niksukry@bharian.com.my
2012/01/12
Kerjasama pintar UPM, MRSM, Pusat Bahasa ELS
KERJASAMA pintar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta Pusat Bahasa ELS menyaksikan 30 pelajar MRSM Kuala Krai, Kelantan mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
Kemampuan itu dibuktikan selepas masing-masing mengikuti kursus intensif selama sebulan di Pusat Bahasa ELS Subang Jaya. Dilaksanakan menerusi Program Sekolah Angkat UPM, kursus intensif itu bukan sekadar memberi pelajar mempelajari dan menguasai kemahiran itu, malah mendedahkan mereka mengenai kepelbagaian budaya pelajar dari luar negara.
Pengerusi Program, Prof Jayakaran Mukundan, berkata pemilihan pelajar dilakukan MRSM Kuala Krai dan UPM menyediakan modul kursus dibantu kakitangan Pusat Bahasa ELS.
Program jangka pendek itu katanya, adalah sebahagian komitmen UPM dalam memberikan kesedaran kepada pelajar kepentingan menguasai bahasa Inggeris.
“Sepanjang tempoh kursus, pelajar dibahagikan kepada kumpulan tertentu dan pencapaian mereka dinilai berdasarkan tahap penguasaan masing-masing.
“Dengan bantuan dan komitmen kakitangan pusat bahasa ELS, pelajar membuktikan mereka mampu menguasai bahasa Inggeris walaupun dalam tempoh singkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan Program Intensif Bahasa Inggeris di Pusat Bahasa ELS, di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Majlis turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah ELS (Malaysia), Puan Sri Aishah Shamsuddin dan Pengarah Akademik ELS Subang Jaya, Yvonne Gruberska.
Timbalan Pengarah (Pembangunan Kurikulum) MRSM, Hanim Abdul Wahab dalam ucapannya berharap program seumpama itu akan diadakan pada masa akan datang.
Peluang itu kata beliau, perlu dioptimumkan sebagai nilai ditambah dan membantu mereka membuat persiapan untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, pelajar yang ditemui, Muhamad Faiz Ab Aziz, 16, berkata program intensif berkenaan berjaya meningkatkan keyakinan diri untuk bertutur dalam bahasa Inggeris bersama rakan-rakannya.
“Tempoh sebulan amat singkat, namun banyak membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris saya,” katanya.
Bagi Norlizatielain Mohd Sepiin dan Nurin Jazlina Romalan pula berpendapat, program berkenaan wajar diteruskan kerana ia berjaya mendedahkan pelajar kaedah terbaik bagi menguasai bahasa Inggeris.
Mereka mengakui program intensif berkenaan berjaya menambahkan keyakinan dan tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka di samping mempelajari budaya pelajar luar negara yang berada di Pusat Bahasa ELS.
No comments:
Post a Comment