Tuesday 12 July 2011

Pelajar tajaan MARA kena tindakan jika sertai perhimpunan haram

KUALA LUMPUR: Tindakan akan diambil terhadap penuntut tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) jika mereka didapati menyertai perhimpunan haram semalam, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, setakat ini, MARA belum menerima laporan mengenai pembabitan penuntut tajaannya dalam perhimpunan itu dan akan meminta Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad, menyiasat serta menyerahkan laporannya dengan segera.

Ditanya sama ada tindakan terhadap penuntut berkenaan akan membabitkan penarikan balik pinjaman, Shafie berkata beliau akan meneliti alasan mereka menyertai perhimpunan itu.

"Bentuk tindakan akan kita lihat apa sebab mereka terbabit dengan perhimpunan ini. Kita hantar mereka ke luar negara untuk menuntut, bukan mengambil bahagian dalam kegiatan yang boleh memudaratkan, yang boleh mencemar imej negara serta pemerintah.

"Kalau mereka yakin negara ini tidak adil, kenapa buat pinjaman dengan MARA, kalau tidak dapat pinjaman, mereka marah, kita kena pastikan perkara ini tidak berlaku," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran buku "Flowers Of My Heart" dan "The Other Side Of The World" karya isterinya, Datin Suryani Shuaib di sini hari ini.

Buku itu dilancarkan Raja Perempuan Perlis Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Mengulas mengenai perhimpunan semalam, Shafie memuji tindakan polis yang berjaya mengawal keadaan.

"Saya ucapkan syabas kepada pihak polis yang bertungkus-lumus menjalankan tugas dengan jayanya, kita tahu mereka (polis) telah bersiap-sedia sejak awal lagi, dan kita juga bersyukur tidak ramai yang menyertai (perhimpunan) seperti yang dijangkakan sebelum ini," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata buku yang dihasilkan isterinya akan dijual pada harga RM100 senaskhah bagi mengumpul dana untuk Yayasan Semporna.

"Dana tersebut akan disalurkan sepenuhnya dalam bidang pendidikan bagi membantu anak-anak di luar bandar di Daerah Semporna untuk meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang, sama ada di dalam mahupun luar negara," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment