Tuesday 5 July 2011

500 sambut Ibrahim dalam program Sirih Pulang ke Gagang

SEGAMAT 3 Julai - Kehadiran Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Ibrahim Ahmad bagi menjayakan program Sirih Pulang ke Gagang di Sekolah Kebangsaan Gemereh, di sini, hari ini disambut meriah oleh lebih 500 murid, guru dan penduduk.

Ibrahim, 54, yang merupakan bekas murid sekolah itu dari 1964 hingga 1969 berjaya membuktikan yang latar belakang keluarga yang susah tidak menjadi penghalang untuk mencapai kejayaan.

Kehadiran beliau dalam program itu secara tidak langsung menjadi pencetus inspirasi kepada murid-murid sekolah berkenaan untuk berusaha gigih mencapai kejayaan dalam bidang akademik serta bidang yang ingin diceburi.

Ibrahim dalam ucapannya berkata, beliau amat terharu dengan sambutan yang diterima dan menghargai pelbagai pengalaman serta kenangan sepanjang mendapat pendidikan di sekolah tersebut termasuk menjadi ketua pengawas dan bergiat aktif dalam aktiviti kebudayaan.

"Keluarga saya memang sungguh miskin. Saya masih ingat semasa hendak pergi sekolah pada waktu hujan pun tiada payung, ibu saya pergi ke belakang rumah dan mengambil daun pisang untuk dijadikan payung.

"Bagaimanapun, proses ini bagus, ia mendidik saya untuk tidak melupakan asal-usul dan kampung saya," katanya yang merupakan anak yatim selepas bapanya, Ahmad Aji meninggal dunia semasa dia berusia lapan bulan.

Hadir sama Pegawai Pelajaran Daerah Segamat, Yasiran Maskom serta Guru Besar Sekolah Kebangsaan Gemereh, Rubiah Tijan.

Jelas Ibrahim, sebagai bekas murid, beliau akan memberi komitmen untuk membantu memajukan lagi sekolah itu dan menasihatkan murid untuk tidak hanya mengejar kejayaan akademik, namun perlu memberi keutamaan pada agama demi akhlak dan peribadi mulia.

Beliau juga menyarankan generasi muda untuk memperlengkapkan diri dengan perubahan dunia pada masa depan dan menceburi bidang-bidang karier yang terbuka luas termasuk keusahawanan, perakaunan, farmasi, psikologi, pelancongan dan bioteknologi.

Pada majlis berkenaan, Ibrahim yang mula menjawat jawatan Ketua Pengarah MARA sejak 24 November tahun lalu turut menyempurnakan perasmian Anjung Ilmu Yayasan Pelajaran MARA (YPM) di SK Gemereh yang menyediakan kemudahan kelas bimbingan, makmal komputer dan mini perpustakaan.

Turut berlangsung penyampaian bantuan kepada murid miskin. Majlis itu juga dimeriahkan dengan persembahan silat, kompang, tarian zapin, deklamasi sajak dan persembahan murid prasekolah.

No comments:

Post a Comment