Sunday 25 November 2012

Pelajar dan Warga IKM Pekan Prihatin Isu Gaza


PEKAN, PAHANG, 23 Nov 2012 - Sempena memperingati peristiwa 10 Muharam 1434H, warga kerja dan pelajar-pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Tan Sri Yahya Ahmad, Pekan, Pahang telah mengadakan majlis ceramah khas "Selamatkan Gaza" di Masjid IKM pada 22 November selepas solat maghrib.
Seramai 400 orang pelajar termasuk kakitangan IKM telah hadir termasuklah Pengarah IKM, Feshol Taib. Majlis dimulakan dengan solat maghrib, solat hajat khas untuk keselamatan umat Islam di Gaza, ceramah khas Gaza dan diakhiri dengan pengagihan bubur asyura kepada pelajar dan ahli jemaah.
Ceramah Palestin telah disampaikan oleh Ketua Biro HALUAN Palestin Pahang, Abd. Bashir Abd. Ghani yang telah menziarahi bumi Gaza pada bulan April lepas. Ceramah selama dua jam diselangi dengan tayangan video terkini serangan rejim Zionis ke atas bumi Gaza telah berjaya menarik minat jemaah yang hadir.
Dalam ceramahnya, Abd. Bashir menerangkan kepentingan Palestin dalam kehidupan ummah dan adalah menjadi tanggungjawab umat Islam mempertahankan bumi anbiya ini dan berusaha membebaskan Masjid al-Aqsa daripada cengkaman rejim Zionis Israel.
Beliau turut berkongsi penderitaan rakyat Gaza yang diserang oleh jet pejuang serta kapal perang rejim Zionis Israel sehingga membunuh dan mencederakan ribuan orang awam termasuklah kanak-kanak serta memusnahkan banyak kediaman dan bangunan awam di Gaza.
Hadirin bukan hanya dipaparkan informasi dan tayangan video mengenai penderitaan rakyat Gaza malah mereka diajak untuk membantu dengan kemampuan yang ada termasuklah melalui iringan doa, derma ikhlas dan tindakan memboikot barangan yang mempunyai kaitan dengan ekonomi Israel. Walaupun gencatan senjata telah diisytiharkan, usaha membantu rakyat Gaza dan Palestin mesti diteruskan sehingga bumi Palestin bebas daripada cengkaman penjajahan.
Kutipan derma untuk Palestin telah pun dibuat sebelum ini dan pada malam itu tabung derma HALUAN Palestin turut diedarkan kepada hadirin yang masih ingin menderma. Alhamdulillah, sebanyak RM2,648 termasuk wang zakat dapat dikumpulkan pada majlis ini. Penyerahan derma untuk Tabung Palestin tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah IKM sendiri.
Abd. Bashir mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengarah dan semua warga kerja IKM Pekan serta pelajarnya atas keprihatinan mereka dalam isu penderitaan umat Islam di Gaza.
HALUAN Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua penderma dan akan menyampaikan sumbangan terus kepada rakyat Gaza yang memerlukan dalam masa terdekat.
Laporan oleh: wakil mediaHALUAN Pahang
Pelajar IKM dan jemaah masjid tekun mendengar ceramah Gaza
Wakil HALUAN Cawangan Pahang menerima sumbangan derma untuk Gaza daripada Pengetua IKM Pekan
Wakil HALUAN Cawangan Pahang bersama Pengarah dan Pegawai Kanan IKM dan Masjid

No comments:

Post a Comment