Friday 3 August 2012

MARA, TEKUN mampu bantu Melayu dan bumiputera



KUALA LUMPUR 1 Ogos - Dalam kalangan masyarakat Melayu dan bumiputera, Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) sememangnya menjadi 'lubuk' untuk mendapatkan bantuan bagi memulakan atau memperkukuhkan perniagaan.

Namun kebelakangan ini timbul persepsi mengenai kesukaran mendapatkan pinjaman dan bantuan daripada kedua-dua agensi itu sehingga ada yang membuat tuduhan nakal bahawa kerajaan tiada duit.

Bagaimanapun, tuduhan yang dibuat tidak semestinya benar. Buktinya pada 2011, lebih RM440 juta pembiayaan perniagaan diluluskan MARA membabitkan 5,188 peminjam.

Malah menurut Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Mohd. Rosdi Ismail, sehingga 31 Mac lalu, seramai 1,140 peminjam telah menerima manfaat daripada kelulusan berjumlah RM99,634,700 tahun ini.

"Pada masa ini, skim pembiayaan MARA masih dapat meneruskan agenda membantu usahawan Bumiputera untuk meningkatkan perniagaan.

"Tidak sekadar membantu dari segi kewangan, MARA dalam pada itu turut mempunyai program latihan keusahawanan.

Justeru, bagi mereka yang memerlukan modal besar atau latihan secukupnya, anda boleh mendapatkan nasihat melalui Pejabat MARA Daerah (PMD)," katanya.

Beliau mengulas isu modal serta kemahiran yang sering dihadapi usahawan Melayu dan bumiputera dalam industri telekomunikasi.

Bagi individu yang terlibat dalam industri berteknologi termasuk telekomunikasi, MARA turut menyediakan program dikenali sebagai program pembangunan teknousahawan.

"Teknousahawan adalah bidang keusahawanan yang mengaplikasikan dan menggunakan kepakaran teknologi dalam pengeluaran produk, perkhidmatan, pengurusan perniagaan dan membuat keputusan berkaitan perniagaan," katanya.

Tambah beliau, objektif program ini adalah ke arah peningkatan dan pengukuhan teknousahawan sebagai peneraju atau pemain industri yang mampu menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara (GDP) negara oleh PKS bumiputera," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Korporat, Khidmat Pelanggan dan Pemasaran Tekun, Nooraida Ismail memaklumkan, sejak ditubuhkan pada 1998, sebanyak 210,000 peminjam telah mendapat manfaat dari program yang diperkenalkan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM2 bilion.

"Peruntukan yang diberikan kerajaan kepada TEKUN telah ditambah kepada RM300 juta berbanding hanya RM120 juta pada tahun lalu. Tentunya, ia mampu memberi lebih manfaat kepada Melayu dan bumiputera,'' katanya.

1 comment:

  1. selamat sejahtera klu buat pinjaman tekut ni apa syarat2nye

    ReplyDelete