Tuesday 12 July 2011

Rayu MARA ambil alih premis

KUALA LUMPUR 7 Julai - Peniaga di Kompleks Gurney di sini sekali lagi merayu Majlis Amanah Rakyat (MARA) selaku pemilik kompleks itu mengambil alih pengurusan premis tersebut daripada Koperasi Niaga Glokal Berhad (KNGB) supaya penyewa boleh meneruskan perniagaan di situ.

Peniaga mendakwa, KNGB kini seolah-olah cuba menekan mereka dengan menaikkan kadar sewa dan juga mengeluarkan notis supaya peniaga mengosongkan premis masing-masing.

Peniaga yang mendapat surat tawaran bertarikh 25 April 2011 dimaklumkan bahawa kadar sewa telah dinaikkan daripada RM1,800 kepada RM2,500 sebulan bermula 1 November akan datang.

Selain itu, dua notis pengosongan premis juga telah dikeluarkan iaitu pada 18 Mei lalu dan yang terbaru pada 22 Jun, yang mengkehendaki peniaga keluar dari situ dalam tempoh 14 hari jika tidak bersetuju dengan kadar sewa itu.

Situasi itu telah memberikan tekanan kepada peniaga kerana ia menyebabkan status mereka sama ada boleh meneruskan perniagaan atau sebaliknya, menjadi tanda tanya.

Pengerusi Jawatankuasa Peniaga dan Penyewa Kompleks Gurney, Muhammad Muszaki Mohd. Ozir berkata, pihaknya memohon perkara itu diteliti oleh MARA demi kebaikan semua peniaga.

"Sebelum ini kami ada berbincang dengan MARA berhubung masalah yang dihadapi ini tetapi pihak MARA hanya memberi jaminan bahawa kami boleh meneruskan perniagaan tanpa jaminan bertulis sehingga mereka selesai berbincang dengan KNGB," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sebelum itu, beliau bersama peniaga di Kompleks Gurney mengadakan bantahan secara aman bagi mendesak pihak pengurusan kompleks itu berbincang mengenai masalah yang dihadapi oleh peniaga.

Ini kerana peniaga mendakwa, pihak KNGB enggan berunding, malah pejabat urusan koperasi itu di dalam kompleks berkenaan juga sudah ditutup sejak Mei lalu.

Jelas Muhammad Muszaki, setelah mendapat notis daripada pihak pengurusan kompleks, peniaga kini tertanya-tanya apakah status mereka walaupun ada jaminan lisan daripada MARA bahawa mereka boleh terus berniaga di situ.

Beliau berkata, peniaga berharap isu itu akan segera diselesaikan oleh MARA kerana mereka tidak sanggup untuk terus menanggung kerugian dan hutang yang semakin bertambah.

No comments:

Post a Comment