Tuesday, 12 July 2011

MARA akan selesai isu peniaga dengan KGNB

KUALA LUMPUR 10 Julai - Isu yang timbul di antara peniaga dengan penyewa utama Kompleks Gurney sedang cuba diselesaikan dengan baik oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), selaku pemilik premis berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Mohd. Rosdi Ismail berkata, isu yang timbul di antara kedua-dua pihak berkenaan akan ditangani secara bijaksana oleh pihaknya tanpa mengabaikan kepentingan mana-mana pihak.

Mohd. Rosdi berkata, Kompleks Gurney adalah sebuah kompleks komersial MARA dan telah diletakkan di bawah pengendalian penyewa utama supaya ia mempunyai satu pasukan pengurusan yang lebih fokus ke arah kemajuan kompleks.

Tambahnya, MARA telah melantik Koperasi Glokal Nasional Berhad (KGNB) sebagai penyewa utama untuk menguruskan Kompleks Gurney selama tiga tahun mulai 1 Mei 2010.

"Selaku penyewa utama, KGNB bertanggungjawab untuk melakukan penjenamaan semula kompleks tersebut supaya mampu bersaing dengan kompleks lain.

"Tanggungjawab KGNB adalah untuk melaksanakan pelantikan penyewa, mengurus perkhidmatan kawalan, perkhidmatan pembersihan kawasan kompleks, pembayaran bil utiliti, perkhidmatan meletakkan kenderaan, promosi premis dan senggaraan kecil bangunan," jelasnya dalam kenyataan akhbar kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Rosdi berkata, semua penyewa bertanggungjawab kepada KGNB dalam melaksanakan urusan pembayaran sewa, menandatangani surat perjanjian penyewaan dan menyesuaikan diri dengan konsep 'persada sihat'.

"Selain terlibat dengan program promosi yang dilaksanakan oleh KGNB, MARA menyarankan kepada penyewa agar lebih proaktif dan inovatif dalam menyusun strategi pemasaran sendiri.

Tambahnya, penyewa utama dan penyewa kecil diminta bekerjasama dalam memastikan matlamat pembangunan usahawan Bumiputera dapat dicapai sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment