Sunday, 18 March 2012

Perdana Menteri lancar RTC Wakaf Che Yeh 4 Mei

PUTRAJAYA 15 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melancarkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Wakaf Che Yeh, Kelantan, 4 Mei ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, RTC tersebut adalah yang kedua di negara ini selepas yang pertama dilancarkan di Gopeng, Perak pada Februari lalu.

Katanya, pelbagai kemudahan akan disediakan di RTC termasuk latihan dan kursus oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), penganjuran pameran kerjaya oleh Kementerian Sumber Manusia, kemudahan perbankan serta penempatan pejabat Jabatan Pendaftaran Negara dan Imigresen untuk urusan permohonan kad pengenalan dan pasport.

''Inisiatif ini akan memanfaatkan rakyat di Kelantan khususnya petani, penternak dan peniaga dan saya yakin ia akan menambah baik kemudahan perniagaan sedia ada,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek dan Datuk Joseph Entulu Belaun, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ibrahim Muhamad, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad dan Setiausaha Bahagian Kanan Kementerian, Zainiah Ahmad.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, sebelum transformasi dilakukan, keadaan tapak perniagaan di Wakaf Che Yeh tidak tersusun dan tidak selesa.

''Kita melakukan penambahbaikan melalui pelbagai pendekatan seperti menyusun semula ruang perniagaan supaya ia lebih rapi, kita mahu jadikan ia tempat yang selesa," katanya.

No comments:

Post a Comment