Kangar: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, yakin industri halal bakal melonjak di rantau pertumbuhan segi tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) berikutan minat penduduk rantau itu terhadap produk halal.
Katanya, pertumbuhan beberapa pusat halal akan menyemarakkan industri halal yang semakin berkembang.
Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Halal Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Kawasan Industri MARA (KIM) Kuala Perlis, Md Isa berharap usahawan Bumiputera mengambil kesempatan terhadap permintaan produk halal dengan berusaha menembusi pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, walaupun kejayaan menembusi pasaran antarabangsa adalah satu pencapaian, keadaan itu akan lebih bermakna jika mereka menguasai pasaran.
Md Isa berkata, Pusat Halal MARA Kuala Perlis juga akan turut menjadi pemangkin industri kawasan Kuala Perlis yang bakal menjadi bandar maritim.
Pelaksanaan pusat halal itu adalah hasil kerjasama Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dengan MARA yang sudah lama terjalin.
No comments:
Post a Comment