Thursday 29 August 2013

KBM dikorporatkan menjadi Mara Liner Sdn. Bhd.

Annuar Musa (bersongkok) menandatangani plak sempena pelancaran Pengkorporatan Pengurusan Kenderaan Bas Mara di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Ibrahim Ahmad (dua dari kiri) dan Naib Presiden Kanan Mara Liner, Ab. Halim Muda (kiri).




KUALA LUMPUR 26 Ogos - Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengkorporatkan pengurusan Kenderaan Bas MARA (KBM) menjadi Mara Liner Sdn. Bhd. (MLSB) berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengkorporatan itu bertujuan meningkatkan produktiviti, kecekapan pengurusan organisasi dan kualiti perkhidmatan bas yang pada mulanya diwujudkan bagi memenuhi permintaan masyarakat luar bandar.

Menurutnya, sejak dari zaman Lembaga Pembangunan Luar Bandar dan Industri (RIDA), peranan dan tanggungjawab KBM adalah untuk melaksanakan dasar kerajaan yang menekankan kepada pembangunan kawasan luar bandar serta pusat pertumbuhan baharu melalui perkhidmatan bas.

“Kita berharap MLSB dapat mewujudkan kaedah bersesuaian dengan merangka strategi perniagaan baharu yang bukan sahaja kompetitif tetapi masih mengekalkan perkhidmatan sosial di luar bandar.

“Selain itu, kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada subsidi kerajaan kerana strategi pengkorporatan ini membolehkan keuntungan dijana dan diuruskan dengan lebih baik di bawah pengurusan baharu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan majlis pengkorporatan MLSB di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

Pada majlis itu, MARA turut menjalinkan kerjasama bersama lima syarikat automotif bumiputera dan memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara MLSB dengan MAN Truck & Bus.

No comments:

Post a Comment