Thursday 7 July 2011

Alumni MRSM Kuantan kumpul 14,000 bekas pelajar

KUANTAN 5 Julai - Program 'Sirih Pulang Ke Gagang' (SPKG) yang ditubuhkan Alumni Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan berjaya mengumpul lebih 14,000 bekas pelajarnya yang pernah menuntut di maktab itu sejak 1978 hingga tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, Alumni MRSM Kuantan berjaya menganjurkan 13 perjumpaan yang dimulakan pada tahun 1998 bagi mengeratkan hubungan semua bekas pelajarnya.

SPKG yang diadakan di MRSM Kuantan baru-baru ini berjaya mengumpulkan seramai 500 bekas pelajarnya.

Pelbagai aktiviti seperti forum, perbincangan mengenai kerjaya, latihan dalam kumpulan, liga sukan dan sesi motivasi diadakan dalam program tiga hari yang berakhir lusa.

Menurut salah seorang bekas pelajar maktab itu, Ismail Fahmi Laily, 36, penganjuran SPKG amat efisien dan sistematik selain menemukan kembali bekas-bekas pelajar.

"Perjumpaan ini bukan sekadar pertemuan biasa tetapi diselitkan dengan aktiviti dan beberapa program yang melibatkan pelajar-pelajar dan guru," ujarnya.

''Secara tidak langsung kita berkongsi segala pengalaman dengan pelajar sebagai panduan kepada mereka pada masa akan datang," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada program itu di MRSM Kuantan di sini, baru-baru ini.

Bagi Jamal A-Lil Shuhaimi, 47, yang kini merupakan Pengurus Besar di Amcop Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), program SPKG itu berjaya mengumpulkan 36 kumpulan atau sesi pengajian berbanding alumni lain di negara ini.

"Kami juga bukan hanya mengumpulkan bekas pelajar tetapi turut menemukan kembali bekas guru setiap kali menganjurkan SPKG," jelasnya yang berasal dari Kulim, Kedah.

No comments:

Post a Comment