Thursday, 29 March 2012

Khidmat masyarakat MRSM, GiatMara


SEBAHAGIAN pelajar MRSM Serting dan pelatih GiatMara mengecat serta membersihkan kawasan rumah keluarga seorang pelajar daif ketika menyertai Program Khidmat Masyarakat di Kampung Padang Lalang, Bahau, Jempol, baru-baru ini.

JEMPOL 27 Mac - Seramai 38 pelatih GiatMara dari daerah ini dan Kuala Pilah termasuk pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Serting, di sini bersatu hati membantu membaiki kediaman salah seorang pelajar daif di Kampung Padang Lalang, Bahau, di sini baru-baru ini.

Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri, Amer Rahmat berkata, program khidmat masyarakat itu bukan sahaja bertujuan membantu pelajar terbabit, malah memupuk sikap bertanggungjawab dan prihatin di kalangan peserta.

"Memikul tanggungjawab sebagai pelajar bukan bermakna mereka seharusnya belajar sahaja, malah golongan ini harus mendekati masyarakat di luar.

"Melalui aktiviti kemasyarakatan, mereka dapat bergaul dengan masyarakat luar dan mampu menjadikan mereka lebih prihatin serta peka terhadap perkara yang berlaku di persekitaran mereka," katanya di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, objektif program bertujuan membantu seorang pelajar MRSM Serting, Mohd. Fathurrahman Mohd. Hanapi, 13, yang datang dari keluarga yang susah.

"Menyedari keadaan keluarganya itu pihak kami hadir memberikan bantuan. Selain membersihkan rumah, kita juga membantu membaiki motosikal beliau, mengecat rumah serta menukar bumbung yang bocor.
"Pelajar ini juga telah dicalonkan sebagai penerima program bantuan khas Mara. Jika berjaya segala kemudahan pembelajarannya akan ditanggung," jelasnya.

Sementara itu, seorang pelatih GiatMara, Muhammad Fakrullah Mohamad Salleh 18, berharap agar golongan belia sentiasa prihatin untuk membantu insan memerlukan.

"Aktiviti yang dijalankan ini dapat mendidik kami untuk berbakti kepada masyarakat. Ia juga mengeratkan hubungan di antara pelatih dan masyarakat luar," ujarnya.

Rakannya, Wafiq Nusukin Bahari, 18, pula berkata, dia gembira kerana dapat menggunakan ilmu yang di pelajari di GiatMara untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

"Pada hari ini saya membaiki motosikal tuan rumah yang rosak. Saya juga dimaklumkan bahawa ia merupakan kenderaan yang digunakan olehnya untuk bekerja. Saya berharap agar program seperti ini dapat diteruskan lagi di masa hadapan," ujarnya.

Turut hadir, pengetua MRSM Serting, Suhaimin Omar dan Pegurus GiatMara Jempol, Mohd. Shahril Ab. Majid.

No comments:

Post a Comment