Friday 23 August 2013

MARA tidak akan hantar pelajar ke Mesir

BANGI 22 Ogos - Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan menghantar seramai 1,481 pelajar tajaannya yang kini pulang untuk cuti semester kembali meneruskan pengajian di Mesir berikutan pergolakan di negara itu kian memuncak.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, keselamatan mereka jauh lebih penting daripada meneruskan pengajian di sana dan sebagai langkah penyelesaian, MARA akan mencari tempat yang sesuai untuk pelajar tersebut kembali meneruskan pengajian mereka.

“Saya telah minta Ketua Pengarah MARA untuk pastikan penempatan pelajar-pelajar ini dan semasa saya bangkitkan hal ini dalam mesyuarat Kabinet semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menyerahkan kepada saya untuk mencari tempat yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Sambutan Merdeka Raya dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Luar Bandar di Institut Kemajuan Desa (Infra) di sini hari ini.

Kira-kira 300 tetamu termasuk Pengerusi Felcra, Datuk Bung Moktar Radin, wakil-wakil agensi kementerian, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) turut hadir.       -UTUSAN

No comments:

Post a Comment