Tuesday 3 April 2012

MARA sasar taja 128,800 pelajar

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
pengarang@utusan.com.my
KOTA BHARU 28 Mac - Sebanyak 128,800 pelajar disasar mendapat tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi sepanjang Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Ahli Majlis MARA, Mohamad Saufi Deraman berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 124,130 pelajar akan ditaja untuk menyambung pelajaran di dalam negara manakala 4,760 orang pula di luar negara.

"Jumlah berkenaan mengatasi jumlah tajaan MARA sepanjang RMK-9 iaitu seramai 118,308 pelajar iaitu 110,760 di dalam negara dan 7,548 di luar negara," katanya ketika merasmikan Karnival Pendidikan MARA 2012 peringkat negeri di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari.

Menurutnya, tajaan yang diberikan itu adalah untuk memastikan setiap pelajar yang layak, mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

"Kita telah menggerakkan usaha ini sejak dahulu lagi dengan matlamat untuk melahirkan generasi bumiputera yang mempunyai pengetahuan dan kelayakan sewajarnya," kata beliau.

Turut hadir, Pengarah MARA Kelantan, Mohd. Yunus Razali.

Saufi menambah, MARA turut memberi fokus untuk menaja pelajar berkelayakan bagi meneruskan pengajian ke peringkat ijazah lanjutan seperti sarjana, doktor falsafah dan kelayakan profesional di institusi pengajian tinggi terkemuka di luar negara.

Sementara itu, Mohd. Yunus ketika ditemui berkata, karnival yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini akan membuka ruang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Katanya, adalah diharapkan karnival tersebut akan menjadi landasan terbaik kepada pelajar untuk memilih bidang yang mereka minati.

No comments:

Post a Comment