Friday 22 March 2013

MARA rancang bina MRSM di Rantau


Seremban, 21 Mac – Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan ketika berucap menyempurnakan Majlis Penutupan Program MARA Menjelang 2020 : Tertunaikah Amanah Rakyat?, menyeru kepada semua agar bersyukur dan meneruskan kecemerlangan di dalam agenda memperkasakan bangsa Melayu.
Ujar beliau di majlis yang berlangsung di Allson Klana Resort, Seremban tengahari tadi.
Sambung beliau lagi, peranan MARA yang dulunya dikenali sebagai RIDA yang diperkenalkan oleh Dato’ Onn Jaafar, tidak boleh dipandang ringan kerana usaha tersebut menjadikan bangsa Melayu berada di pelbagai organisasi dan berjaya membangunkan negara.
Beliau seterusnya menyambung, MARA ditubuhkan, ada roh dan semangatnya sendiri, kewujudannya adalah untuk membantu masyarakat dan menjayakan setiap dasar kerajaan dan ini telah dibuktikan dengan pelbagai kejayaan.
Tambah beliau lagi, pengurusan MARA yang terancang di dalam sektor pendidikan, keusahawanan dan pengurusan telah mengambarkan Malaysia berjaya memacu kejayaan dengan usaha sendiri.
Kini MARA telah menyahut cabaran dan mengisi dasar kerajaan dengan pelbagai pelan pembangunan serta percambahan idea yang amat baik.
Pelan Strategik MARA (PSM) 2011 – 2015 diilhamkan sebagai usaha pemantapan hala tuju supaya peranan MARA ini selari dengan transformasi yang di bawa Kerajaan umpamanya di bawah falsafah 1 Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi yang meliputi Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia ke-10.
Fokus utama transformasi ini adalah melonjakkan penyertaan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi berteraskan inovasi (i-based economy) melalui empat (4) strategi iaitu i-usahawan, i-pekerja, i-pelaburan dan i-organisasi. Strategi berteraskan inovasi ini digerakkan oleh tiga (3) sektor utama MARA iaitu Keusahawanan, Pendidikan dan Pelaburan.
Ujar Menteri Besar lagi, “inilah kemajuan yang diperolehi sejak merdeka 56 tahun lalu, kita tidak lagi menjadi insan yang terkebelakang tetapi sentiasa memikirkan apa yang hendak dan perlu di lakukan pada masa hadapan.”
Beliau turut mengucapkan terima kasih dengan cadangan MARA untuk membina sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Rantau.
Turut hadir, Dato’ Abd Rahim Abd Ghani, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA,  Encik Amir, Pengarah MARA Negeri Sembilan dan Dr. Syed Alwi, Pengetua Kolej MARA Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment