam bidang keusahawanan.

Ketua Pengarah MARA, Ibrahim Ahmad berkata, seramai 200 pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menjadi kumpulan pertama mengikuti program itu selama setahun di Kolej MARA Kulim, Kedah bermula 22 Mei ini sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di UMK.

Katanya, pelaksanaan program itu penting selaras dengan pelan transformasi MARA yang memberi fokus kepada bidang keusahawanan kalangan bumiputera dan peluang pendidikan bertaraf global.

"Kami percaya seorang usahawan boleh dilatih dan program ini adalah sebahagian proses untuk membentuk mereka sejak dari peringkat awal lagi," katanya selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian dan pelancaran PPKS di kampus universiti itu di sini semalam.

Hadir sama Naib Canselor UMK, Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Zainai Mohamed; Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Tinggi MARA, Abd. Rahim Hashim dan Pengerusi PPKS merangkap Dekan Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli UMK, Profesor Dr. Ibrahim Che Omar.

No comments:

Post a Comment