wfaizal@bharian.com.my
2012/03/05
Keluarga tunggu bentuk hukuman bakal dijatuhkan mahkamah
KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia yang cedera diserang dan disamun sekumpulan lelaki dalam rusuhan di London, Ogos tahun lalu, Asyraf Haziq Rosli, 20, bersyukur kerana semua suspek dalam insiden itu sudah disabitkan kesalahan dan hanya menunggu hukuman.
Pada masa sama, Asyraf Haziq berharap beliau dapat menjalani kehidupan lebih tenang selepas ini, termasuk bebas bergerak ke mana-mana di London tanpa perasaan bimbang atau menjadi perhatian orang ramai.
“Syukur Alhamdulillah sebab yang bersalah sudah disabitkan kesalahannya. Harapan saya agar dapat menjalani kehidupan seperti dulu (sebelum rusuhan) dan bebas bergerak ke mana saja,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Dalam kejadian 8 Ogos tahun lalu, Asyraf Haziq, pelajar tahun pertama pengajian perakaunan tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Kolej Kaplan, London, diserang ketika berbasikal dengan temannya untuk berbuka puasa di rumah rakan mereka.
Selepas diserang, beberapa lelaki yang berpura-pura membantunya, mencuri barangan dalam beg sandangnya sebelum melarikan diri.
Dalam kejadian itu, Asyraf Haziq turut patah gigi dan bengkak pipi. Kejadian itu dirakam orang awam dan klip video rakaman berkenaan disiarkan melalui laman You Tube serta saluran berita Sky TV hingga mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
Jumaat lalu, Mahkamah Diraja Wood Green memutuskan John Kafunda, 22, dari Ilford dan Reece Do novan, 24, dari Ramford, bersalah kerana melakukan rompakan dan berkelakuan ganas. Nasib kedua-duanya akan ditentukan pada 13 Mac ini.
Suspek ketiga, Beau Isagba, 17, turut didapati bersalah menyerang dan mencuri basikal Asyraf Haziq dalam kejadian sama. Nasibnya akan ditentukan 9 Mac ini.
Sementara itu, ibunya, Maznah Abu Mansor, 48, berkata beliau sekeluarga menganggap anak mereka sudah mendapat pembelaan sewajarnya berikutan keputusan mahkamah mensabitkan dua suspek kes berkenaan.
Katanya, walaupun Asyraf Haziq rakyat Malaysia, namun keputusan Mahkamah Diraja Wood Green di London, kelmarin membuktikan sistem kehakiman negara itu memberi pembelaan sewajarnya kepada anaknya yang menjadi mangsa rompakan selain cedera diserang dalam kejadian berkenaan.
“Kami sekeluarga bersyukur kerana dua suspek itu didapati bersalah dan anak saya sudah mendapat pembelaan. Cuma, kami menunggu bentuk hukuman yang akan dikenakan terhadap mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment