Tuesday 13 March 2012

Kerajaan berbincang dengan Cuepacs sebelum rangka SBPA

KUALA LUMPUR 13 Mac — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan Cuepacs dalam merangka Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Perdana Menteri memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa kerajaan telah mengadakan forum perbincangan bersama Cuepacs dan wakil persatuan itu melalui tiga Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) yang bersidang sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

"Mesyuarat tidak berkala lain juga diadakan antara pegawai tertinggi kerajaan dengan ahli Majlis Tertinggi Cuepacs. Kerajaan juga menerima memorandum daripada Cuepacs dengan tuntutan tertentu yang telah dikaji dan diambil kira dalam penggubalan SBPA.

"Sepanjang 2011, sebanyak 13 mesyuarat utama bersama Cuepacs diadakan merangkumi mesyuarat dengan MBK, taklimat pada Ahli Majlis Tertinggi Cuepacs dan siri perjumpaan bersama Cuepacs yang membawa kepada termeterainya memorandum persefahaman mengenai pelaksanaan SBPA antara Jabatan Perkhidmatan Awam dan Cuepacs yang ditandatangani pada 28 Dis 2011,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) yang ingin tahu mengapa kerajaan tidak memanggil Cuepacs untuk berbincang mengenai pelaksanaan SBPA dan pendirian kerajaan terhadap tuntutan-tuntutan Cuepacs.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment